Saturday, April 30, 2016

BOLASEPAK NEGARA SEMAKIN MEMALUKAN

Sedar tak sedar Liga M sudah sampai separuh jalan. Tinggal separuh lagi untuk mengetahui siapa juara dan siapa tersingkir ke Liga Perdana. Perebutan Piala FA juga sudah memasuki peringkat separuh akhir. Bukan berapa lama lagi, kancah Piala Malaysia pula akan dimulakan. Apapun keputusannya nanti, kancah bolasepak Malaysia sedang melalui episod lucu dan memalukan.

Fasa pertama kisah lucu bermula dengan langkah merehatkan jurulatih. Beberapa orang sudah menjadi mangsa. Episod ini dimulai dengan Terengganu menyingkirkan Ahmad Yusof apabila pasukan Penyu tewas dalam perlawanan pertama. Bijaknya PBNT menilai kebolehan jurulatih hanya dengan melihat perlawanan pertama sahaja. Langsung tidak beri peluang.

Lepas itu diikuti pula pasukan Pahang. Walaupun jurulatih tidak direhatkan tetapi bantahan dan kritikan peminat dan pegawai membuatkan jurulatih itu minta berhenti dan turun pangkat menjadi penolong. Jurulatih Kelantan hampir menerima nasib yang serupa sehingga penajanya terpaksa memberi katadua.


Begitu juga pasukan-pasukan yang lain termasuk Sarawak. Mangsa terbaru adalah jurulatih Pulau Pinang yang tiba-tiba direhatkan walaupun pasukan itu berjaya bersaing dengan pasukan yang lain, Cuma tidak menang sahaja.

Soalnya apakah kemenngan yang menentukan seseorang jurulatih itu bagus atau tidak bagus? Nampaknya mereka membuat tindakan yang tidak munasabah apabila setiap kekalahan diletakkan atas bahu jurulatih semata-mata. Bagaimana dengan pemain sendiri? Tidak mungkin persembahan pemain di dalam padang seperti boneka wayang kulit yang digerakkan oleh Tok Dalang.

Lihat sahaja Terangganu, selepas mendapat jurulatih baru, tidak menang juga mereka. Begitu juga dengan pasukan pulau Pinang dan Pahang. Nasib mereka juga tidak menentu walaupun mendapat sentuhan jurulatih baru.

Jika diperhatikan, Sarawak sepatutnya berda di kedudukan yang lebih baik kerana Rajagobal adalah bekas jurulatih kebangsaan. Begitu juga dengan Perlis. Dollah Salleh adalah jurulatih yang disegani dan berwibawa.

Demikian juga dengan pihak penaja pasukan-pasukan tertentu. Walaupun sudah banyak wang yang dilaburkan, mereka haruslah sedar bahawa penaja bukanlah pemilik sesebuah pasukan. Apa yang berlaku terhadap pasukan bolasepak Kelantan amatlah memalukan. Penaja usahlah meletakkan terlalu banyak syarat dan meminta yang bukan-bukan. Duduk di bangku pemain simpanan bukanlah hak eksklusif penaja. Tambahan pula aktif dengan gerak tari di padang sangatlah memalukan lebih-lebih lagi di pihak pasukan negeri Serambi Mekah pula.

Belum ada lagi pasukan di dunia ini yang memberi begitu banyak ruang penaja menentukan semua perkara hatta menukarkan warna stadium kepada warna korporatnya. Hanya berlaku di Malaysia. Begitu juga dengan beraksi di bangku simpanan, hanya di Malaysia ada begitu.


Alangkah malunya!

Wednesday, April 27, 2016

YAN DAERAH MEMBANGUN?


Tahniah diucapkan kepada penduduk daerah Yan. Anda akan mendapat layanan istimewa apabila meletak kereta di tempat-tempat tertentu mulai bulan Julai 2016 ini. Tahniah juga kepada Majlis Daerah Yan kerana berani membuat pembaharuan dengan mengenakan caj yang tersebut. Bukan perkara mudah melaksanakan langkah proaktif ini terutama apabila semua sedia maklum bahawa daerah ini bukanlah sebuah daerah yng pekannya sesak dan besar.

Di peringkat awal ini memanglah akan ada suara-suara bantahan dan keluhan rasa tidak puas hati. Lama kelamaan ia akan menjadi sesuatu yang biasa dan bantahan semakin menurun sedikit demi sedikit. Perkara baharu dan remeh begini memang menyusahkan pada peringkat awal tetapi semua itu menjadi biasa di telan masa.

Cuma yang menjadi persoalan, di mana tempat-tempat yang dicadangkan akan dikenakan caj itu? Yan bukanlah kawasan yang besar sangat dan hanya mempunyai beberapa pekan kecil yang sering menjadi tumpuan ramai khasnya pengguna yang meletak kenderaan. Pekan yang besar sikitpun hanyalah Yan Kechil, Guar Chempedak, Sungai Limau dan Singkir. Pekan Yan sendiripun tidaklah sebesar dan sesesak mana untuk dikenakan caj meletak kenderaan.

Sudah pasti pihak berkuasa akan mengenakan caj ini di tempat-tempat strategik seperti di gadadan bank-bank dan pejabat Tabung Haji. Dan mereka harus ingat bahawa di sinilah tumpuan orang-orang kampung berurusan. Berbaloikah mereka dikenakan caj?

Lagi seperkara yang menjadi persoalan adalah nilai yang akan dicaj. Berapa ringgitkah yang akan dikenakan apabila orang ramai meletak kenderaan. Tentulah pihak majlis Daerah akan berbelanja besar menyediakan lot-lot meletak kereta di tempat-tempat tumpuan di pekan-pekan kecil ini. Kemudian pihak majlis juga akan melantik entah berapa ramai pegawai penguatkuasa bagi memantau dan meletakkan caj pada setiap kenderaan. Dan belanja mengupah pegawai-pegawai ini lebih besar dari hasil kutipan caj yang dikenakan. Alangkah ruginya!

Sebenarnya semua ini tidak perlu. Entah siapalah yang bermimpi dan terbuka hati membuat cadangan ini? Apakah peranan ahli-ahli majlis yang dilantik bagi menjaga kebajikan rakyat jika perkara seremeh ini tidak dibincangkan secara rasional? Sebenarnya banyak lagi perkara lain perlu diberi perhatian, bukan caj yang tidak sebanyak mana ini yang mesti difikirkan.

Pihak Majlis Daerah janganlah terlepas pandang beberapa perkara yang sekian lama menjadi rungutan orang ramai yang semuanya masalah setempat yang ditagih untuk keselesaan dan penduduk di daerah ini juga. jika setakat memikirkan caj letak kenderaan sahaja, tentulah peranan ahli-ahli majlis tidak berbaloi.


Masalah gerai buah-buahan di pekan Guar Chempedak sudah masuk lebih 10 tahun gagal ditangani.
Dari semasa DUN Guar Chempedak dimenangi BN, kemudian PAS dan berbalik kepada BN, keadaan tetap sama malah lebih kritikal lagi seolah-olah mereka ini RAJA sehingga tiada siapa dan tiada kuasa boleh memperbetulkan sikap mereka. Peniaga-peniaga ini meletak barang-barang mereka bermula dari tapak Koperasi Pekan Rabu hingga menutup terus laluan pejalan kaki serta lorong pertama jalanraya di hadapan. Kemudian ditambah pula dengan kenderan pembeli yang diletak di lorong kedua jalanraya itu. Hanya selorong sahaja yang boleh digunakan.


Selesaikan masalah ini dahulu, barulah fikirkan caj meletak kereta!

Ada pekedai yang menggantung barang-barang mereka memenuhi ruang pejalan kaki sehingga menyusahkan orang ramai. Para pejalan kaki terpaksa menggunakan jalanraya untuk melalui tempat-tempat tersebut. Lihatlah di pekan Yan Kecil. Mungkin kerana peniaga ini berbanga Cina, lalu tindakan tidak diambil pihak penguatkuasa manakala peniga buah-buahan berbangsa Melayu dipindahkan ke gerai baru atas alasan mengganggu jalan. Dan mereka dipindahkan pula ke tempat yang langsung tidak strategik iaitu tempat yang menjadi pilihan terakhir untuk orang lalu-lalang.

                                     
                                 (Kedai ini membina pagar besi di laluan orang berjalan kaki)

Ada pula peniaga di Guar Chempedak langsung tidak mengambilkira sensitiviti orang ramai, terus menutup kakilima kedai dan ruang pejalan kaki dengan pagar besi. Dan pagar ini terus tidak dibuang kerana peniaga ini meletakkan barang niaga miliknya. Orang ramai yang hendak lalu-lalang di kawasan ini mahu tidak mahu mesti menggunakan jalanraya di hadapan kedai tersebut. Semua orang boleh melihat kedai ini bertentangan dengan simpang masuk ke LUTH Guar Chempedak. Perkara ini lebih penting dari memikirkan masalah caj letak kenderaan.

(Kabarnya di kawasan LUTH dan Bank Islam inilah salah satu kawasan yang akan dikenakan caj letak kereta yang dicadangkan selain dari kawasan CIMB Guar Chempedak).

Jadi pihak Majlis Daerah haruslah membaiki perkhidmatan Penguat Kuasa memantau masalah-masalah ini yang sekian lama menghantui rakyat dari memikirkan untuk menyusahkan dan membebankan rakyat sekali lagi.

Thursday, April 21, 2016

PENGADIL BOLASEPAK KFA: KURSUS KHAS UNTUK MEREKA


Akhir-akhir ini situasi yang melanda institusi pengadilan bilasepak di KFA amatlah kritikal dan memungkinkan pada satu ketika nanti negeri Kedah khasnya KFA terus kempunan dengan tiadanya wakil ke peringkat kebangsaan di FAM apatah lagi di FIFA. Malah pada masa sekarangpun masih tidak ada pengadil yang benar-benar bagus mewakili negeri Kedah di peringkat kebangsaan dan pada satu hari nanti langsung tidak ada seorangpun yang layak sebagai pengadil kebangsaan sekiranya tiada satu langkah diambil dari sekarang oleh pihak pengurusan KFA khasnya Jawataankuasa Pengadil  badan itu.


Suatu ketika dahulu Kedah boleh berbangga dengan adanya Ismail Junid kerana pernah muncul sebagai pengadil kebangsaan dari Kedah hingga ke peringkat FIFA. Beliau seterusnya dilantik duduk dalam barisan jawatankuasa pengadil di FAM. Kemudian muncul pula Balasundram dari Kulim yang juga berstatus FIFA yang boleh dibanggakan anak negeri kerana sering diberi tugas mengadili perlawanan-perlawanan penting di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.

Sesudah itu muncul pula kumpulan yang lain terdiri dari Khalid Ariffin, Othman Abdullah dan mohamad Md Jano. Dari kumpulan ini hanyalah Khalid Ariffin yang dilihat menyerlah berbanding yang lain. Keadaan ini ditambah pula dengan kemasukan Hamzah Mohamad dari Melaka yang bertukar kerja ke negeri Kedah dan Hamzah berjaya bersama Khalid mepromosikan bidang pengadilan ini sehingga dapat menambahkan bilangan pengadil kebangsaan sekitar tahun 1986 hingga 1990 dengan kemunculan beberapa orang lagi seperti Ismail Bakar, Sivamuni, Mohsin Mansor, Devudu dan beberapa orang lagi yang terlalu panjang untuk disenaraikan.

Kemasukan Ahmad Khalidi Suphian menghangatkan lagi bidang pengadilan bolasepak Kedah. Keupayaan beliau beraksi hingga ke peringkat antarabangsa amat membanggakan biarpun kerap dilanda kontroversi. Beliau beberapa kali mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia dan perlawanan antarabangsa dengan keupayaan yang lestari. Tidak lupa juga nama seorang lagi pengadil kebangsaan di era yang sama termasuk Mohd Salleh Chin Abdullah dari Bedong, Kedah.


Selepas itu para pengadil dari Kedah hilang begitu sahaja akibat masalah prestasi dan juga masalah disiplin dalam kalangan mereka sendiri. Dan jika KFA tidak berbuat sesuatu yang proaktif, keadaan akan menjadi lebih buruk lagi. Kemungkinan Kedah ketandusan pengadil pada suatu hari nanti.

Sebenarnya bukanlah pengadil-pengadil dari Kedah tidak bagus tetapi tiada asuhan dan bimbingan yang berterusan untuk mereka. Sepatutnya pihak bertanggungjawab di KFA merancang sesuatu agar mereka tidak tenggelam tetapi sebaliknya semakin menyerlah. Asuhlah mereka ini agar dapat beraksi dengan lebih baik dan berwibawa dan sentiasa dihormati.


Atas rasa tanggungjawab inilah Jawatanakuasa Pengadil KFA hari ini mengambil langkah untuk mengadakan Kursus Pengadil Berpotensi. Selain dapat mengumpulkan mereka dan memberikan beberapa 'ilmu', dapatlah juga pihak Jawatankuasa mengenali mereka dengan lebih dekat dan menyelami keperibadian dan menghubung silaturahim dalam kalangan pengadil-pengadil ini.

Semoga dengan penghayatan dari kursus ini, satu semangat baru dan azam yang lebih tinggi dapat dibina dalam kalangan mereka yang berpotensi ini.

Insyaallah!


Thursday, April 14, 2016

KFA: TAKUT PISANG BERBUAH DUA KALI

Tiba-tiba hari ini aku terima mesej dari orang di KFA, meminta bantuan aku menyediakan satu kertaskerja yang berkaitan dengan kursus pengadil berpotensi di setiap daerah di negeri Kedah ini. Peruntukan sudah ada, cuma menanti kertas kerja yang lengkap bagi membolehkan program dilaksanakan duakali sebulan. kedengarannya begitu hebat dan peruntukan pun begitu memberangsangkan. 

Dan ketika itu kebetulan aku sedang membelek album lama yang ada koleksi foto ketika bertugas mengadili suatu perlawanan pada tahun 2000 dahulu. Ketika itu pasukan Pilihan Yan melawan pasukan artis Malaysia di padang SMK Dulang.


 Bidang pengadilan bolasepak memang tidak dapat dilupakan. Hoki ditinggalkan, bola baling ditinggalkan, bola lisut ditinggalkan. Tumpuan hanyalah kepada bolasepak. untuk itu aku harus banyak berterima kasih kepada Allahyarham Khalid Ariffin yang menanamkan ilmu ini di dalam jiwa sehingga berjaya ke peringkat kebangsaan di FAM pada tahun 1986. Akhirnya kerana beberapa masalah peribadi, aku tinggalkan 'padang bola' pada tahun 1997.


sepanjang berkhidmat, berbagai sumbangan diberikan kepada KFA khasnya di dalam bidang pengadilan. Apabila bolasepak Malaysia memasuki era Semi-pro, aku dan dua sahabat yang lain iaitu Ismail Bakar dan G. Devudu secara rasmi dikategorikan sebagai pengadil kebangsaan dan kebetulan pula aku sendiri dilantik menduduki barisan Ahli Majlis KFA dan juga Ahli Jawatankuasa Pengadil KFA.

Sepanjang berada di KFA, aku sering diminta menjalankan kursus-kursus untuk bakat-bakat baru di seluruh negeri Kedah. Malah terlibat juga dengan tanggungjawab perlantikan pengadil bagi liga-liga tertentu. Ada pula waktunya sering diminta menyediakan bahan untuk beberapa keluaran Buletik Hijau Kuning yang diterbitkan pada era tersebut. kadangkala sehingga lewat malam baru dapat pulang ke rumah. Waktu itu tidak pernah terlintas rasa penat dan bebanan tugas sedikitpun.


Akhirnya sesudah masa berlalu dan KFA sudah ada orang baru, aku dilupakan begitu sahaja. Mungkin orang lain lebih bijak bermuka-muka dan amabil kesempatan maka aku disingkirkan dari semua jawatan. KFA melantik pula beberapa orang yang sebelum ini tidak pernah berbuat apa-apa bagi meningkatkan organisasi pengadilan di KFA.

Sekarang mereka minta aku sediakan satu kertas kerja yang hampir serupa dulu. Dahulu aku telah sediakan kertas kerja yang lebih kurang serupa, Pengadil Remaja bunyinya. malangnya semasa pembentangan orang lain yang ambil kesempatan dan meletakkan namanya sebagai penulisnya. Aku tersingkir begitu sahaja.

Apakah kali ini akan berlaku seperti itu juga? Atau pisang mungkin berbuah dua kali. Sama-sama kita lihat nanti!

DITELAN MATI EMAK, DILUAH MATI BAPA

Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Benar seperti kata orang tua-tua. serba salah jadinya. Tidak dibuat nanti menyesal, bila dibuat nanti dipandang serong pula. 

Itulah yang berlaku di taman perumahan kami. Sesudah tinggal di siut selama lebih 30 tahun dan anak-anak semua sudah 'lepas rumah', baru terfikir hendak membina bonggol jalan di dalam taman. Untuk keselamatan budak-budak kecil. Kebetulan sekarang memang ada budak kecil iaitu cucu-cucu pula sesudah anak-anak berumahtangga.


Malang tidak berbau, kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa saja. Malahtelahpun berlaku. anak seorang jiran yang baru berusia 5 tahun dilanggar kereta yang lalu di hadapan rumah ketika budak-budak sedang bermain. Nasib baik juga tidak parah, cuma luka dan calar sedikit saja.

Bagi mengelakkan kejadian berulang, kami memutuskan untuk membina bonggol jalan bagi memperlahankan sedikit kenderaan yang lalu. Hanya untuk peringatan agar tidak ada yang memecut laju. Langsung tidak ada niat menyekat mana-mana pihak menggunakan jalan tersebut.


Tanpa mengira penat dan tenaga yang semakin berkurangan, kami teruskan 'projek' tersebut. Tidak cukup waktu siang, kami teruskan pada waktu malam asalkan ia siap dan boleh digunakan esok pagi. Selama dua hari kami bertungkus-lumus memerah keringat, akhirnya ia siap juga. Alhamdulillah!


Malangnya niat baik ini disalah-ertikan. Orang dari taman yang satu lagi tidak mengerti dan menganggap kami mahu menutup laluan mereka. Mereka salah anggap. bukan itu maksud kami.


Apapun, biarkan. asal anak cucu kita selamat!