Sebelum meneruskan catatan ini, saya terlebih dahulu memohon
berbanyak-banyak maaf kerana mengambil dan mengganggu masa tuan. Saya mengambil
keputusan mendedahkan dan menyatakan rasa terkilan dan tidak puas hati dengan beberapa
kemelut yang melanda Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Kedah sejak
kebelakangan ini.
Untuk pengetahuan tuan, saya telah dilantik menganggotai
Jawatankuasa Pengadil KFA pada sekitar bulan April 2015. Ini adalah penampilan
saya buat kali kedua setelah kali pertama berada dalam Jawatankuasa tersebut
semenjak 1988 sehingga 2000. Saya mula bergiat sebagai Pengadil Kebangsaan pada
tahun 1987 dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pengadil (Dulu dikenali
sebagai Lembaga Pengadil) ketika Allahyarham Khalid Ariffin dan Hamzah Mohamad
menjadi pengerusi. Saya juga menganggotai KFA sebagai Ahli Majlis mewakili
Persatuan Bolasepak Daerah Yan pada tahun-tahun tersebut iaitu ketika
Allahyarham Dato’ Ahmad Basri Akil menjawat jawatan Timbalan Presiden KFA.
Selepas menerima perlantikan semula menganggotai
Jawatankuasa Pengadil KFA, saya telah menghadiri beberapa kali mesyuarat yang
dipengerusikan En. Khamal Idris Ali dan melakukan beberapa perbincangan dan aktiviti yang diputuskan oleh
jawatankuasa tersebut, antaranya menguruskan Ujian Kecergasan Tahunan bersama
ahli jawatankuasa yang lain.
Sepanjang beberapa kali bermesyuarat, beberapa keputusan dan
perancangan dibuat untuk peningkatan prestasi dan juga mencari bakat-bakat baru
dalam bidang pengadilan tetapi tidaklah diketahui setakat mana kejayaannya
kerana tidak dimaklumkan langsung kepada ahli-ahli jawatanakuasa. Semuanya
berada dalam pengetahuan Pegawai Pembangunan Pengadil dan tidak dihebahkan
dalam kalangan AJK. Untuk makluman, Jawatankuasa Pengadil KFA tidak melantik
seorang Setiausaha yang khusus untuk catatan minit dan sebagainya.
Hal ini berlaku mungkin kerana seppanjang 2016 ini tidak
sekalipun jawatankuasa pengadil ini berjumpa dan bermesyuarat. Langsung tidak masuk akal
semua ahli sibuk sejak Disember 2015 hinggalah sekarang Oktober 2016. Ahli
Jawatankuasa langsung tidak mendapat berita dan tidak dapat berjumpa serta
berbincang.
Jadi, inginlah saya mendapat maklum tentang beberapa
perkara. Antaranya:
1. - Adakah Jawatankuasa Pengadil KFA masih wujud dan
berfungsi.
2. Kenapakah tidak sekalipun bermesyuarat semenjak
Disember 2015 hingga sekarang.
3.
Tidak ada ujian kecergasan tahunan untuk para
pengadil sepanjang 2016.
4.
Ahli Jawatankuasa yang bermesyuarat membuat
keputusan menggantung khidmat beberapa Pengadil kebangsaan dan Pra-kebangsaan
langsung tidak dimaklumkan tentang pembebasan mereka. Ini termasuklah
pembebasan En. Ahmad Khalidi Suphian.
5.
Siapakah yang melantik RA (Penilai Pengadil)
yang baru dari Langkawi tanpa perbincangan dan diputuskan dalam mesyuarat.
6. Para Pengadil yang terlibat bertugas dalam Liga
Bolasepak Rakyat yang sedang berjalan sekarang tidak diberi taklimat mengenai
perubahan dan tambahan undang-undang baru yang dikeluarkan FIFA kerana
kesibukan PPP negeri.
Persoalan-persoalan ini sentiasa menjadi bahan bualan antara
beberapa Ahli Jawatankuasa Pengadil dan jga dalam kalangan para pengadil sendiri. Dan masing-masing merumuskan bahawa
kemungkinan besar ada pihak atau orang tertentu yang bertindak sendiri dan
beraksi ‘one man show’ dengan melantik pengadil bertugas dalam apa-apa
kejohanan dan menentukan segalanya dalam tangannya. Ini menyebabkan timbul rasa
tidak puas hati dalam kalangan ahli.
Diharap pihak tuan dapat mengambil tindakan proaktif agar
komitmen Ahli-ahli tidak terjejas. Semoga tuan dapat menasihatkan PPP supaya
mengambil tindakan yang lebih rasional, bukan mengikut emosi. Dengan itu tahap
professional dalam bidang ini dapat diserlahkan.
Sekian. Terimakasih.