Sunday, August 30, 2015

STRESS: APAKAH PUNCA SEBENARNYA?

1. Mungkin tiada siapa sedar, 'stress' merupakan satu penyakit yang bukannya baru dalam penghidupan seorang manusia. Penyakit ini sudah lama berakar umbi di dalam diri setiap orang. Cuma masa dan ketika yang terbaik sahaja ia akan menampakkan diri sebaik sahaja manusia itu melalui beberapa situasi yang siapapun tidak pasti.


2. Foto-foto ini mungkin tidak asa kena mengena dengan penyakit zaman moden ini. Ia hanya hiasan untuk digunakan bagimenghilangkan stress ini. Rajin-rajinlah melihat dan menatap keindahan sesuatu gambar bagi menenangkan jiwa dan melenyapkan stress ini jika penyakit ini berkaitan dengan kecelaruan jiwa seseorang.


3. Seorang sahabat pernah menceritakan bahawa secara tiba-tiba isterinya dilanda penyakit stress. Entah dari mana datang puncanya, dia sendiri tidak sedar kerana terlalu asyik berkerja dan asyik melayan anak-anak dan cucu-cucu. Tiba-tiba isterinya merungut tentang berbagai perkara yang tidak masuk akal. Serba serbi yang dibuat semuanya tidak kena dan tidak betul. Sentiasa ada salah dan silap. Dan akhirnya siisterinya melenting suatu pagi tentang satu bil utiliti yang mempunyai tunggakan satu bulan berjumlah RM30.00. Menurutnya itulah punca dia dilanda stress sehingga tidak boleh berfungsi sebagai seorang manusia apatah lagi sebagai seorang isteri.

4. Terperanjat sahabat saya itu. Itu sahaja puncanya? Sedangkan dia tahu bahawa saban bulan ada saja bil-bil utiliti yang lain dilangsaikan sepenuhnya tanpa merujuk pada sesiapa. Malah kadang-kadang jumlahnya mencecah ribuan ringgit. Sahabat inilah yangh selesaikan semuanya tanpa sepatah perkataan pun yang menyebabkanb orang tahu dan orang menjadi stress.

5. Jadi sekarang dia mengambil sikap tunggu dan lihat. mana-mana ada bil yang tertinggal dia selesaikan sendiri tanpa menanti isterinya stress lagi. Dan kepada isterinya dia berpesan, kalau nak stress pun carilah punca dan penyebab yang kukuh dan masuk akal.

6. Seorang sahabat pula ketika saya melawatnya di katil Hospital Pantai Sungai Petani memberitahu dia tiba-tiba menjadi 'stress' dan tidak dapat berfungsi dengan sempurna beberapa hari. Puncanya sestelah dia menyedari bahawa dalam akaun banknya ada lebihan RM 1 juta yang dia sendiri tidak tahu puncanya. Selepas stress selama dua hari barulah ia sedar bahawa wang itu adalah bayaran untuk kontrak pendawaiannya dengan Angkatan Tentera. Puas hatiloah stressnya itu.

7. Sering-seringlah memerhati bunga dan tumbuhan hiasan untuk menghindarkan stress. ada banyak perkara di sekeliling anda untuk anda gantikan dengan memikirkan perkara-perkara mudah yang boleh diselesaikan tanpa perlu bersusah payah.

Friday, August 28, 2015

BETULKAH KITA MENCINTAI BAHASA KITA?


Betulkah kita sayang bahasa kita?

Pastinya yang berdarah dan berwajah Melayu mengaku 'iya', biarpun tidak sepenuh hati. Siapa tidak sayang bahasa bangsanya, tentulah satu perkara luar biasa. Setiap orang Malaysia semestinya amat menyanjung dan menyayangi bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara tercinta ini. Biarlah rasa cinta itu tidak sehebat orang lain, tetapi tetap kita tunjukkan bahawa kita amat menghargai dan menghormati bahasa kita.

Masyarakat yang berada di sekitar bangsa Melayu juga tidak kurang menunjukkan rasa hormat mereka terhadap bahasa kita. Para peniaga di Padang Besar, salah sebuah pusat perniagaan di sempadan Malaysia-Thailand, turut tidak terlepas menggunakan bahasa Melayu untuk tatapan ramai walaupun kesilapan-kesilapan kecil berlaku. Atas nama menghormati bahasa negara jiran mereka, bahasa Melayu digunakan juga walaupun ada cacatnya.

Yang peliknya kita yang tinggal di Malaysia sendiri ini, bukan sahaja tidak menggunakan bahasa Melayu setiap masa malah lebih galak bertutur dalam bahasa Inggeris ataupun Cina. Orang Melatyu sendiri juga bersikap begitu lebih-lebih lagi yang berjawatan tinggi. Malah lebih tinggi kedudukan seseorang itu, lebih banyak bahasa Inggerisnya. Kalau dia Perdana Menteri, lagi hebat penggunaan bahasa Inggerisnya. Semakin turun ke bawah pangkatnya, semakin kurang bahasa Inggerisnya.

Dan bahasa Melayu akhirnya hanya jadi milik para petani dan penduduk kampung sahaja.


Friday, August 14, 2015

REKOD PRESTASI PENGADIL BOLASEPAK

1. Merenung kembali tentang tugasan sebagai pengadil dan pembantu pengadil dalam perlawanan bolasepak, teringat laporan-laporan yang dibuat Pemeriksa Perlawanan atau sekarang dikenali sebagai RA atau Referee Assessor. Laporan-laporan inilah yang sering membuatkan kami para pengadil tidak tidur nyenyak. Laoran itu menjadi asas dan panduan terhadap baik buruknya prestasi seseorang pengadil bolasepak.

2. Tingginya permarkahan yang diberi bakal menempatkan seseorang pengadil itu di ranking yang baik. Dan kalau dalam beberapa perlawanan, markah semakin meningkat, harapan untuk pergi lebih jauh adalah boleh diharap. Berbanding pula dengan orang yang rendah pemarkahannya dan semakin menjunam prestasinya. Tidak kiralah pemarkahan itu dibuat RA secara jujur atau tidak.

3. Ringkasnya, segala aspek peningkatan mutu pengadilan dan kedudukan dalam ranking banyak bergantung kepada laporan dari RA yang bertugasa.Jadi tidak heranlah pada waktu saya masih aktif, kami sentiasa bermuka manis kepada semua RA yang kami temui, sekurang-kurangnya dengan bemuka manis itu kami berupaya menambat hati mereka dan boleh sedikit mempengaruhi pemarkahan nanti. Markah itu akan diambilkira untuk perlantikan seterusnya.

4. Malangnya hakikat ini tidak disedari KFA khasnya Jawatankuasa Pengadil sendiri. Mereka sibuk dengan segala macam pendekatan termasuk ujian kecergasan dan kursus serta taklimat. Jika AJK dan Ahli Majlis KFA tidak menyedari, apatah lagi para pengadil yang tidak tahu apa-apa. Bila saya masuk semula dalam pengurusan pengadil di KFA, baru saya tahu sebenarnya tidak ada borang laporan yang dibuat oleh RA. Tiada satu catatan yang boleh direkodkan untuk rujukan.

5. Penilaian pengadil tidak dibuat secara rasmi. Tidak ada catatan yang sah untuk dirujuk tentang prestasi mana-mana pengadil. Borang Nilai Prestasi tidak disediakan untuk dilapor oleh RA yang dihantar bertugas. Yang ada hanyalah apa yang tersimpan di dalam kepala RA itu sahaja tanpa dapat dilihat orang lain. ini catatan tidak rasmi dan tidak disimpan di KFA.

6. Esok saya akan ke Langkawi untuk tugasan RA satu pertandingan bolasepak di Stadium LADA. Makan anginlah nampaknya sebab saya tidak perlu mengisi apa-apa borang. Penilaian untuk pengadil yang akan bertugas itu akan tersimpan kemas dalam ingatan saya sahaja. Jika takdirnya saya mati, laporan itu saya bawa bersama tanpa diketahui orang lain.

7. Selepas ini adalah menjadi harapan saya dan semua orang lain supaya pihak terlibat dapat menyediakan borang khas untuk menilai para pengadil KFA. Borang penilaian FAM boleh dijadikan rujukan yang baik. Dengan adanya borang sebegitu, laporan dapat disediakan dan direkodkan untuk dirujuk pada bila-bila masa. Selain untuk semakan dan rekod, laporan yang lengkap ditulis ini boleh dijadikan asas untuk peningkatan prestasi para pengadil. Untuk kebaikan KFA juga.

8. Sekioan. wasalam!

Thursday, August 13, 2015

DALAM BIDANG APAPUN, FAVORATISMA TETAP ADA


1. 'Favoratisma' adalah satu penyakit walaupun tidak ada yang menyedarinya. Penyakit ini membuatkan perasaan kita hanya menyukai sesuatu atau seseorang biar secacat manapun rupa dan tindakannya. Apa saja tentang perkara atau seseorang itu dianggap baik walaupun hakikatnya tidak seberapa. Nilaikanlah diri dan hati kita sendiri, ada atau tidak perasaan mahupun penyakit ini pada diri kita. Sudah semestinya kita tidak sedar kewujudannya.

2. Dalam bolasepak juga perkara ini tidak terlepas dari menerima tempiasnya. Biarpun dalam kalangan pemain mahupun dalam kalangan pengadil-pengadil, favoratisma timbul dalam kalangan para pegawai yang mengendalikan bidang-bidang tersebut.

3. Sebagai insan yang terlibat secara langsung di bidang pengadilan bolasepak, sangat saya sedar bahawa dalam kalangan ramai pengadil, ada beberapa orang sangat disukai dan difokuskan. Dan orang inilah yang akan diusahakan untuk ';naik' dan pergi lebih jauh. Orang lain hanyalah pelengkap dan membuang masa.

4. Saya masih ingat situasi pada tahun-tahun 86 - 90, ketika Persatuan Bolasepak Kedah baru hendak melonjak naik sebagai kuasa baru sukan nombor satu pada waktu itu, saya sendiri adalah insan yang menjadi fokus utama untuk naik dan pergi lebih jauh. walaupun ketika itu bersama saya ada beberapa orang lagi yang dipilih menjadi pengadil FAM dari negeri Jelapang Padi ini. Biarpun ketika itu telah ada Khalid Ariffin dan Othman Abdullah, tetapi oleh kerana mereka telah berusia, saya berada di ranking nombor satu pada masa itu meninggalkan Ismail Bakar dan Devudu di belakang.

5. Tetapi, itulah, kita manusia hanya boleh merancang tetapi yang memberi hanyalah Allah Maha Kuasa. mungkin bukannya rezeki saya, biarpun berbagai kesempatan saya perolehi, namun beberapa kesilapan menyebabkan saya menemui kegagalan. Saya gagal mengawal diri sesudah menjadi 'favorate' untuk naik ke tahap yang lebih tinggi.

6. Kesilapan yang paling besar terjadi ketika satu taklimat FAM untuk pengadil KFA mengenai perubahan undang-undang baru pada tahun 1989 berkaitan penjaga gol. Kelalaian saya menyebabkan kaset video taklimat tersebut hilang dari simpanan dan Jawatankuasa Pengadil FAM pada waktu itu, Haji Zainal Abidin dan S. Katravale meletakkan kesalahan ke bahu saya kerana saya sahaja yang bertanggungjawab dalam pengurusan taklimat tersebut. Beberapa minggu selepas itu barulah kaset tersebut dijumpai tetapi sudah terlewat untuk mereka memaafkan saya.

7. Dan selepas kurang diendahkan selepas peristiwa itu, tahap kecergasan saya semakin menurun kerana sudah tawar hati. Lalu selepas itu beberapa kali pula saya gagal memikat hati para pegawai biarpun kecergasan adalah 'atas urat' sahaja. Akhirnya dalam ujian kecergasan yang lain, saya gagal terus. Dan selepas itu teruslah bekubur kerjaya saya itu.

8. Ada beberapa situasi yang lain yang meyakinkan saya bahawa sebenarnya sikap favoratisma inilah yang banyak mempengaruhi peningkatan kita dalam apa hal sekalaaipun tetapi tentulah tidak dapat saya ulaskan dalam ruang yang terhad ini.

Tuesday, August 11, 2015

CATATAN PERJALANAN 1: DALAM DAKAPAN MADINAH AL-MUNAWARAH

Bila memutuskan untuk menunaikan umrah pada bulan Ramadan yang lepas, terkenang kembali waktu-waktu pahit dan manis ketika menjejakkan kaki di Tanah Suci beberapa tahun dahulu. Kalau dahulu musim haji, kali ini bulan puasa, dua situasi yang berbeza. Kemudian ditambah pula kali ini di bulan puasa yang kata orang banyak dugaan ketika di sana nanti.

                                           (Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah)

Namun begitu, sebaik tiba saat hendak berangkat, semua rasa sangsi dan gundah tentang waktu-waktu di sana nanti dilontarkan jauh-jauh. Masakan ibadat akan menyusahkan dan membebankan. Tentu sekali tidak. Dan penerbangan dengan MAS berjalan lancar dari Kuala Lumpur ke Jeddah tanpa apa-apa masalah. Ketika itulah baru berkenalan dengan sahabat-sahabat yang sama-sama ke destinasi yang sama.

                                       (Lapanganterbang King Abdul Aziz nampak lengang)

Lapanganterbang King Abdul Aziz di Jeddah menyambut ketibaan kami dalam suasana lengang dan tenang, satu petanda baik untuk sebuah ibadat. Dan kenderaan tiba mengambil kami untuk di bawa ke Madinah tidak terus ke Mekah. Kami tiba di Madinah dalam suasana malam baru bermula. Perjalanan beberapa jam dengan sebuah bas mini tidak terasa. Mungkin bilangan kami yang sedikit, hanya 12 orang memberi kelebihan untuk merasa selesa. mungkin juga kerana ibadat yang akan dilakukan amat diberkati.

                                             (Perkarangan Masjid Nabawi, Madinah)

Dan malam itu kami menunaikan solat Maghrib dan Isyak di Masjid Nabawi atau Masjid Nabi yang teletak di tengah kota Madinah Al-munawarah. Masjid Nabi memang berbah sama sekali sejak kali terakhir melihatnya pada tahun 2007. Payung-payung di ruang luar masjid telah siap dan digunakan sepenuhnya. Apabila payung itu dibuka pada waktu siang, kelihatan amat cantik sekali. Dan kami bersolat dengan penuh syahdu.

                                      (Jalanraya menyju Masjid Nabi dengan mercutandanya)

                                           (Payung terbuka luas menutup ruang luar masjid)

Lalu malam itu berlalu dengan kenangan amat manis. Letih perjalanan berjam-jam dari Jeddah ke madinah sedikit tidak terasa. Lepas bersolat dan ziarah Makaam Nabi dan para sahabat, kami pulang ke tempat penginapan dengan dada lapang untuk datang semula subuh nanti.


BAHASA MELAYU: KITA HANYA PURA-PURA

Minggu ini adalah minggu yang teramat sibuk dengan adanya Pertandingan Pidato Antarbangsa Bahasa Melayu. Dengar cerita para peserta datang dari seluruh pelosok dunia dari 6 benua dan lebih 75 negara. Begitu gah bahasa Melayu di mata dunia. Dikatakan lebih 300 juta manusia menggunakannya dan merupakan bahasa keempat dari semua bahasa di dunia. Setiap tahun kononnya semakin bertambah penggunanya dengan diajar di beberapa universiti terkenal di dunia.

Dan pertandingan pidato ini merupakan acara tahunan dan kononnya sangat dinanti-nantikan oleh ramai penduduk dunia. Tambahan pula kali ini diperkenalkan pula kategori baru iaitu kategori pelajar asing di Malaysia. Ini dilihat sebagai menambahkan lagi rencah pertandingan selain dari kategori antarabangsa dan kategori nusantara.

Begitulah hebatnya bahasa Melayu di mata orang luar khasnya para peserta pidato tersebut. Dan dalam minggu ini pastinya hal ini menjadi berita penting di media dan pasti juga berlambak pujian dan penghargaan diberikan kepada perserta dari luar negera ini. Para pemimpin juga tidak ketinggalan memuji dan memberi galakan dan penghargaan atas penganjuran dan penyertaan mereka.

Malangnya kita sendiri tidak endah sedikitpun tentang bahasa kebangsaan kita itu. Kita tidak peduli dan tidak ambil kisah samada ia menjadi bahasa harian kita ataupun tidak. Yang kita tahu, bahasa Inggeris dan bahasa ibunda masing-masing dituturkan seharian. Kalau adapun yang bertutur dengan bahasa Melayu, hanyalah sebahagian orang-orang Melayu. Itupun Melayu yang duduk di desa dan kampung yang kurang pendedahan dengan bahasa Inggeris.

Para pemimpin yang memuja dan memuji tadi juga turut melupakan bahasa Melayu. Bahasa kebangsaan amat jarang digunakan dalam majlis-majlis rasmi apatah lagi ketika menyambut tetamu dari negara asing. Mereka lebih bertenaga menggunakan bahasa Inggeris dari bahasa Melayu.

Media elektronik demikian juga, lebih mengutamakan bahasa lain dari bahasa Melayu biarpun dalam siaran Berita dan Buletin Utama. Setiap kali memasuki slot perniagaan, bahasa Melayu tidak kedengaran lagi. Bahasa Inggeris dan bahasa lain mula mengambil tempat seolah-olah bahasa Melayu bukanlah bahasa perniagaan.


Kita seronok menganjurkan pertandingan begitu rupa, bukan berminat sangat mempromosi dan memperkembangkan bahasa Melayu. Kita berpura-pura cintakannya tetapi tidak pernah berusaha memartabatkannya. PURA-PURALAH ITU NAMANYA.

Monday, August 3, 2015

MUNGKINKAH SEJARAH AKAN BERULANG?


1. Kami bermesyuarat beberapa jam kemarin di Bilik Mesyuarat Astaka Utama Stadium Darulaman. Beberapa keputusan san rumusan dibuat dengan fokus utama menambahkan jumlah dan di samping meningkatkan prestasi pengadilan bolasepak di Kedah khasnya. Semoga dengan perancangan-perancangan dan resolusi yang diputuskan, jumlah pengadil bolasepak akan bertambah dan mutunya meningkat sepanjang masa.

2. Lalu aku tetap tidak dapat lari dari mengenang kembali kepada situasi dan perancangan yang serupa yang kami buat lebih 10 tahu dahulu. Semuanya terlintas kembali dan nostalgia yang suka dan duka muncul semula di minda betapa lebih 10 tahun lalu begini juga aku, berusaha tidak mengenal penat dan jemu menambah bilangan pengadil dan juga berusaha meningkatkan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

3. Memori itu membuat aku terkedu semula. Apakah sejarah lama akan berulang? Apakah kekeciwaan yang sama akan melanda kembali diri ini yang amat mencintai bidang ini? Itulah yang bermain di fikiran sejak mula bertolak pulang dari diskusi hinggalah terlena malam tadi. Perkara ini tidak mustahil kerana hati manusia memang tidak dapat lari dari berperasangka.


4. Dahulu, sesudah bertungkus lumus berusaha dan menabur bakti ramai juga yang dapat 'dilahirkan' menjadi pengadil bolasepak di Kedah ini. Sesudah siang dan malam, tidak pernah kenal letih dan jemu, menjelajah ke serata daerah mengasah bakat-bakat baru, akhirnya semuanya hilang dan terus dikecewakan. Bakti ini tidak lagi diingati dan diletakkan di situasi yang sepatutnya. segala keistimewaan selepas itu menjadi milik orang lain, bukannya aku.

5. Segala yang disumbangkan termasuk memberi kursus-kursus, membuat perlantikan untuk tugasan dalam liga-liga utama anjuran KFA, usaha yang tidak kenal siang dana malam akhirnya dilupakan orang dan disisihkan begitu sahaja.

6. Dan hari ini aku berada di misi yang sama, dengan harapan yang serupa iaitu menambahkan bilangan pengadil yang boleh diharap dan meningkatkan mutu khidmat mereka dengan ilmu yang aku dan beberapa orang teman miliki. Itulah aku bawa pulang dua buah buku yang akan dirujuk semula sesudah tidak melihatrnya lebih dari 10 tahun. sekurang-kurangnya buku-buku itu nanti boleh membantu ke arah usaha tersebut.

7. Tetapi mungkinkah perkara yang sama akan berulang? Apakah aku akan disisihkan lagi seperti dahulu sesudah memberi sumbangan bakti yang tentunya bukan sedikit? Kemungkinan itu tidak dapat dielak dan dinafi. Aku dapat merasainya sesudah bermesyuarat kemarin hasil dari cakap-cakap dan ucapan yang diberikan.

8. Barangkali aku yang tersalah tafsir atau tersilap dengar. Hanya Allah yang mengetahui.

ADIOS!