Tuesday, April 24, 2018
SIAPA YANG MENGHANCURKAN SIAPA?
1. Membaca akhbar SINAR keluaran Ahad 22 April 2018 membuatkan kita terkejut dengan kenyataan begitu tegas dari seorang berstatus menteri iaitu Datuk Othman Aziz. Biarpun beliau hanya Timbalan Menteri Kewangan, pemikirannya dilihat agak bercelaru akibat suasana politik tanahair akhir-akhir ini. seorang individu yang berpengalaman seperti beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang begitu bongkak, bodoh dan sangat dangkal.
2. Menurut beliau KFA akan hancur tanpa penglibatan orang politik. Betulkah? Benarkah seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri ini yang juga salah seorang Naib Presiden KFA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil KFA?
3. Sepanjang yang kita tahu orang politiklah yang menjahanamkan KFA. Usah berbangga jika hanya dengan ada pengaruh mendapat sumbangan kewangan dari mana-mana pihak. Jika itupun sudah dianggap berjaya meningkatkan bolasepak di negeri Kedah, anda silap sebenarnya. Usah pandang pembangunan bolasepak dari sudut kewangan sahaja dan melupakan aspek-aspek yang lain padahal banyak lagi perkara yang membantu meningkatkan kemajuan bolasepak.
4. Jika diimbas kembali, hanya Datuk Hamzah Abu Samah tokoh politik yang berjaya mengendalikan persdatuan sukan seperti bolasepak ini. Kegemilangan FAM adalah hasil penat lelah Hamzah Abu Samah. Selepas beliau, tiada tokoh politik yang berjaya menaikkan sukan bolasepak ini. Menjahanamkan memang banyak.
5. Lihat sahaja di KFA, berapa orangkah orang politik yang ada dalam pentadbiran persatuan bolasepak itu. Bermula dari Presidennya, Naib Presiden, Setiausaha Kehormat hinggalah kepada lain-lain jawatan. Lihatlah siapa yang mempengerusikan Jawatankuasa Pengadil KFA. Kerana kesibukan berpolitik, tugas dalam KFA dibiarkan atau diserahkan kepada orang lain yang kebetulan pula bijka mengambil kesempatan.
6. Datuk Othman sendiri tidak pula menyatakan apakah bentuk sumbangan beliau kepada bolasepak KFA. Menyumbang wang jutaan ringgit jugakah? Yang orang tahu beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa Pengadil KFA tetapi sepanjang penglibatan saya dalam jawatankuasa tersebut semenjak Mei 2015 hingga Januari 2017, beliau tidak pernah hadir mempengerusikan mesyuarat walaupun sekali. Semuanya diberi tugas kepada En Khamal Idris selaku Timbalan Pengerusi. Jika diteliti, berbagai masalah menimpa Jawatankuasa Pengadil, tetapi tiada siapa peduli.
7. Aduan demi aduan saya kemukakan kepada pihak pengurusan KFA tetapi tiada tindakan diambil secara total. Malah siasatan pun tidak dijalankan. yang mereka bertindak adalah menyingkirkan orang yang membuat aduan manakala orang yang diadu semakin 'naik tocang'.
8. Datuk usahlah berbangga jika hanya wang ringgit yang diperjuangkan sedangkan aspek pembangunan pengadil tidak dilaksanakan dengan berhemah dan betul. Jawatankuasa Pengadil KFA dibiarkan 'dikembiri' oleh individu lain yang berkepentingan.
9. Orang politiklah yang menjahanamkan KFA sebenarnya.