Sunday, March 22, 2020

CERITA YANG ORANG TIDAK TAHU (15)



Cerita ini tetap berkisar kepada kisah orang tidak mengenang budi dan tidak menghargai jasa orang lain. Tetapi kali ini bukan berkisar antara rakan dengan rakan, bukan juga antara sahabat dengan sahabat. Kali ini kisahnya berlainan sekali, melibatkan anak menantu dan cucu yang tidak mengenang jasa seorang tua yang menjaga dan mendidik dari kecil hingga mereka dewasa.

Mungkin setengah orang berpendapat apa yang diceritakan ini akan membuka aib orang dan perbuatan membuka aib ini adalah perbuatan yang tidak berhemah dan tidak sepatutnya dilakukan. Tetapi bila memikirkan tidak ada cara lain lagi untuk menyedarkan dan menginsafkan mereka, terpaksa juga menulis cerita ini biarpun dikatakan nanti tidak baik mengaibkan orang. Biarlah nanti dikatakan “menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri”.

Mereka melakukan sekali lagi mengaibkan emak sesuka hati mereka. Mereka lukakan hati emak tanpa belas kasihan. Habis menyumpah seranah orang tua itu dengan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya. Sudahlah menyakitkan hati malah menjatuhkan maruah emak sesuka hati mereka. Dan kata-kata “BARUA” kepada orang tua itu tidak dapat diterima akal. Dan aku tidak dapat terima secara waras bila emak dikatakan “orang tua nak mampus”.

Paling menyedihkan mereka datang ke rumah emak dan memberi amaran emak jangan lagi memijak rumah mereka dan jangan harap untuk mendapat makan dan minum di rumah mereka. Emak kena cari sendiri, mereka tidak lagi akan memberi makanan. Setelah itu bertalu-talu menantu dan anaknya menyerang emak dengan kata-kata keji.

Ingatkan selepas kematian adik, emak dapat duduk dengan baik di rumah mereka bersama menantu dan cucu-cucunya kerana pada hari adik meninggal kelihatan mereka menerima emak yang asyik berteleku di sisi jenazah adik. Dan pulang hri itu aku sangat bersyukur kerana mereka berubah hati menerima emak semula dalam hidup mereka selepas adik meninggal. Makan dan minum emak pasti terjaga dan emak tentulah dapat lena di rumah mereka.


Rupanya segala-galanya tidak seperti yang aku fikirkan. Emak mereka halau dan tidak benarkan orang tua itu bermalam di rumah mereka lagi dan makan minum kena cari sendiri. Di mana hendak dicari nya? Untuk membawa dirinya sendiri pun tidak terdaya, bagaimana mengatur makan minumnya.

(Cukuplah setakat itu dan sekarang emak akan aku bawa ke rumah kami. Biar aku dan anak-anakku menjaganya walaupun dia tidak mahu sebab jauh dari rumahnya)

Friday, March 13, 2020

ENTAHLAH LABU.......

1. Ada dua perkara yang menjadi persoalan bila membaca mesej dari seorang AJK Pengadil Bolasepak Kedah bila saya sering mempertikaikan apa yang berlaku dalam pengurusan JK tersebut. Maklumlahgm bila sudah berbulan-bulan tiada perjumpaan atau mesyuarat, asyik jalankan aktiviti  sesuka hati sahaja, saya timbulkan isu ini dalam beberapa grup whatsaap yang berkaitan dengan pengadil bolasepak Kedah. Rupanya apa yang saya timbulkan itu menjadi punca kemarahan beberapa Jawatankuasa yang lain. Lalu mesej ini dikirim kepada saya:

1.1. Yng hang duk kalut sangt pasai apa. Aku rasa bila dok canang bab JK sampai merata grup buat malu saja.

1.2. kita ni bila orang lantik buat kerja duk cari alasan saja dan tiada komitmen. Bila dah tak lantik duk kalut macam-macam.

2. Itulah dua perkara penting yang dapat dirumuskan dari mesej yang panjang yang dihantar kepada saya. mulanya malas nak ulas bab yang begini tetapi bagi puaskan hati mereka yang berkenaan, biarlah diberi sedikit penjelasan agar saya tidak dituduh hipokrit dan hanya pandai menimbulkan isu.

3. Saya bukan sengaja 'canangkan' kepada beberapa grup untuk memalukan Jawatankuasa tetapi tidak ada cara lain untuk kemukakan hal tersebut. Grup Jawatankuasa Pengadil sudah tidak berfungsi malah ada yang sudah keluar grup gara-gara tidak mahu mendengar masalah. Pengerusi tidak memberi 'respon' langsung malah dalam mesej peribadinya pun saya disekat berhubung. Jadi di mana lagi yang dapat saya luahkan hal-hal yang tidak dapat difahami yang menimpa Jawatankuasa ini?

4. Perkara yang kedua tentang komitmen yang disebutkannya itu, saya tertanya-tanya apakah tugas yang diberikan yang saya tidak komited? Sepanjang berada dalam Jawatankuasa tersebut, tiada satu tugas yang diberikan malah segala perancangan tidak diputuskan dalam mesyuarat tetapi diputuskan oleh beberapa individu dalam pertemuan di kedai kopi dan restoran sahaja. Jadi apa jenis komitmen yang dimaksudkan?

5. Sekarang sudah masuk bulan Mac 2020. Kali terakhir bermesyuarat adalah pada bulan Aril 2019 apabila membincangkan tentang insiden Setiausaha JK ditumbuk oleh salah seorang pengadil kerana sesuatu sebab, itupun tiada keputusan apa-apa dibuat kerana tiada saksi untuk memberi penjelasan. Selepas dari itu, hanya beberapa individu menjatuhkan hukuman kepada pengadil tersebut yang diputuskan oleh mereka dalam perbincangan di kedai kopi sahaja. Yang peliknya dalam perbincangan mereka itu, Setiausaha juga turut menerima hukuman digantung tugas hingga Disember 2019.

5. Banyaklah yang boleh dipertikaikan tentang hukuman tersebut tapi tidak guna diulas lagi kerana telah lama berakhir. Cuma yang boleh diperkatakan ialah hukuman tersebut tidak patut dan sehingga sekarang (bulan Mac 2020) tugas tidak diberi semula kepada setiausaha tersebut. inilah yang dikatakan buat kerja ikut suka hati.

6. Jadi orang boleh menilai dan melihat sendiri kepincangan yang berlaku. Bila saya merungut seperti ini adakah saya ini bertindak tidak sepatutnya kepada mereka?

Entahlah Labu!

Sunday, March 8, 2020

KARUT-MARUT POLITIK


1. politik negara hari ini semakin karut. setia hari ada sahaja sensasi tentang suasana politik baik di peringkat kebangsaan ataupun di negeri-negeri. Tidak pernah sunyi dengan persepsi-persepsi yang kurang menyenangkan. Ada saja kritik dan geletek dari pihak-pihak tertentu kepada pihak yang lain. timbul pula isu-isu yang boleh membuatkan kita ketawa kerana politik menjadi bahan yang melucukan pada masa ini.

2. Yang paling melucukan adalah ketika bekas PM, Tun Mahathir kalut mahu mengambil balik jawatan PM yang sekarang ini menjadi milik Tan Sri Muhyiddin Yasin. Kalau dah mahu menjadi PM, buat apa galak letk jawatan hari tu. Itu tanda sudah tidak berminat, sekarang mahu pula bila dah diberi kepada orang lain. Macam main masak-masak pula. Dan dari tindakannya itu negara jadi porak peranda. Bukankah itu sesuatu yang melucukan? Macam orang nyanyuk pula.

3. Yang di Kedah pula cerita lagi melucukan. MB Kedah adalah dari parti yang sama dengan PM. Tapi oleh kerana terikut-ikut 'nyanyuk', tubuh kerajaan pembangkang dengan menggabungkan Bersatu dengan DAP, Amanah dan PKR sedangkan di kerajaan Persekutuan Bersatu tidakpun bersama Amanah, DAP dan PKR. Sesuatu yang pelik. Di negeri lain juga lebih kurang serupa. Di Perak dan Melaka entah apa yang berlaku pula walaupun Johor telah selesai.

4. Sekarang sibuk pula mengadakan jelajah kononnya Jelajah Mandat Rakyat. Mandat yang bagaimana yang sebenarnya? kononnya kerajaan yang ada di persekutuan adalah Kerajaan Pintu Belakang. Pintu belakang di mana? Wakil Rakyat yang itu juga, bukan dipilih yang lain. Sekarang sudah beralih menyokong orang lain. Asal tidak menyokong pihak sendiri dianggap 'pintu belakang'?
Apahal pula wakil raakyat yang lompat parti? Pintu mana pula? Yang lompat parti itu pun ikut jelajah mandat rakyat juga? Pelik. Dia sendiri berpaling tadah, mempertikaikana pula mandat rakyat.

5. Berpada-padalah berpolitik. Jangan makan elaun buta saja tanpa bertugas, asyik jelajah berpolitik sahaja. Khidmat untuk rakyat bagaimana? yang mana lebih penting antara mandat rakyat dengan khidmat untuk rakyat? Berbaliklah kepada fitrah. Jika sudah takdir hilang kuasa, tumpukan khidmat kepada rakyat jelata. Usah kalut berpolitik hingga lupa pada rakyat yang terpinga-pinga.

Sekian dahulu buat masa ini!

Friday, March 6, 2020

APA SUDAH JADI?

1. Soalan itu begitu sensasi. Bukan ada motif penting pun tetapi kerana lama tidak menulis, perkara kecil pun seperti satu hal yang besar dan mustahak. Sebenarnya sudah beberapa hari tergerak hati mahu menulis tentang perkara 'sensasi' ini, tetapi minda terlalu melayan kisah politik yang amat melucukan, membuatkan tiada masa mengadap komputer ini. Malam ini terasa lapang sedikit, teringat hendak menyatakan sesuatu.

2. Tidak lama lagi peperiksaan Kelas Tiga Pengadil FAM akan diadakan. Tentulah peperiksaan ini cukup penting bagi kalangan anak muda yang meminati bolasepak dan ingin menceburi bidang pengadilan yang menarik ini. Negeri Kedah khasnya KFA tentulah ingin menarik seberapa ramai yang boleh golongan muda khasnya remaja menduduki peperiksaan ini yang diandaikan sebagai permulaan melangkah kaki ke dunia pengadilan bolasepak.

3. Tentulah bidang ini menjadi tanggungjawab Jawatankuasa Pengadil KFA yang dilantik untuk menguruskan bidang pengadilan bolasepak di Kedah ini. Jawatankuasa inilah yang patut bergerak dan mendaftar seberapa ramai peminat (remaja) yang berminat menduduki peperiksaan tersebut. Jawatankuasa inilah juga yang sepatutnya memberi pendedahan dan pengetahuan tentang undang-undang permainan kepada mereka.

4. Malangnya oleh kerana permainan 'politik' sesama AJK, hal ini tidak menjadi kenyataan. AJK tidak pernah bertemu dan berbincang dan menyusun apa-apa program untuk mempromosikan bidang pengadilan ini di Kedah. Masing-masing terasa hebat dan sering berbuat kerja ikut suka masing-masing. Bayangkan sudah hampir setahun Jawatankuasa Pengadil KFA tidak bertemu dan bermesyuarat, bagaimana program-program hendak disusun dan dirancang.

5. Saya juga salah seorang AJK tetapi apabila ditanya tentang perjumpaan atau mesyuarat, langsung tidak ada jawapan. malah ada juga yang mempersoalkan siapa saya untuk mendesak itu dan ini. Dan jika ada program yang dijalankan, ia adalah keputusan daripada perbualan dua atau tiga orang AJK dalam 'mesyuarat' di Restoran Farouk sahaja. Tidak ada langsung usaha untuk mencari bakat di daerah-daerah dalam negeri Kedah ini.

6. Sepatutnya dari awal lagi pasukan AJK ini telah berusaha mengumpulkan maklumat dari daerah-daerah tentang siapa yang berminat dan sekarang ini sepatutnya sudah tahu jumlah yang mahu menduduki peperiksaan tersebut. kursus-kursus patut diadakan untuk melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengadilan.

7. Jika begini keadaannya, negeri Kedah akan sentiasa ketandusan bakat pengadil yang baik.