Saturday, June 25, 2011

MAHARAJA LAWAK YANG TIDAK LAWAK

Keputusan program Maharaja Lawak kendalian Astro telahpun diumumkan. Mahu tidak mahu, terima sahajalah ‘kumpulan Sepah’ yang berasal dari Johor sebagai juara dan dinobatkan sebagai ‘Maharaja’ program tersebut walaupun sebenarnya terlalu banyak yang boleh dipertikaikan.

Bak kata orang, ‘rumah sudah pahat berbunyi’. Tetapi hakikatnya memang pahat terpaksa berbunyi kerana selagi rumah tidak siap tidak nampak cacat celanya. Ramai yang menjangkakan ‘Jozan’ patut menjadi juara walaupun kalungan bunga kemenangan seakan menjadi milik ‘Nabil’. Malangnya Sepah menduduki carta teratas walaupun jenaka mereka amat menyakitkan.

Entah kenapa, ramai antara kita masih terpukau dengan jenaka yang amat memalukan dengan menyentuh keperibadian seseorang. Sepatutnya kumpulan Sepah jangan meniru dan memperlekehkan penceramah agama dan motivasi Puan Norbahyah Mahmood yang berasal dari Yan, Kedah itu.

Apa motifnya Sepah meniru dan mempersenda watak motivator suami isteri itu? Lebih meyakitkan lagi pengkritik yang diberi jolokan ‘The Legend’ oleh pengacara AC Mizal memuji dan memberi markah penuh kepada Sepah dan mengiktiraf  persembahan mereka sebagai jenaka Melayu terbaik. Masakan jenaka mempersendakan orang lain sebagai jenaka yang dimaksudkan sebagai terbaik dan patut diberi markah penuh?

Ini adalah kali kedua Sepah meniru dan mempersendakan tokoh motivasi tersebut. Kali pertama adalah di persembahan seminggu sebelum itu iaitu yang dibuat di Johor Baharu.

Walaupun komen ini tidak boleh mengubah apa-apa keputusan, diharap perkara sebegini tidak berulang. Sekiranya terjadi lagi selepas ini maka sahlah bahawa penonton berbangsa Melayu (Rata-rata penonton Maharaja Lawak adalah Melayu) memang mengiktiraf jenaka yang mempersendakan orang lain atau orang Melayu memang suka mempersendakan orang lain.

Saturday, June 18, 2011

DI MALAM TERAKHIR


Di malam terakhir ini
terasa melonjak hati
akan bersamamu hingga ke pagi
seperti mula kita bertemu dahulu
dan bangun segar di hening pagi
ceria wajahku menceritakan segalanya.

Di malam terakhir ini
hanya impian melangkaui tubuhku
engkau tinggalkan aku sendirian
di kamar duka ini seperti seringnya
dan aku tergapai bangun di dinihari
mengusap tubuhku sendiri kedinginan.

Di malam terakhir ini
aku hanya sempat
memeluk kedinginan pagi seorang diri
bersama kicau burung menyapaku
dan engkau membelakangiku
sepanjang malam dengan berbagai cerita
mengelak diri menghalang aku mendekatimu.

Di malam terakhir ini
aku ucap terimakasih 
dapat juga mencium belakangmu
kerana itu sahaja yang engkau berikan kepadaku
atau itu sahaja yang layak untukku.

Jun 2011

Wednesday, June 1, 2011

JIKA SUDAH BEGITU

Jika sudah begitu

katakan sahaja tidak suka
tidak payah lagi banyak bicara
tidak payah bermuka-muka
dan tidak payah menampakkan ceria.


Jika sudah begitu
keputusanmu untuk tidak peduli
lebih baik aku juga ambil keputusan
untuk tidak lagi menanti.


Jika sudah begitu rumusan berakhir
untuk aku pergi
lebih baik aku tidak mengharap lagi.

Mei 2011