Saturday, July 27, 2013

KENARI TERBANG TINGGI 3

Sebelum pergi jauh, ingin sekali saya ucapkan tahniah kepada Datuk Mukriz Mahathir yang dipilih memegang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah yang baru menggantikan Dato' Seri Azizan. Biar bagaimana payah pun, misi mengembalikan kegemilangan bolasepak negeri Kedah yang sekian lama merosot teruk tetap menjadi agenda utama di bawah kepimpinan baru ini. Semoga perlantikan Datuk Mukriz memberi inspirasi baru kepada pentadbiran KFA sendiri.

Tegasnya, siapapun menjawat jawatan presiden adalah perkara biasa tetapi jika pentadbiran KFA masih juga seperti sebelum ini, sampai bilapun KENARI tetap juga tidak tinggi terbangnya. Pentadbiaran KFA mesti kembali kepada keadaan ketika Datuk ahmad Basri (Allahyarham) menjadi Timbalan Presidennya. Pada ketika itu Kenari amat disegani lawan. Kenari bukan pasukan belasahan.

KFA patut meletakkan orang yang benar-benar 'orang bola' dalam senarai kepimpinannya, bukan setakat orang yang pandai mentadbir tetapi tidak faham bolasepak. Kalaua masih juga memilih pentadbir yang tidak faham tentang 'padang bola', jadilah seperti sebelum ini.

Dapatkan pegawai yang memahami bidang itu. Pilihlah jurulatih yang betul-betul berjaya, bukan mengambil jurulatih yang tidak diperlukan pasukan yang lain. Lihatlah apa yang telah terjadi kepada Ahmad Yusof dan Wan Jamak di Kedah semasa memimpin KENARI.

Lihat juga apa yang berlaku dalam bidang kepengadilan bolasepak di KFA. Berapa ramai pengadil  dan bekas pengadil yang berwibawa membawa diri berdaftar dengan persatuan negeri lain kerana sesuatu yang tidak munasabah berlaku di Kedah. Dan bukalah mata, berapa orang pengadil dari Kedah yang berada di dalam senarai pengadil FAM? Ini membuktikan bahawa Jawatankuasa Pengadil sendiri tidak berfungsi dengan baik. Bagaimana pula dengan pembangunan pengadil bolasepak di Kedah?

Semua aspek ini perlu diperhatikan oleh Presiden baru KFA, bukan setakat mendengar laporan dari para pegawai yang sama ketika Kedah merudum dahulu. Jika perlu, lantiklah pegawai-pegawai yang baru menyulami para pegawai yang sedia ada.

Dan didoakan semoga KENARI terbang tinggi musim akan datang, lebih-lebih lagi di bawah kepimpinan baru ini.

Tahniah!!


Thursday, July 25, 2013

APA YANG KITA HARAPKAN DARIPADA MEREKA?

Apabila pemuda bernama Sharol Aizan mohamad damanhuri didapati meninggal dunia tersepit di besi tingkap ketika cubaannya menceroboh kediaman jirannya, saya tidak terperanjat dengan nasibnya tetapi terkesima dengan langkah bapanya, Mohamad Damanhuri yang mahu menyaman pemilik rumah tersebut atas nasib yang menimpa anak beliau.

Menurut pendapat Mohamad Damanhuri tidak munasabah anaknya mati tersepit melainkan ia dibunuh atau dianiayai dengan apa cara oleh tuan rumah berdasarkan kesan-kesan ditubuh badan anaknya itu. Beliau bercadang melantik peguam dan mahu melakukan bedah siasat kedua tetapi masih tidak mahu menerima keputusan andainya keputusan tetap sama.

Saya tidak tahu apa jenis manusia bernama Mohmad Damanhuri ini. Jika keputusan tidak memihak kita tidak kita terima, buat apalah bedah siasat kedua? Buang masa, buang duit dan buang tenaga. Anak sudah meninggal, terimalah keputusan dan redalah ia sebagai ketentuan Ilahi.

Lagipun apa yang kita harapkan dari tuan rumah yang kita ceroboh itu? Mahu dia melayan kita bagai 'putera' apabila ditahan dalam keadaan begitu? Bayangkan jika rumah anda diceroboh orang, apa anda akan buat? Lebih-lebih lagi jika telah beberapa kali diceroboh tetapi gagal menahan pelakunya. Biarkan saja dan jemput dia masuk untuk 'minum kopi' dengan anda? Kesan di tubuh pemuda itu entah sudah berapa lama ada di badannya. 

Terimalah hakikat bahawa anak kita melakukan satu kesalahan yang tidak sepatutnya. Redalah dengan ketentuan Ilahi. Dan tidak mungkin ia akah hidup kembali biar apapun tindakan anda. 

Muhasabah diri bahawa anda telah gagal menjadikan dia insan yang dibanggakan.

Fikir-fikirkanlah!

Sunday, July 21, 2013

BAHASA MELAYU: MEREKA TIDAK BERUSAHA ATAU TIDAK SUKA?

Malam tadi semasa siaran berita di TV1 kita berpeluang menonton temuramah stesen Tv itu dengan Imam Mekah yang datang sebagai Imam Jemputan ke negara ini. Sudah menjadi kelaziman negara khasnya kerajaan-kerajaan negeri menjemput imam dari Mekah untuk mengimamkan solat tarawih di beberpa masjid.

Apa yang menarik dalam temuramah tersebut bukan apa yang disampaikannya tetapi bahasa yang Imam tersebut gunakan, Bahasa Melayu yang cukup meyakinkan. Fasih sebutannya dan kena pula nahunya. Kita yang Melayu sendiri pun kadang-kadang 'hentam keromo' tanpa mengambil kira sangat susunan ayat dan perkataan. 

Betapa mudahnya kalau mahu belajar dan bertutur Bahasa Melayu. Beliau yang telah datang sebanyak 14 kali ke negara ini, berupaya bercakap seperti orang Melayu malah lebih baik dari Melayu sendiri, bagaimana pula kaum-kaum yang lain yang mengaku sebagai rakyat negara ini? Kaum-kaum ini yang tinggal tetap di negara ini dari kecil hingga dewasa, malah ada yang telah menetap selama lebih 50 tahun masih tidak boleh menguasai bahasa Kebangsaan itu.

Imam tersebut hanyalah tinggal di negara ini untuk tempoh sebulan (Ramadan sahaja) dan dalam tempoh 14 kali datang sudah boleh menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Tak malukah kita? Mengaku rakyat negara ini dan tinggal setiap hari selama lebih 50 tahun, tetap tidak boleh kuasainya.

Adakah mereka tidak berusaha untk belajar atau memang sengaja tidak suka berbahasa kita? 

Fikir-fikirkanlah!

Tuesday, July 16, 2013

DURIAN RUNTUH ATAU RUNTUHNYA DURIAN?

Suatu pagi ketika melawat kebun yang sekangkang kera, niat hendak melihat-lihat kalau-kalau ada durian yang gugur, memang ada yang gugur. Setelah seharian kemarin tidak menjenguk pokok durian di situ, rasa hati pasti ada yang akan menjadi rezeki. 

Memang betul, ada rezeki. Banyak sekali. 


Begitu banyak buah durian yang gugur.  Lebih 200 biji gugur ke tanah bila pokok itu tumbang terus akibat ribut petang sebelum itu. Ada yang masih muda dan ada juga yang menunggu hari untuk gugur. 




Beberapa pokok buah-buahan yang lain juga turut tumbang dan terbungkas akarnya. Bersama durian itu sepohon dokong yang besae, 3 pokok langsat dan sepokok manggis. Terlalu banyak buahnya tetapi masih belum masak.


Rezeki yang tidak menjadi rezeki. Itulah sebenar-benarnya durian runtuh!

Kata teman-teman, sepatutnya pokok-pokok tersebut tidak mungkin tumbang kalau tidak kerana longkang yang dibuat oleh jiran sebelah kebun itu. Bila jiran tersebut memngorek longkan di tepi sempadan tanahnya, habis semua akar-akar pokok terputus. Bila datang angin, terus mudah terbungkas. Ada juga kebenarannya tetapi takdir penentu segalanya.

Kesimpulannya, tidak ada rezeki!

Sunday, July 14, 2013

YANG AKU DENGAR DAN YANG AKU LIHAT

Kerap kali aku dengar mereka mempertahankan bahasa bangsaku, Bahasa Melayu. Mereka, para pemimpin negara berdegar-degar meninggikan suara membela bahasa itu dan mempromosikan ia sebagai bahasa ilmu dan bahasa dunia. kononnya ia bahasa keenam paling ternama di dunia dan ia digunakan hampir 250 juta manusia di dunia. Begitulah yang aku dengar.

saban kali juga aku dengar para pemimpinku dan para pengikut mereka begitu sinis mengutuk kaum-kaum tertentu tentang artikel 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan. Betapa lantang mereka menentang segala macam provokasi terhadap perkara-perkara itu sehinggakan aku terfikir akan bewrelaku pertelingkahan besar seperti terjadi tahun 69 dahulu. Begitulah yang aku dengar.

Tetapi yang aku lihat orang-orang ini juga yang melanggar prinsip mereka sendiri. Merekalah juara dalam memutarbelitkan kata-kata. Merekalah yang malu menggunakan bahasa mereka sendiri. Mereka seperti terhina bila menggunakan bahasaku ini, Bahasa Melayu yang mereka begitu keras mempertahankannya.

Yang aku lihat orang-orang ini juga yang sering bercakap Inggeris bila ada apa-apa majlis besar biarpun hadirin adalah rakyat negara ini sendiri. Tokoh-tokoh besar ini nampak lebih selesa menggunakan Inggeris daripada Bahasa Melayu.

Lihat sahaja di TV, setiap kali berita bidang perniagaan dan korporat, bahasa apa yang digunakan? Bahasa Melayu? Jangan haraplah padahal yang mendengare dan yang melihat adalah rakyat Malaysia sendiri.

Dalam dunia politik mereka juga begitu. Aku dengar mereka berseteru bagai nak gila, tetapi apa yang aku lihat mereka duduk semeja sambil ketawa jenaka. Pada masa yang sama pengikut mereka berkelahi bagai nak gila.

Yang aku dengar dan yang aku lihat tidak pernah sama.
adakah ini semua permainan mereka belaka?


Saturday, July 13, 2013

ATLET TERBAIK

Sukma (Sukan Malaysia) telah melabuhkan tirai lebih seminggu lalu dan berbagai keputusan di luar dugaan dihidangkan kepada khalayak sukan. Soal bagaimana minuman keras dapat masuk ke penginapan atlete menimbulkan persoalan. Kes membabitkan 3 pemain bola baling WP menjadi topik hangat mengalahkan kemeriahan menobatkan atlete terbaik lelaki dan wanita.

Bila berbicara tentang atlete terbaik, yang menjadi fokus perbincangan ialah apakah kriteria yang diambil sebagai asas pemilihan. adakah pencapaian atlete diambil kira atau hanya jumlah pingat yang diraih menjadi kriteria utama? Tetapi keputusan yang diberi pada malam gemilang itu nampaknya kriteria terakhir yang menjadi asas pemilihan iaitu siapa yang banyak dapat pingat emas itulah atlete terbaik untuk satu-satu kejohanan.

Jika kriteria itu yang menjadi asasnya, bilakah danadakaha peluang pemain-pemain bolasepak akan menjadi pilihan? Bagaimana pula dengan permainan-permainan lain seperti hoki, bola jaring dan bola baling? Tentu tidak mungkin mendapat lebih dari satu pingat emas, sudah tentu tidak layak untuk menjadi pilihan pihak juri.

Sepatutnya MSN memikirkan satu kaedah yang lainyang boleh diterima oleh atlete dari sukan-sukan yang lain terutama permainan. Atau MSN wujudkan satu kategori khas untuk permainan-permainan dari kaedah yang digunakan sekarang. Barulah selepas ini para pemain bolasepak, hoki, bola jaring dan bola baling dapat berangan-angan untuk satu hadiah khas untuk mereka; Atlete Terbaik.