Monday, October 6, 2008

KEHILANGAN KABEL: kAITANNYA DENGAN BARANG LUSUH

Sudah lebih seminggu saya jarang menulis dalam ruangan ini. Bukan malas atau tidak ada masa untuk berbuat demikian tetapi akhir-akhir ini talian internet di kawasan ini kerap terganggu. Kadang-kadang terputus terus untuk beberapa hari. Bukan saya sahaja menghadap masalah tetapi seluruh komuniti di tempat saya menanggung akibatnya.

Semasa empat hari terputus hubungan akibat tiada talian telefon dan internet baru-baru ini, semua jabatan kerajaan dan swasta di kawasan ini menghadapi kesulitan. Hampir 3000 talian telefon di sini tidak dapat dihubungi selama 4 hari. Bayangkan pihak hospital, polis dan bomba tidak dapat dihubungi pada waktu 4 hari itu.

Nasib baik tidak ada apa-apa kejadian buruk atau kecemasan yang menimpa komuniti kami ketika itu. Dan nasib baik juga masing-masing ada yang memiliki telefon tangan yang boleh dihubungi. Jika tidak, bayangkan kemungkinan yang boleh berlaku.

Ketika pekerja-pekerja TM sedang berusaha membaiki (memasang semula) talian, saya sempat berbual dengan salah seorang yang saya anggap pegawai mereka (kerana saya lihat beliau sentiasa memberi arahan), beliau berkata kepada saya; “Orang lain hilang emas berjuta-juta pun tak seheboh ini. Sekarang kabel saja yang dicuri, sudah bising seluruh negara.”

Saya tahu kata-kata itu merujuk kepada saya dan beberapa orang teman yang sering membuat aduan tentang talian telefon dan internet di kawasan itu. Sebagai reaksi awal dan spontan saya berkata kepada beliau bahawa kehilangan emas itu walaupun berjuta, yang susah hanyalah individu yang ‘kehilangan’ seorang sahaja, tetapi kehilangan kabel telefon ini menyusahkan ribuan orang.

Saya tidak mahu bercakap panjang lagi dengan orang yang bodoh seperti itu. Cuma saya terfikir andainya berlaku sesuatu dan kita perlu menghubungi polis, bomba atau hospital, macam mana? Tidak sepatutnya pegawai TM tersebut berkata demikian. Tapi biarlah kerana mereka bertungkus-lumus menyiapkan kerja mereka selama 2 hari dan 2 malam.

Pihak TM mengalami kerugian puluhan juta ringgit akibat dari kecurian kabel ini. Sampai sekarang pun jika dilihat sepanjang jalan di kawasan ini, ada tempat-tempat yang hanya tinggal tiang sahaja. Ada pula tempat yang kelihatan kabel yang berjuntaian tanpa bersambung ke mana-mana. Begitu parahnya masalah kecurian kabel dewasa ini sehinggakan kabel yang dipasang di bawah tanah pun mengalami nasib yang sama.

Soalnya, kenapa perkara ini berlaku? Ia berulang-ulang terjadi di tempat yang sama sesudah di sambung semula. Hari ini TM membuat sambungan, dua hari selepas itu dipotong pula.

Salah satu puncanya ialah kerana ada pembelinya. Jika tidak ada pembeli, tentu tidak ada pencuri kabel. Kalau dicuri juga, apa hendak dibuat dengan kabel itu? Pembeli-pembeli inilah yang menjadi punca berleluasanya pencuri-pencuri kabel di negara kita. Dan pembeli-pembeli ini diberi lesen pula oleh kerajaan di bawah istilah Perniagaan Barang Lusuh.Baru-baru ini diluluskan pula tambahan ratusan lesen perniagaan barang lusuh ini oleh pihak kerajaan kononnya untuk menjaga kepentingan peniaga-peniaga tersebut.

Yang mana lebih penting? Rakyat ramaikah yang penting atau peniaga tersebut yang penting? Sama-sama kita menilainya, tapi lesen sudah diluluskan dan pencuri-pencuri kabel makin bertambah.

Sebenarnya peniaga-peniaga barang lusuh inilah yang menjadi dalang tercetusnya fenomena ini. Jika tidak ada mereka, tidak ada tempat hendak dijual semua barang-barang curi termasuk juga kabel ini.

Pemberian lesen dan pemantauan terhadap industri barang lusuh ni perlu dibuat secara sistematik agar ianya mendatangkan kesan yang positif. Jangan terlalu mudah meluluskan lesen peniaga barang lusuh ini. Setengah-setengahnya perlu ditarik balik lesen yang telah diluluskan.

Pemantauan juga perlu dibuat dengan teliti kerana peniaga-peniaga dan penjual-penjual barang tidak sah ini mempunyai taktik yang licik iaitu dengan menyembunyikan barangan tersebut di satu tempat yang lain.

Sama-samalah kita menjaga kepentingan negara dan orang ramai.

No comments:

Post a Comment