Baru sebulan yang lepas selesai peperiksaan PMR, sekarang datang SPM pula. Bukan sahaja para pelajar Tingkatan lima yang berdebar-debar menanti saatnya, malah guru-guru yang mengajar mereka juga turut terasa gemuruhnya. Rata-rata guru menaruh harapan pelajarnya membuat yang terbaik.
Guru-guru yang mengajar Tingkatan Tiga sekarang sudah pun boleh berehat sekejap setelah bergelut dengan pelajar mereka menghadapi Peperiksaan PMR yang telah berakhir pada awal Oktober dahulu. Sekarang ini sedang menunggu keputusannya yang dijangka keluar pada penghujung Disember nanti.
Bagi sekolah-sekolah ternama dan dikategorikan sebagai Sekolah Elit, tidaklah timbul masalah sangat. Pelajar mereka sudah jauh lebih dari bersedia. Mereka sentiasa mengulangkaji pelajaran mereka malah ‘mengulangkaji’ merupakan salah satu rutin dalam hidup mereka.
Saya pernah berbual dengan saudara Azali Azlan (Pelajar cemerlang SPM 2007) selepas peperiksaan PMR yang didudukinya pada tahun 2005. Selepas dua minggu selesai PMR dia memberitahu bahawa dia sudahpun selesai membaca buku-buku mata pelajaran Kimia untuk Tingkatan Empat dan sedang berkira-kira untuk membaca buku Fizik pula.
Semasa beliau dalam Tingkatan 5 pada tahun 2007, beliau banyak menghabiskan hari-hari cuti hujung minggu dengan belajar sendiri mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah ketika orang lain pada masa itu pulang ke kampung atau menghadiri kelas-kelas tuisyen. Kadang-kadang di waktu petang beliau mengadakan kelas tuisyennya sendiri mengajar rakan-rakan yang lain yang lemah dalam mata-mata pelajaran tertentu.
Yang saya tidak dapat lupakan adalah setiap pagi Jumaat Azali menjadi Imam untuk sembahyang Sujud Sejadah di surau sekolah. Terasa syahdu dengan kemerduan dan kelancaran bacaan Azali ketika menjadi Imam itu.
Begitulah Azali. Tetapi berapa orang ‘Azali’ yang ada di negara kita?
Tidak hairanlah bila selepas keluar keputusan SPM 2007, beliau mendapat 1A dalam 20 mata pelajaran dan 2A bagi satu mata pelajaran. Ketika orang lain bermain atau ponteng sekolah selepas PMR, dia sudah selesai belajar dua mata pelajaran yang orang lain anggap susah.
Begitu juga pelajar dari sekolah-sekolah elit yang lain seperti MRSM, Sekolah Menengah Sains, Sekolah Sultanah Asma dan Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jenan. Mereka datang belajar di sini setelah melalui beberapa proses pemilihan. Sudah tentu kesedaran mereka sudah tidak dipertikaikan lagi. Masa belajar mereka tidak perlu dikawal lagi. Atau tidak perlu lagi menunggu arahan sesiapa untuk belajar.
Yang menjadi masalah ialah sekolah-sekolah lain yang kebanyakan pelajarnya adalah pelajar ‘biasa’ dan yang kurang baik pencapaiannya. Ada di antara mereka ini kadang-kadang pergi ke sekolah dan ada waktunya tidak pergi langsung. Banyak masa dihabiskan dengan melepak di tepi-tepi pantai dan di pekan-pekan.
Bila tidak belajar, apa mereka hendak buat masa peperiksaan nanti. Hendak mengulangkaji pun tidak ada apa yang hendak diulangkaji sebab tidak belajar. Hendak membaca buku, buku pun tidak ada malah ada juga yang tidak lancar membaca.
Mereka ini yang merunsingkan saya.Tetapi walau apapun, rasanya tentu mereka boleh berbuat sesuatu. Saya doakan kejayaan mereka. Insyaallah!
Assalamualaikum,
ReplyDeleteBukan Pelajar pelajar dan guru guru sahaja yang bersedia dan berdebar-debar, IBUBAPA pun lagilah...