Sunday, May 24, 2020
AKU YANG ENGKAU PANGGIL ANJING
Aku adalah seorang lelaki
yang sudah tua dan ada harga diri
yang selama ini engkau panggil anjing
ketahuilah aku lahir dari perut seorang perempuan
ia ibuku yang memelihara aku sejak dahulu lagi
dan dari perut perempuan itulah juga
lahir ayahmu selepas aku.
Kini aku sudah dewasa dan tua
seperti ayahmu juga
kami berdua membesar di rumah yang sama
hakikatnya kami bersaudara
lalu apabila aku engkau panggil anjing
ibuku tentulah ibu anjing
dan ayahmu anjing jugalah tentunya
kerana ia lahir dari perut yang sama.
Dan apabila kami berdua ini anjing
anak-anak kami dipanggil apa pula
sudah tentulah anak-anak anjing juga
dab engkau serupalah dengan ayahmu dan aku
anak anjing juga seperti anak-anakku.
Engkau dilahirkan dan membesar di situ
di rumah ibu anjing tulah
di situlah engkau sehingga ayahmu kaya raya
engkau ditakdirkan ada banyak wang dan harta
tapi usahlah cuba hendak menjadi tuan
aku ini bukanlah hamba biarpun sudah tua
hamba yang boleh engkau corakkan hidupnya
yang boleh engkau panggil apa saja.
Jadi usahlah berlagak sombong
bersyukurlah kepada Maha Agung
diberi rezeki kepada ayahmu bertimbun
tapi engkau jangan lupa
kaya itu datang dari harta pusaka
semua itu tidak ada makna
lebih lagi bila engkau kurang ajar pula.
Usahlah bila sudah kaya
lupa asal usul datang dari mana
kita serupa
kita ini hamba Tuhan Yang Maha Esa.
- Titi Bakong,Yan
Kedah.
23.05.18