Saturday, March 31, 2018

PENGADIL BOLASEPAK DARI MALAYSIA UNTUK PIALA DUNIA

Tentulah hebat andainya benar ada sesiapa pengadil bolasepak dari Malaysia disenaraikan untuk Piala Dunia 2018 nanti. Tentu individu itu bertuah orangnya dan yang tumpang naik namanya adalah pihak yang terlibat secara rasmi dalam program pembangunan pengadil di FAM. Malangnya tiada individu yang layak. Selepas Subkhidin Salleh melakar sejarah di Piala Dunia empat tahun lepas, belum nampak pengadil yang berwibawa untuk membawa nama FAM dan Malaysia di pentas dunia biarpun ada beberapa orang mendapat pengiktirafan sebagai pengadil FIFA.

Dalam perkembangan yang sama, ada pihak yang menyentuh tentang pegawai dan program pembangunan pengadil sama ada berfungsi dengan betul atau sebaliknya sehinggakan kita ketandusan pengadil berkelayakan. Malah orang di FAM sendiri musykil tentang peranan PPP di peringkat kebangsaan dan juga peringkat negeri sama ada telah merangka dan melaksanakan program yang berkesan atau tidak. Contoh yang paling ketara adalah PPP di negeri Kedah. Tanyalah KFA.

Saya sebenarnya malas hendak memberi komen apa-apa dalam soal ini kerana saya telah berbuat demikian sudah sekian kali tetapi tiada sedikitpun respon dari mereka yang terlibat samada di pereingkat FAM dan juga negeri. Saya telah pernah menghubungi beberapa pihak di FAM malah telah mengutus surat rasmi kepada YM Tengku Presiden sendiri mengenai hal ini tetapi tidak mendapat sediktpun layanan daripada baginda.

Jadi jika Presiden sendiri tidak memberi respon atau menjawab pendedahan yang saya buat, apatah lagi pegawai-pegawai lain yang hanya menunggu arahan dari presiden sahaja tapi tidak mempunyain inisiatif sendiri. Exco FAM yang menjadi pengerusi pengadil sendiri tahu perkara ini tetapi beliau tidak boleh berbuat apa-apa kononnya kerana saya telah mendedahkan kepada khalayak termasuk surat khabar.

Setiausaha Kehormat KFA telah saya hubungi dengan sekurang-kurangnya 3 surat rasmi, Presiden KFA juga saya kirim sepucuk surat rasmi. Begitu juga dengan CEO yang baru dilantik baru-baru ini. Tetapi semuanya diam membisu mungkin kerana masalah politik akhir-akhir ini. Rata-rata orang di Kedah mengetahui dan menyebut hal PPP ini, tetapi kerana beliau terlalu kebal dan berhubungan rapat dengan Datuk Aminuddin Omar serta Datuk Seri Ahmad Bashah, membuatkan beliau semakin naik tocang.

Tambah-tambah pula baru-baru ini entah atas kapasiti yang sangat misteri, beliau menghadiri mesyuarat di FAM untuk penyelarasan Liga 5 dan pulang dengan tangan kosong tanpa apa-apa maklumat diberikan kepada pengurusan KFA sehinggakan pasukan dari KFA tidak tercatat sebagai layak untuk liga tersebut. Padahal tugas tersebut bukanlah tugas PPP tetapi kerana hubungannya dengan Presiden, Setiausaha Kehormat serta Pegawai Eksekutif, beliau dihantar menjadi wakil KFA. Pengalaman gagal mengambil bahagaian di AFC tidak menjadi iktibar dan pedoman mereka sehingga kini. Siapa PPP yang dihantar menghadiri taklimat yang penting begitu? Inilah politik dalam sukan tanahair!

Dan kerana hal-hal yang tersbut iaitu sibuk menggalas tugas-tugas yang tidak sepatutnya, beliau gagal menyediakan calon-calon untuk peperiksaan pengadil Kelas Tiga FAM yang bermula hari ini 31 Mac 2018. Munasabahkah seorang PPP yang sepatutnya menguruskan pembangunan pengadil hanya dapat mendaftar 2 orang calon. Nasib baik ada orang lain yang lebih prihatin dan berinisiatif mengusahakan untuk pendaftaran 21 orang yang lain menjadikan 23 calon dari KFA.

Tetapi apa nasib mereka dari daerah-daerah lain yang berminat? Tunggu tahun hadapan pula itupun jika PPP menjalankan kerja yang sepatutnya. Tapi kalau begini juga sikap para pegawai di KFA, begini jugalah jadinya. Dan FAM kononnya tidak boleh berbuat apa-apa kerana ini adalah masalah dalaman di KFA. Senang sahaja melepas tangan, beban biar orang lain tanggung.

Tuesday, March 27, 2018

BODOH TIDAK BOLEH DIAJAR, CERDIK TIDAK BOLEH DITUMPANG II


Seperti dijangkakan, akhirnya muktamad TMJ meletak jawatan Presiden FAM bermula semalam. Adios! Kerusi itu memang panas dan tiada lagi orang yang sanggup duduk sebagai presiden sehinggakan orang yang begitu lantang mengkritik FAM selama bertahun-tahun akhirnya mengalah juga sesudah setahun berada di ‘takhta’ bolasepak Malaysia. Hal ini sangat bertentangan dengan janji dan hasrat ketika awal perancangan beliau untuk menduduki tempat tersebut sebelum ini.

Tetapi ayat yang digunakan sebagai alasan meletak jawatan itu sangat kasar dan tidak sepatutnya keluar dari mulutnya secara rasmi. Semua individu yang terlibat dan masih ada dalam barisan kepimpinan FAM pasti terasa. Sebagia manusia biasa yang waras pasti tercuit perasaannya bila mendengar pengucapan seorang yang berkedudukan tinggi dan sangat dihormati. Antara percaya dengan tidak, tetapi itulah yang berlaku.

“…….Sudah tiba masanya untuk tidak lagi berkhidmat dengan pihak yang bersikap bodoh sombong dan kurang pandai dalam menilai kemajuan yang telah dibawa.”

Kepada siapa ayat ini ditujukan? Siapa yang dimaksudkan sebagai pihak yang bodoh sombong oleh baginda? Inilah yang menjadi persoalan. Dan rasanya luahan seperti itu tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang yang berkedudukan tinggi. Usah pandang rendah kepada orang lain. Jika mahu berhenti, berhenti sajalah, tidak usah timbulkan konflik kepada orang lain. Bodoh sombong maknanya bodoh tapi berlagak pandai. Kepada siapa gelaran ini ditujukan. Pegawai? Peminat? Hanya beliau yang tahu dan siapa makan cili dia yang rasa pedasnya. Takut nanti dikatakan “bodoh tidak boleh diajar dan cerdik tidak boleh ditumpang”.

Semua orang mahukan kemajuan dan orang ini dipilih menduduki kerusi Presiden itu adalah kerana ingin melihat kemajuan yang cuba dibawanya. Jadi usahlah menempelak bahawa orang kurang pandai menilai kemajuan yang telah dibawa. Sebenarnya orang mahu melihat kemajuan tersebut tetapi sebelum sempat maju anda sudah berhenti. Ranting patah di tengah jalan, orang pun susah mahu bergayut.

Tetapi biasalah sifat manusia, jika sudah tidak suka dan tidak berupaya, semua orang salah belaka. Dahulu sebelum dilantik menjadi presiden bukan sedikit kenyataan dan serangan terhadap badan induk bolasepak tanah air dilemparkan. Tentu kita tidak lagi lupa tentang isu maklumat dalam ‘pendrive’ yang ditunjukkan, kononnya ada berbagai maklumat salahlaku pegawai-pegawai FAM. Bila disiasat, semuanya kosong sahaja.

Begitu jugalah kenyataan sebelum dipilih sebagai presiden bahawa di suatu masa “saya akan menjahanamkan bolasepak Malaysia.” Dan sekarang bolasepak Malaysia memang sudah jahanam., Dari kedudukan 175 sudah turun ke paras 178. Dengan Monggolia pun sekadar seri. Misi sudah berjaya, jadi apa tunggu lagi.

Begitulah sifat manusia. Bila di waktu kita sayang, macam mana pun tidak apa.

Adios!


Tuesday, March 6, 2018

APA DAH JADI, APA DAH JADI.


Tiba-tiba dua hari lepas saya mendapat satu mesej dari seseorang di PAFA (Persatuan Bolasepak Perak) menyatakan bahawa mereka berjaya mendaftarkan seramai 136 orang anak muda bagi menduduki peperiksaan pengadil Kelas Tiga FAM yang akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 31 Mac ini. Jumlah besar itu padanlah dengan besarnya negeri Perak dan berbaloilah dengan usaha mereka yang menurut sumber tersebut mereka telah menjelajah ke setiap daerah mengadakan kursus dan memberi motivasi kepada para belia untuk mencebur diri dalam bidang pengadilan bolasepak ini.

Sumber tersebut bertanya saya berapa orang pula dari negeri Kedah yang telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut. Barangkali beliau tidak tahu bahawa saya telah disingkirkan dari menganggotai Jawatankuasa Pengadil KFA, lantas bertanya saya tentang perekara tersebut. Apa yang dapat saya katakan selain menyatakan tidak tahu dan menerangkan kedudukan sebenar diri saya buat masa ini.


Yang nyata hal tersebut sangat dimaklumi bahawa hanya berjaya didaftarkan oleh Pegawai Pembangunan Pengadil KFA hanyalah  dua orang, tidak sepadan dengan keluasan Kedah ini yang mengandungi 11 daerah. Tentulah tidak munasabah jumlah tersebut tetapi itulah hakikatnya. ini adalah sesuatu yang menghairankan kerana jika dicongak setiap daerah ada 10 orang sudah tentu KFA berjayas mendaftar 110 orang peserta yang mungkin separuh daripadanya akan berejaya lulus Kelas Tiga FAM ini.

Jadi apa yang dibuat oleh PPP dan Jawatankuasa Pengadil KFA hingga tiada calon yang mendaftar kecuali 2 orang? Apatah lagi mereka ini apabila lulus nanti akan melalui beberapa proses yang bakal meningkatkan lagi tahap mereka dalam bidang pengadilan di peringkat kebangsaan. Daripada dua orang ini, siapa pula yang akan berjaya melepasi peperiksaan peringkat kebangsaan pula nanti?  Nampaknya harapan untuk melihat pengadil bolasepak dari Kedah beraksi diperingkat kebangsaan hanyalah angan-angan dan mimpi.

Nasib baiklah ada kesedaran dan inisiatif dari Persatuan Pengadil Bolasepak /daerah Kota Setar yang lebih peka dalam soal ini. mereka, jawatankuasa persatuan tersebut atas inisiatif sendiri telah mengadakan kursus dan berjaya mencungkil bakat dan mendaftar seramai 18 orang calon. Ini menjadikan 18 + 2 calon dari negeri Kedah tetapi hanyalah dari daerah Kota Setar sahaja.


Apa hal pula dengan daerah-daerah yang lain yang selama ini memang ketandusan pengadil kerana telah bersara dan tidak lulus di tahun-tahun yang lalu? Seyugia disebutkan bahawa daerah-daerah lain seperti Yan, Sik, Baling, Bandar Baru, Padang Terap dan juga Langkawi sangat kurtang dan ada daerah yang tiada seorangpun pengadil bolasepak kecuali di daerah Kubang Pasu, Kulim, Kuala Muda dan tentunya Kota Setar.

sebelum ini sudah berapa kali Pegawai Pembangunan Pengadil bertukar, kursus di daerah-daerah tidak pernah diadakan. Kalau ada pun hanya atas permintaan badan tertentu. Kalau inisiatif dari Jawatankuasa Pengadil dan juga PPP usah diharaplah, memang tidak pernah ada. Usaha memberi pendedahan dan mencungkil bakat tidak pernah berlaku.

Lantaran tersebut bagi tahun 2017 hanya 4 orang layak menduduki peperiksaan pengadil kebangsaan dan dari 4 itu hanya seorang saja yang lulus. Dan jika yang lulus ini gagal pula dalam ujian seterusnya, akibatnya KFA tidak lagi mempunyai pengadil peringkat kebangsaan

Terimalah hakikat bahawa PPP negeri Kedah dan Jawatankuasa Pengadil KFA tidak berfungsi ke arah yang sepatutnya. Mereka banyak membuat kerja-kerja lain yang tidak munasabah yang hanya menaikkan imej mereka sahaja tanpa mempedulikan pembangunan pengadil mereka sendiri. Individu dalam jawatasnkuasa ini serta PPP sendiri hanya mencari peluang untuk peningkatan diri masing-masing serta mendapat imbuhan dengan mengendalikan serta bertugas sebagai RA untuk beberapa pertandingan. Usaha untuk peningkatan pengadil tidak diadakan atas alasan tiada orang yang berminat.


Bila tidak ada peserta bukan kerana orang tidak berminat. Tetapi ianya adalah kerana tidak ada langsung aktiviti mempromosi dan tidak ada sebarang kursus pengenalan untuk tujuan tersebut. Usah salahkan orang lain melainkan muhasabah diri.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil KFA pula adalah orang politik yang tidak tahu langsung tentang 'pengadil'. Timbalannya juga demikian iaitu bekas pemain, bukannya bekas pengadil. Lantaran itu pengerusi langsung tiada masa untuk hadir mesyuarat dan semuanya diserahkan kepada timbalannya yang langsung tiada asas sebagai pengadil. Sudahnya, semua mereka seolah-olah dicucuk hidung dan akur semua apa yang diarahkan oleh PPP padahal Jawatankuasa Pengadil adalah badan yang berada di kedudukan atas daripada PPP. Inilah yang pelik dan individu yang menjadi PPP semakin 'naik tocang'.

Kita yang bodoh ilmu statistik pun boleh menjangkakan, jika PPP dan Jawatankuasa Pengadil berusaha mengadakan kursus pengenalan dan membuat promosi di daerah-daerah, sudah pasti ramai yang berminat untuk menduduki peperiksaan Kelas Tiga FAM ini. Jika satu daerah boleh beri 10 orang sudah tentu KFA boleh mendaftarkan 110 orang. Mungkin mereka akan mendapat jumlah yang lebih dari itu. Tetapi kerana PPP terlalu sibuk hendak menggantung jersi dalam bilik mesyuarat pasukan, semua ini tidak menjadi kenyataan kerana jawatankuasa hanya menurut kata PPP.


Jadi Pegawai Pembangunan ini bertindak seolah-olah pemilik KFA. Presiden berada dalam genggamannya, Setiausaha Kehormat berada di bawah telunjuknya. Jawatankuasa Pengadil harus menurut perintahnya. Dialah tuan. Jika begini keadaannya, sampai bila KFA dan Kedah ketandusan pengadil bolasepak apatah lagi pengadil yang berwibawa.

Bila KFA melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), keadaan ini akan berubah. Rupanya sama sahaja. CEO yang dilantik itupun mungkin sudah dicucuk hidung seperti orang lain juga oleh PPP sama seperti Presiden, Setiausaha Kehormat dan seluruh Jawatankuasa Pengadil yang ada sekarang.

Sama-sama kita fikirkan. Adios!


Thursday, March 1, 2018

KFA YANG EGOIST DAN PEKAK TELINGA

                                                    (Foto ini hanyalah hiasan)

1. Malam ini, seperti yang dijangkakan, pengadil-pengadil yang terlibat dalam perlawanan antara selangor dan Pahang menerima hukuman. Memang sepatutnya mereka menerimanya dan biarlah penerimaan itu secara dada terbuka. Seterusnya ambillah iktibar bahawa membuat keputusan spontan dan selari dengan undang-undang permainan bukanlah satu perkara yang mudah. Mereka perlukan kefahaman yang maksima serta mempunyai kecergasan tahap tertinggi agar dapat berada di kedudukan yang paling wajar untuk melihat setiap insiden.

2. Tegasnya para pengadil mestilah mempunyai pengetahuan tambahan iaitu berkemampuan membaca permainan selain dari pemahaman undang-undang permainan. Inilah faktor yang penting agar stamina dapat digunakan seminima mungkin untuk permainan yang akan mungkin memakan masa dua jam.

3. Perkara inilah yang menjadi tugas utama Pegawai Pembangunan Pengadil yang dilantik oleh KFA, bukannya kerja menggantung jersi di dalam bilik persalinan ketika taklimat perlawanan antara pegawai-pegawai pasukan. PPP mestilah merancang program meningkatkan prestasi pengadil dari segi stamina dan pengetahuan dah 'helah-helah' agar stamina mereka dapat digunakan sebaiknya dalam setiap tugasan.

4. Hal ini tidak berlaku di KFA dan PPPnya dibiarkan bermaharajalela mencampuri segala urusan di KFA sehinggakan Jawatankuasa Pengadil menjadi pak turut sahaja. Padahal kalau diamati PPP yang mesti patuh kepada keputusan JK Pengadil. Tetapi di KFA berlaku sebaliknya. Begitulah bodohnya para pegawai dan pihak pengurusan termasuk Dato' Seri Presiden, Datuk Setiausaha Kehormat dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil sendiri.

5. AJK Pengadil dan Timbalan Pengerusi lagilah lebih menikus demi menjaga diri dan takut terlepas tugasan dan elaun. Mereka langsung tidak berani mempertikaikan segala tindak-tanduk PPP biarpun mereka sedar itu semua salah dan tidak betul. Segala teguran yang diberikan semuanya tidak dipercayai dan dianggap sebagai fitnah.

6. Bagi saya, senang sahaja. Buktikan apa yang saya katakan selama ini semuanya fitnah. Buktikan dan bawa saya ke mahkamah atas dakwaan fitnah. Ini tidak. Bersemuka tidak berani, tapi mencanang ke setiap perjumpaan dan mesyuarat bahawa itu semua adalah fitnah. Harapkan Ketua Pegawai Eksekutif untuk memperbetulkan keadaan karut ini, umpama bercerita kepada orang pekak dan tuli. Sama sahaja menikus dan masuk kandang yang sama.

7. Jadi bagaimana pengadil khasnya di Kedah hendak membangun. dalam tahun 2017 hanya 4 orang yang menduduki peperiksaan kebangsaan dan hanya seorang sahaja yang lulus. Apa kerja PPP sehingga dalam ramai-ramai manusia di Kedah hanya 4 orang yang mendaftar untuk peperiksaan? Akan datang pula tidak lama lagi peperiksaan Kelas Tiga FAM dan hanya 2 orang yang didaftarkan oleh PPP. Nasib baik ada inisiatif orang lain mendaftarkan 18 orang menjadikan 20 semuanya.

8. Ini baru dari segi jumlahnya. Kalau dilihat prestasi, tidak ada pengadil dari KFA yang boleh diletakkan dalam senarai Kelas A di peringkat Kebangsaan. Pihak pengurusan dan Majlis KFA tidak nampakkah semua ini? Tegasnya pihak Majlis KFA ini dianggotai oleh manusia-manusia yang ego dan bertelinga pekak, langsung tidak mahu mendengar dan menerima teguran orang lain.

9. Bila diperkatakan semua ini, kita dianggap memfitnah. Ini kebenaran!

ADIOSSSSS!