Monday, January 12, 2015

BULAN BAHASA KEBANGSAAN PERGI BEGITU SAHAJA

Kata orang; Apa guna berjanji jika tidak ditepati.

Begitulah nasib Bulan Bahasa Kebangsaan, ia berlalu pergi begitu sahaja. Sesudah dilancarkan sejak September, meliputi Oktober dan hingga penghujung November, BBK senyap dan tamat tanpa sesuatu aktiviti bahasa yang boleh dibanggakan apath lagi untuk dikenang sebagai majlis terhebat.

MH370 dan MH17 lebih diutamakan sehingga saban hari cerita mengenainya tidak pernah surut. Diikuti pula dengan musibah banjir yang melanda negara, menyebabkan segala perancangan (jika ada perancangan) terpaksa dilupakan saja. Sepanjang masa cerita mengenai 2 kapalterbang itu menjadi penghias akhbar dan televisyen. 

Dan sekarang ditambah pula dengan peristiwa jatuhnya QZ8501 milik AirAsia Indonesia, saban hari ada saja cerita tentangnya dibuat liputan. Tidak ada lagi cerita tentang bahasa tercinta ini. 

Tetapi QZ8501 nasib baik, ia kapalterbang Indonesia. Kalau ia kapalterbang Malaysia sudah pasti kita akan mendengar Perdana Menteri dan menteri-menteri yang lain tumpang memberi laporan yang semuanya dalam bahasa Inggeris. Oleh kerana ia menjadi tanggungjawab Indonesia, kita boleh mendengar setiap masa laporan dalam bahasa Indonesia.

Syabas Indonesia. anda amat bijak menilai dan meletak bahasa anda di persada yang tinggi. Situasi ini tidak berlaku di Malaysia sehinggakan cerita tentang banjir dan bantuan untuk mangsa banjir juga ada yang dibuat dalam bahasa Inggeris.

Di Indonesia, bahasa Indonesia menjadi bahasa kelas pertama, tetapi di Malaysia bahasa Melayu menjadi bahasa kelas kedua.