Dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pengadil beberapa minggu sebelum bulan puasa, telah diputuskan bahawa perlantikan pengadil untuk bertugas mengadili perlawanan-perlawanan dibuat oleh dua entiti yang berlainan mengikut kategori perlawanan. Jika perlawanan melibatkan pasukan-pasukan amatur di dalam negeri, lantikan dibuat pleh Jawatankuasa Lantikan dalam kalangan AJK Pengadil KFA manakalah perlawanan yang melibatkan pasukan berstatus kebangsaan, lantikan diamanahkan kepada Pegawai Pembangunan Pengadil. Dan para pengadil yang layak untuk perlawanan kategori kedua ini adalah dalam kalangan Pengadil Kebangsaan dan Pra-Kebangsaan.
Bagi kategori perlawanan yang pertama tidak menimbulkan apa-apa masalah lantikan pengadil bertugas asalkan individu yang dilantik adalah yang berdaftar dan lulus ujian kecergasan tahunan yang diadakan.
Itu adalah dasar yang asas yang akan diikuti agar tidak berlaku pertindihan lantikan. Tetapi baru-baru ini berlaku sedikit kekeliruan tentang masalah ini dan ada dalam kalangan AJK yang tidak berpuas hati dengan beberapa lantikan pengadil yang disifatkan tidak mengikut keputusan yang telah dibuat dalam mesyuarat AJK yang lalu.
Tidak perlulah disebutkan siapa yang dilantik dan siapa yang melantik, memadai dinyatakan ianya adalah perlawanan yang diadakan di stadium UUM, Sintok baru-baru ini. Yang menjadi isu adalah pengadil yang dilantik itu ada yang tidak mematuhi syarat yang telah ditetapkan iaitu individu yang tidak menjalani ujian kecergasan untuk 2019 telah dipilih sebagai Penolong Pengadil.
Saya bersimpati dengan pihak yang membuat lantikan kerana perkara itu seperti menjadi satu isu besar. Kita haruslah bersimpati kerana perlawanan diadakan di UUM dan pada waktu malam kira-kira pukul 10.30 malam. Perlawana diadakan di bulan ramadan (puasa) pula. Tentulah akan menjadi masalah jika pengadil dari tempat lain yang diberi tugas kerana mereka akan terpaksa meninggalkan jemaah tarawih dan tentunya kita boleh agal pukul berapa mereka akan sampai balik ke rumah. Bayaran tentulah tidak setimpal pula.
Jadi mengambil kira faktor tersebut rasanya kelonggaran harus diberikan dan terima sahajalah lantikan yang sudah dibuat, Tidak payah perkara ini hendak dijadikan isu. Perkara kecil sahaja. Ada perkara lain yang lebih penting yang harus kita ketengahkan daripada membangkitkan rasa tidak puas hati mengenai perkara itu.
Salah satu perkara yang patut kita sama-sama fikirkan adalah tentang peranan pengadil keempat. Ramai dalam kalangan pengadil yang tidak dapat menjalankan tugas dengan wajar seolah-olah duduk 'berehat' di bangku. Padahal jika mengikut peraturan bertugas, bukan main banyak yang patut dilakukan oleh pengadil keempat ini. Dari sebelum perlawan bermula hinggalah perlawanan berakhir, sentiasa ada tugas dan peranannya. Tegasnya pengadil 4 ini tidak tahu apa tugas dan peranannya.
Hal inilah yang AJK patut ambil berat dan berbincang bagaimana harus dilakukan. Rasanya ini lebih penting daripada memikirkan soal lantikan yang telah dibuat itu. Tapi ini adalah pandangan peribadi yang tidak sepatutnya siapa pun jangan terasa hati. Marilah kita duduk berbincang bagaimana cara menyampaikan maklumat dan intipati tugasan yang betul untuk mereka.
Sekian dan ADIOS!