Thursday, September 18, 2008

PERALIHAN KUASA

Peralihan Kuasa tetap akan berlaku. Seperti yang telah diumumkan, tarikh paling akhir untuk tujuan itu ialah pada Jun 2010, iaitu dua tahun dari sekarang. Semua pihak telah menyatakan sokongan dan bersetuju dengan pengumuman perkara tersebut oleh Perdana Menteri. Tidak ada satu suara pun yang membantah.

Dato’ Seri Najib sendiri dengan senang menyatakan sokongan kepada Dato’ Seri Abdullah terus menerajui kerajaan dan beliau terus setia menjadi orang nombor dua. Malah reaksi awal beliau ialah rasa amat terharu dengan kepercayaan DS Abdullah. Hampir sebulan perkara itu menjadi bahan berita akhbar-akhbar tempatan dan luar negara. Orang melihat ia sebagai satu kompromi bagi menangani desakan-desakan supaya DS Abdullah meletak jawatan selepas kekalahan di luar dugaan dalam PRU12 yang lalu.

Itu sudah berlaku beberapa bulan yang lalu. Sekarang nada sudah berbunyi lain pula. Lepas seorang, seorang tokoh bercakap tentang jangkamasa berlaku peralihan kuasa ini yang terlalu lama. Ada suara yang mahu ia dipercepatkan. Yang menjadi tandatanya rakyat, mengapa semasa berhadapan dengan DS Abdullah sebelum ini tidak disebut lngsung tentang perkara itu? Semua telah bersetuju.

DS Muhyiddin Yasin mula mempertikaikan perkara ini. Beliau mahu DS Abdullah memikirkan semula tentang tarikh peralihan kuasa tersebut. Kalau boleh ia mahu dipercepatkan kerana itu adalah desakan rakyat, menurut beliau. Permintaan Muhyiddin inilah yang membawa kepada kemelut terbaru di dalam UMNO sekarang sehingga berlaku persengketaan peribadi antara DS Muhyiddin dengan Datuk Zaid Ibrahim. Rentetan dari perkara tersebut, ditambah dengan isu ISA, membawa kepada perletakan jawatan Zaid Ibrahim.

Mulalah beberapa tokoh lain cuba mencari ‘nama’ dengan membuat komen-komen yang bukan hendak membantu, tetapi lebih kepada parahnya UMNO. Ada yang kata tidak wajar DS Muhyiddin mempertikaikan perkara tersebut. Ada juga suara yang sependapat dengan Muhyiddin. Akhirnya medan pertikaian antara tokoh-tokoh UMNO ini bermula kembali.

Dato’ Seri Najib yang semasa pengumuman DS Abdullah sebelum ini sangat ‘terharu’, telah mula bersuara sebaliknya. Beliau mahu perkara peralihan kuasa ini ditentukan dalam perhimpunan Disember ini. Biar ahli-ahli tentukan bila ia patut berlaku. Sudah lain pula nadanya. Mesej DS Najib lebih kurang sama dengan mesej DS Muhyiddin. Pak Lah tentulah sedar perkara ini.

Kemudian diikuti pula dengan pandangan DS Hishamuddin yang terang-terang menyokong DS Najib supaya perkara peralihan kuasa diputuskan para perwakilan. Pendapat ini dipersetujui oleh DS Mohd Ali Rustam. Semuanya hendak tumpang semangkuk mencari ‘nama’ bagi mencuri tumpuan semasa pemilihan nanti.

Cuma YB Khairi Jamaluddin sahaja yang mempertahankan bapa mertuanya menggesa ahli-ahli akur dengan tarikh peralihan kuasa yang telah diputuskan.

Teringat saya kepada kes Alahyarham Dato’ Harun Idris kira-kira 30 tahun yang lalu. Sehari selepas menyatakan sokongan tidak berbelah-bagi kepada Datuk Harun, orang-orang yang sama juga mencadang dan menyokong undi tidak percaya terhadap beliau. Hari ini mengaku berdiri teguh di belakang Datuk Harun, esoknya pakat-pakat singkirkan beliau dari kerusi Menteri Besar Selangor pada ketika itu. Akhirnya Datuk Ahmad Razali menggantikan Datuk Harun.

Inilah yang dikatakan politik, hari ini kita kawan, esok belum tahu. Orang politik semua faham ini, hendak berpolitik mesti kena jadi orang bijak.

Baru sebulan lebih DS Najib terharu dan menyatakan sokongan terhadap kepimpinan DS Abdullah, sekarang bersama-sama DS Muhyiddin mahu perkara ini diputuskan oleh para ahli dalam perhimpunan Disember ini.

Dan hari ini DS Najib membuat kejutan lagi dengan kembali mempersetujui tarikh 2010 itu setelah DS Abdullah mengumumkan pertukaran kementerian antara mereka berdua. DS Abdullah mengambilalih Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan diserahkan kepada DS Najib.

Macam-macam orang politik masa kini, sukar kita menduga apa akan berlaku esok.

Wednesday, September 17, 2008

APA DAH JADI DENGAN UMNO?

Hari ini, selasa 16 September 2008, sepatutnya sudah ada kerajaan baru memerintah negara. Kalau dilihat dari apa yang telah berbulan-bulan diwar-warkan, hari ini kita mendapat Perdana Menteri baru menggantikan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tetapi dari perkembangan semasa nampaknya perkara tersebut tidak terjadi sebaliknya perkara lain pula yang melanda kerajaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim meletak jawatan dengan rasminya.

Tetapi bagi saya dan orang-orang kampung yang lain, bukan itu yang menjadi persoalan. Bagi kami di kampung-kampung, siapa pun yang jadi Perdana Menteri tidak menjadi hal. Menteri mana pun yang letak jawatan, tidak menjadi hal juga. Kami tetap juga macam ini, menjadi nelayan dan petani. Yang ada kedai kecil terus berniaga. Yang ada teksi terus ‘kelong’ mencari penumpang. Saya terus juga menjadi badut pasaraya.

Kalau ada Perdana Menteri baru pun kami tetap tidak berubah. Biar berapa pun menteri meletak jawatan, kami tetap juga macam ini. Tengok negeri Kedah. Kerajaan sudah bertukar. Menteri Besar bertukar baru, tapi apa perubahan yang ada tentang nasib kami di kampung-kampung? Muka wakil rakyat pemerintah baru pun tak pernah nampak.

Yang menarik perhatian saya adalah tentang gelagat dan perangai para pemimpin yang masing-masing sedang berusaha membina diri sebagai jaguh. Tidak habis-habis para pemimpin sekarang menimbulkan keresahan rakyat. Apa akan jadi kepada negara ini? Masa yang ada dihabiskan untuk berpolitik sehingga sumber negara yang ada tidak dimajukan. Patutlah Duli Yang Mulia Raja Muda Perak, Dr. Raja Nazrin Shah mengeluarkan titah agar para pemimpin parti berhenti berpolitik sebaliknya berusaha membangunkan negara.

Dalam keadaan dirinya yang cukup tenat sekarang, UMNO memaparkan pergeseran yang amat memalukan sesama sendiri di kalangan para pemimpinnya. Setiap hari ada sahaja isu yang ditimbulkan. Kata mengata dan sanggah menyanggah dengan hujah yang semuanya berfokus kononnya hendak menyelamatkan UMNO. Semua kononnya dengan niat hendak mengembalikan kepercayaan rakyat yang telah terhakis selepas ‘tsunami’ PRU 12 yang lalu. Betul-betul tak malu!

Tetapi apa yang jelas sekarang, tidak nampak pun satu kenyataan yang menuju ke arah menyelamatkan parti. Sebaliknya ia membawa kepada kehancuran yang lebih nyata. Saya tidak akan terkejut jika satu masa nanti UMNO hanya akan menjadi bahan rujukan dalam buku-buku sejarah di sekolah-sekolah.

Bermula dengan gesaan Datuk Seri Muhyiddin Yasin supaya DS Abdullah memikir semula tarikh peralihan kuasa kerana tarikh jun 2010 terlalu lama. Secara simbolik, DS Muhyiddin mahu perkara tersebut disegerakan. Bermulalah pergeseran apabila beberapa tokoh pemimpin lain mengkritik DS muhyiddin, malah ada kalangan pemimpin mahu beliau meletak jawatan kerana tidak akur dengan perkara yang sudah diputuskan dalam perbincangan. Yang paling lantang adalah Datuk Zaid Ibrahim.

Pertikaian digawatkan lagi dengan kritikan Datuk Zaid terhadap penggunaan ISA terhadap wartawan dan ahli politik. Medan pun terbuka. Muhyiddin membalas meminta Datuk Zaid meletak jawatan kalau tak bersetuju dengan apa yang dibuat oleh kerajaan. Datuk Zaid mengambil sikap ‘gentlement’ dengan meninggalkan kerajaan demi berpegang kepada prinsip.

Yang peliknya, kedua-dua kes yang menjadi pertikaian ini telah dibincang bersama semasa mesyuarat kabinet dan Majlis Tertinggi parti. Hasil dari kedua-dua mesyuarat itu, semua bersetuju, tiada siapa bangkitkan bantahan. Dalam gelak ketawa, semua bersetuju malah Datuk Seri Najib sendiri menyatakan rasa terharu dengan pengumuman Pak Lah mengenai peralihan kuasa itu. Muhyiddin pun tidak memberi sebarang komen. Datuk Zaid sendiri tidak berusaha mencadangkan supaya ISA tidak harus digunakan sedangkan beliau sendiri memegang jawatan ‘Menteri Undang-undang’ dalam kabinet.

Alih-alih sekarang semua sudah menjadi lain. Kenyataan-kenyataan dibiar terpampang di dada akhbar supaya dibaca umum. Masing-masing mahu menjadi pembela sehingga rakyat di dalam keresahan. Semua ini nampak seolah-olah hendak mencari publisiti. Atau hendak menjadi jaguh bangsa? Melihat keadaan ini orang sudah boleh membuat andaian bahawa tidak ada lagi harmoni di dalam UMNO.

Apa sudah jadi dengan UMNO. Jangankan hendak menawan hati rakyat semula, malah rakyat akan menjauhkan diri dari sengketa ini. Gasak kamulah!

Begitulah politik zaman ini. Hari ini kita kawan, esok belum tahu.

Sunday, September 14, 2008

NASIB BAHASA MELAYU DI TANAHAIRKU

Sebagai seorang Melayu, saya berasa amat malu dan amat jelek malam ini (13 September 2008). Dalam kita sibuk-sibuk sedang berusaha untuk memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu dan seterusnya memartabatkannya ke persada yang lebih tinggi, ada juga orang Melayu yang tidak betah menggunakannya. Barangkali lekeh sangat kalau menggunakan Bahasa Melayu bila bercakap.

Naik mual saya mendengar Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Syed Hamid Albar bercakap dalam sidang media melalui slot Buletin Utama di TV3 jam 8.00 malam tadi. Sepanjang Sidang Media tersebut yang disiarkan selama hampir 15 minit, hampir tiada satu pun perkataan Melayu yang digunakan. Keseluruhan sidang itu berjalan dalam Bahasa Inggeris seolah-olah saya menonton satu Sidang Media dari Bangsa-bangsa Bersatu.

Saya akui bahawa penguasaan Bahasa Inggeris Dato’ Seri Syed Hamid sangat baik penggunaan kata-kata beliau sangat jelas dan mudah difahami. Malah sepanjang yang pernah saya ikuti, memang beliau bijak bertutur dalam bahasa itu melebihi tokoh-tokoh lain, lancar dan senang difahami.

Apa yang dikesalkan ialah khalayak yang mendengar ketika itu adalah para wartawan yang majoritinya adalah orang-orang Malaysia. Orang Malaysia dari berbagai bangsa yang sudah tentu mengetahui dan faham Bahasa Kebangsaan sesudah kita merdeka selama 51 tahun.

Sepatutnya Sidang Media tersebut diadakan menggunakan Bahasa Melayu, bahasa kita sendiri yang sedang kita hendak perkasakan ini. Rakyat yang mengikuti siaran Buletin Utama TV3 melopong mendengar entah apa yang diucapkan oleh beliau. Kalau dalam Bahasa Melayu boleh juga faham memandangkan slot rancangan adalah untuk menyampaikan maklumat.

Ini bukan kali pertama kita mendengar para pemimpin negara bercakap Inggeris di hadapan khalayak yang terdiri daripada orang Malaysia sendiri. Baru dua hari lepas Dato’Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, Perdana Menteri mengadakan Sidang Media dalam Bahasa Inggeris. Semalam Dato’ Seri Mohammad Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri menggunakan Bahasa Inggeris dalam ucapan beliau di hadapan khalayak Malaysia.

Nampaknya para pemimpin sendiri tidak berminat untuk menggunakan Bahasa Kebangsaan, apatah lagi orang lain. Tidak hairanlah selepas itu, dalam slot yang sama, En Lim Kit Siang dari Parti DAP bercakap menggunakan Bahasa Inggeris. Tapi dalam masa yang sama, para pemimpin sendiri yang sering bercakap dan menyuruh rakyat menggunakan Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Melayu dalam amalan harian.

Sudah 51 tahun kita merdeka. Tidak ada alasan rakyat Malaysia tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu atau sekurang-kurangnya memahami bahasa itu. Sepatutnya Bahasa Melayu telah lama berada di persada paling tinggi jika kita semua, tidak kira bangsa, darjat, pangkat dan kelompok masyarakat ada rasa tangungjawab ke arah itu. Jangan hanya pandai membuat dasar tetapi kita sendiri merasa malu melaksanakannya.

Kita menyuruh orang menggunakan Bahasa Melayu, tapi kita sendiri malu menggunakannya. Kita suruh rakyat bercakap Melayu tapi kita tidak mahu bercakap Melayu. Kita gubal perlembagaan dengan jelas Bahasa Melayu termaktub sebagai Bahasa Rasmi, tapi di waktu yang sama kita masih mengagungkan Bahasa Inggeris. Bukan Bahasa Inggeris yang jadi bahasa kedua, tapi Bahasa Melayu yang jadi bahasa kedua.

Yang bukan Melayu masih dengan bahasa ibunda masing-masing, tidak pernah mahu belajar dan mengamalkan Bahasa Melayu dalam pertuturan harian. Mereka bercakap Melayu pun sekadar hendak ambil hati, itupun keluar dengan telor yang amat menyedihkan seolah-olah itulah kali pertama datang ke Malaysia. Kepada mereka, Bahasa Melayu hanyalah bahasa kelas tiga selepas bahasa ibunda dan Bahasa Inggeris.

Bagaimanapun saya memuji beberapa tokoh seperti Tan Sri Lee Lam Thye, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, Datuk Ong Tee Keat, sasterawan En Uthaya Sankar SB dan beberapa orang tokoh lagi yang berjaya menguasai Bahasa Kebangsaan ini dengan baik sekali. Malah yang lebih terpuji, mereka sentiasa berusaha untuk bercakap Melayu, tidak Bahasa Inggeris.

Jadi, tidak patutsama sekali jika kita marah-marah bila papan-papan tanda nama jalan di Ibu Negara hendak ditulis dalam Bahasa Cina dan Tamil. Sebaliknya lihat dalam diri kita sendiri. Kesalahaan terletak dalam diri kita. Para pemimpin negara kita sendiri lebih senang menggunakan Bahasa Inggeris daripada Bahasa Melayu. Dasar-dasar dan toleransi yang kita bina tidak menggalakkan kepada usaha mempertingkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa itu sendiri.

Friday, September 12, 2008

NASIB BAHASAKU

Bila bercakap tentang Bahasa Melayu, saya rasa amat terkilan. Bukan kerana Bahasa Melayu tidak bagus, jauh sekali kalau hendak mengatakan ia tidak berguna. Tapi dari apa yang dilihat akhir-akhir ini, Bahasa Melayu semakin layu dan menyimpang dari usaha-usaha memartabatkannya. Agaknya rasa cinta terhadap bahasa nenek moyang ini telah hilang di kalangan rakyat Malaysia khasnya orang-orang Melayu sendiri.

Saya suka melihat negara-negara jiran terutama Thailand dan Indonesia. Rakyat negara itu begitu cintakan bahasa mereka. Di Thailand, (kebetulan negeri saya berjiran dengan mereka) Bahasa Thai menjadi bahasa pertuturan mereka. Dalam acara-acara rasmi mereka gunakan Bahasa Thai malah kecintaan mereka terhadap bahasa dan budaya mereka terbawa-bawa sehingga nama mereka pun adalah dalam Bahasa Thai, tidak kira mereka keturunan Siam, Cina atau Melayu.

Di Indonesia juga serupa. Bahasa Indonesia dijulang ke martabat yang paling tinggi. Mereka gunakan Bahasa Indonesia dalam pertuturan mereka tidak kira dalam majlis rasmi atau tidak rasmi. Malah nama-nama mereka pun ditukar ke Bahasa Indonesia sehingga menjadi kesukaran kepada kita untuk mengenali keturunan mereka samada Melayu atau Cina. Sama sahaja.

Tetapi di negara kita lain pula jadinya. Orang Malaysia tidak suka bahasa sendiri. Yang peliknya antara mereka ini adalah orang-orang Melayu sendiri. Kaum yang lain masih mengekalkan Bahasa Ibunda mereka dan menjadikan Bahasa Rasmi negara ini hanya sebagai bahasa kelas ketiga. Tapi orang-orang Melayu sendiri seperti lupakan hakikat kewujudan bahasa itu dan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kelas kedua.

Kalau begini keadaannya, jangan lagi kita harap bahasa ini akan berada di persada lebih tinggi, malah akan terperosok ke lembah yang menyayat hati.

Para pemimpin Melayu selalu bercakap untuk memartabatkan Bahasa Melayu. Mereka menyeru para pelajar mendalami ilmu bahasa itu dan mengunakannya dalam aktiviti harian. Ada seorang pelajar universiti tempatan di selatan tanahair bertanya saya bagaimana hendak memartabatkan Bahasa Melayu menjadi bahasa bertaraf dunia. Dia sedang menyiapkan tesisnya mengenai perkara itu. Kasihan dia, begitu cintanya terhadap Bahasa Melayu.

Tetapi Para pemimpin Melayu sendiri secara terang-terang meletak bahasa itu ke dalam kelompok kelas dua. Kononnya untuk maju, gunakan Bahasa Inggeris lantas diperkenal PPSMI untuk tujuan tersebut. Ini memberi makna bahawa pemimpin sendiri tidak mengiktiraf dan tidak yakin bahawa Bahasa Melayu boleh memajukan bangsa. Tetapi kita lihat Jepun dan Korea maju juga walaupun menggunakan bahasa ibunda mereka mendalami ilmu.

Orang-orang Melayu sendirilah yang meminggirkan Bahasa Melayu. Jangan salahkan orang lain. Semalam sahaja beberapa tokoh ditemuramah pemberita, dan apabila menjawab, mereka menggunakan Bahasa Inggeris. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah sendiri ketika sidang akhbar bercakap Inggeris sedangkan khalayak pada masa itu adalah wartawan tempatan yang rata-rata tahu dan faham Bahasa Melayu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahril Samad, sering menggunakan Bahasa Inggeris setiap kali ada sidang media seolah-olah khalayak tidak faham Bahasa Melayu.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Abdul Aziz Zainal semalam dalam menyampaikan amarannya kepada sesiapa yang cuba memainkan isu perkauman, juga menggunakan Bahasa Inggeris sedangkan yang mendengar adalah rakyat Malaysia yang sudah tentu faham jika beliau sampaikan dalam Bahasa Melayu.

Ini sekadar beberapa contoh sahaja.

Untuk memartabatkan Bahasa Melayu menerlukan kerjasama dan pengorbanan banyak pihak. Bermula dari para pemimpin hinggalah kepada rakyat jelata. Yang menjadi terasnya adalah rasa kecintaan dan tanggungjawab terhadap bahasa itu. Pihak media cetak dan elektronik juga patut memainkan peranan yang lebih adil.

Kalau kita sendiri malu menggunakan Bahasa Melayu, bagaimana kita mahu orang lain menghormatinya? Ada orang berasa sangat kerdil apabila menggunakan Bahasa Melayu kerana takut diperlekehkan padahal ia sama sahaja dengan bahasa-bahasa yang lain, untuk berkomunikasi. Jika kita sentiasa menggunakan Bahasa Melayu, orang yang tidak faham akan berusaha mempelajarinya. Jika tidak, sampai bila pun macam itu juga.

Tokoh-tokoh pemimpin sendiri tidak yakin dengan Bahasa Melayu. Bagaimana Bahasa Melayu hendak dimartabatkan? Jangankan bertaraf dunia, bertaraf tempatan pun tidak akan berhasil. Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan untuk mengembangkan dan mendaulatkan Bahasa Melayu tetapi seolah-olah telah menjadi sebuah Muzium Bahasa dan menjadi tempat rujukan semata-mata.

Kasihan rakyat Malaysia dan kasihan Bahasa Melayu.

Saturday, September 6, 2008

JANGAN SALAHKAN ORANG LAIN

Rungutan tentang stesen-stesen radio tempatan memainkan lagu-lagu asing ini sudah lama kedengaran. Dah dekat sepuluh (10) tahun, tetapi pi mai pi mai dok tang tu juga. Tak ada jalan nak selesai melainkan dibuat satu akta bagi membendung masalah ini. Ada wakil Seniman di Dewan Negara pun senyap sahaja mengenai perkara ini.

Anda bukalah stesen manapun di negara ini,. Bukalah apa nama FM pun, dalam 5 lagu yang disiarkan hanya 1 lagu tempatan. Kalau dihitung, 80% lagu-lagu yang berkumandang di radio adalah lagu-lagu asing, khasnya dari Indonesia. Entah apa perencah yang digunakan, kita pun tak tahu. Kata orang sedap sangat di dengar.

Adakah masyarakat sekarang memang berminat sangat dengan lagu-lagu asing ini? Atau memang masyarakat suka semua yang datang dari luar? Atau hanya kerana lagu-lagu tersebut dah jadi kegemaran penyampai radio ketika itu. Oleh sebab dia duduk dalam konti jadi ikut suka dialah.

Hari ini Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), melalui Presidennya, En. Freddie Fernandez terpaksa berjumpa dengan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor bagi mengemukakan masalah ini. Kasihan Freddie. Masalah Karyawan pun masih berantakan, masalah penyiaran lagu pula kena diatasi.

Kita tak mau salahkan orang lain, kita sendiri yang salah. Pencipta-pencipta lagu di Malaysia mesti mengkaji perkara ini. Mereka tentu tahu dan arif bagaimana hendak mengindonesiakan lagu-lagu tempatan. Buatkan lagu tempatan jadi seperti lagu Indonesia.

Kita sendiri yang bersalah sebenarnya. Kita terlalu mengagungkan apa yang datang dari luar. Sebut sahaja mempelam siam, orang lupa mempelam sala. Sebut sahaja beras siam, orang lupa beras Mat Candu. Sebut sahaja perempuan siam, mereka lupa isteri di rumah.

Mee pun yang orang suka di negara kita adalah mee jawa dan mee bandung. Antara roti kisut, peknga dan roti arab, orang memilih roti arab lagi sebab namanya datang dari luar. Salah kita sendiri, tiada jati diri. Kita masih dijajah sebenarnya.

Kita sendiri yang mengangkat martabat lagu-lagu Indonesia ini. Kita biarkan ia berlelusa di negara kita dengan konsert-konsert yang penyanyi tempatan jadi penyanyi tempelan sahaja. Cuba kita fikir pernahkan penyanyi Malaysia dapat mengadakan konsert di sana seperti mereka dapat di sini?

Berapa banyak drama Melayu yang menggunakan lagu Indonesia sebagai lagu latarnya? Cuba kira. Tidak terkira. Kenapa tidak pilih lagu-lagu tempatan untuk dijadikan lagu latar drama anda? Lagu-lagu dari Indonesia pun bukan hebat sangat. Biasa sahaja malah ada juga yang membosankan, tapi orang suka juga. Cari puncanya.

Jangan salahkan orang lain. Kita tidak ada sebarang akta bagi melindungi apa-apa pun produk tempatan sebab itu kita masih ketinggalan. Minda kita masih dijajah sebab itu kita selalu mengatakan yang datang dari luar semuanya baik. Tidak hairanlah ramai gadis-gadis Melayu terpikat dan berkahwin dengan penjual-penjual karpet dari Pakistan.

Jadi, jangan salahkan orang lain.

Friday, September 5, 2008

TAHNIAH KEPADA RAKYAT PERAK

Bahasa yang paling sesuai untuk ditujukan kepada rakyat Perak terutamanya orang-orang Melayu ialah “padan muka”. Orang Kedah cukup faham dengan bahasa Padan Muka ini. Boleh tanya mereka. Dalam keghairahan masing-masing untuk menukar kerajaan, rakyat Perak telah dihadiahkan dengan sebuah kerajaan boneka yang mewakili kaum lain.

Jika tidak kerana perlembagaan negeri yang terpanjang di Malaysia ini yang memestikan MELAYU sebagai Menteri Besar, sudah tentu Melayu tidak mendapat apa-apa. Nasib baiklah perlembagaan negeri menyelamatkan keadaan.

Lepas satu, satu pula tindakan Menteri Besar dari PAS ini dilihat tidak memberi apa-apa kebaikan kepada orang Melayu. Selepas pemberian milik tanah selama 999 tahun kepada Kampung Baru (yang majoriti dihuni oleh kaum Cina) , kini heboh pula dengan pemberian 400 hektar tanah kepada 9 buah sekolah persendirian Cina di negeri Perak.

Apa motifnya pemberian tanah tersebut selain alasan Menteri Besar untuk dijadikan sumber pendapatan sekolah-sekolah tersebut yang daif (betulkah?). Orang kampung tidak pandai mencongak banyak mana 400 hektar itu. Ia bersamaan dengan 1000 ekar. Bayangkan seluas mana 1000 ekar itu.

Kita melopong saja mendengarnya. Satu ekar pun sudah luas untuk diusahakan, ini pula 1000 ekar. Bila dibahagi kepada 9 dah banyak mana. Kiralah sendiri. Kalau bahagi 10 pun dan dapat 100 ekar. Luasnya sekolah-sekolah persendirian itu terima hadiah.

Sekolah Cina tersebut adalah sekolah persendirian. Bila namanya ‘persendirian’, carilah sendiri wang pembiayaannya. Sebodoh-bodoh kita, kita faham kalau persendirian, sendiri tanggunglah. Kenapa Kerajaan Negeri harus menyumbang begitu banyak sedangkan ada lagi sekolah-sekolah yang lebih daif di kampung-kampung dan di estet-estet?

Kalau tidak cukup biaya, tak payah buka sekolah persendirian. Lagipun sekarang kerajaan sedang berusaha memperkasakan Sekolah Kebangsaan. Hantar sahaja murid-murid tersebut ke Sekolah-sekolah Kebangsaan. Dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina bukankah telah banyak di merata tempat? Sehingga ada sekolah Jenis Kebangsaan Cina murid Melayu melebihi murid Cina.

Seperti kata Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, bahawa pembelaan terhadap sekolah-sekolah Cina memang menjadi fokas
DAP selama ini. Dan sekarang mereka berjaya kerana sebenarnya mereka yang mentadbir Perak. Pada hari mengangkat sumpah pun kita sudah tahu bila wakil DAP sentiasa beriringan dan membisikkan sesuatu dengan Datuk Seri Mohammad Nizar.

Peduli apa dengan 70% daripada 137 Sekolah Aliran Tamil yang kini berada di bawah paras daif. Sekolah Agama Rakyat bagaimana pula?

Jadi kepada rakyat Perak, saya ucapkan PADAN MUKA!. Tahniah untuk anda semua kerana berjaya menukar kerajaan seperti yang anda inginkan.

Tuesday, September 2, 2008

KECEWANYA MENONTON DRAMA MELAYU

Saluran TV yang bertambah menyebabkan bertambahnya syarikat-syarikat produksi filem di negara ini. Amat banyak filem dan drama yang diterbitkan oleh syarikat-syarikat ini sehinggakan berlambak-lambak di pasaran. Sebahagiannya disiarkan di TV dan sebahagian pula terus dipasarkan dalam bentuk cakera padat.

Stesen-stesen TV semakin banyak menyiarkan drama-drama tempatan termasuk drama-drama bersiri yang disiarkan setiap hari. Ini mungkin kerana hendak membantu syarikat-syarikat produksi yang telah berbelanja besar mengeluarkan filem-filem tersebut.

Apa yang dikesalkan di sini adalah mengenai mutu drama-drama bersiri yang disiarkan itu yang jauh dari matlamat hendak memartabatkan filem dan drama Melayu. Cerita yang dibuat tanpa perhatian serius dan pelakon yang dipilih berdasarkan rupa paras, menyebabkan semua tujuan dan matlamat tersasar.

Jadi jangan salahkan penonton televisyen jika mereka tidak memilih untuk menonton filem dan drama Melayu.

Salah satu filem drama bersiri yang disiarkan setiap petang Isnin hingga Khamis, jika kita lihat betul-betul seperti dicedok dari sebuah drama bersiri Amerika Latin. Saya tidak ingat apa nama drama barat itu tetapi melihatkan jalan ceritanya, seolah-olah saya menonton sebuah drama dari Barat.

Terus terang saya katakan drama Ezora yang disiarkan melalui TV3 amat mengecewakan masyarakat Islam di Malaysia.

Dari penampilan pelakon berpakaian dan juga nama-nama watak yang digunakan, jelas saya sedang menonton sebuah drama Barat dengan para pelakonnya bertutur separuh Bahasa Melayu. Episod demi episod kita didedahkan dengan budaya yang bertentangan dengan budaya masyarakat Melayu.

Adakah orang Melayu memberi nama Joshua kepada anak mereka? Saya belum pernah mendengar lagi nama-nama begitu dalam masyarakat Melyu kecuali Khatijah Tan memberi nama Piere Andre kepada anak lelakinya. Watak-watak dalam drama tersebut mengunakan beberapa nama yang tidak masuk akal wujud dalam masyarakat Melayu seperti Joshua, Onni, Adry, Ezora, leeya dan beberapa nama lagi.

Jalan cerita pula diolah seperti penulis lupa bahawa negara ini adalah negara Islam dan agama Islam adalah agama pegangan masyarakat Melayu. Tapi drama ini dimulai dengan watak lelaki bernama Reza berkerja sebagai penjaga rumah seorang wanita bernama Leeya.

Tapi penulis skrip drama itu lupa bahawa dalam masyarakat Melayu bagaimana seorang lelaki boleh tinggal di rumah seorang wanita berdua-duaan tanpa sebarang ikatan? Masyarakat keliling tentu akan memandang serong. Tinggal serumah dalam masa yang lama pula, bukan sehari dua. Takkan tiada tindakan dari masyarkat setempat atau pihak berwajib. Ini kena diambil-kira.

Apabila mereka berkahwin, tidak ditunjukkan siapa wali yang menikahkan mereka sedangkan dalam episod-episod selepas itu, digambarkan watak-watak ini mencari-cari bapa kandung mereka yang seolah-olah satu misteri. Begitu juga apabila hendak berkahwin dengan Leeya, Reza sudah ada isteri bernama Ezora. Macam mana dengan surat kebenaran daripada isteri pertama?

Yang lebih misteri adalah perkahwinan Reza dengan Ezora tanpa wali yang sah tapi dibenarkan dalam drama ini. Dalam episod-episod yang terkemudian barulah ditunjukkan misteri bapa kandung Ezora. Tentulah tidak munasabah Ezora dikahwinkan oleh ibunya dengan Reza tanpa wali yang sah. Ibunya tentu tahu siapa bapa Ezora.

Kebiasaaan dalam masyarakat Melayu, apabila perkahwinan hendak berlaku, pihak perempuan akan berusaha mencari wali untuk menikahkan pasangan itu. Tapi dalam drama ini hanya ditunjukkan mereka telah berkahwin. Dan selepas itu dalam episod yang lain barulah timbul cerita Ezora cuba menyelesaikan misteri ayah kandungnya.

Hubungan lelaki dan perempuan yang ditunjukkan dalam episod demi episod seolah-olah kita menonton sebuah filem Barat. Mereka bebas keluar masuk rumah lelaki dan perempuan. Bebas bertukar-tukar pasangan, sekejap dengan Adry, sekejap dengan Reza. Konflik begini betul-betuk ditiru dari filem Barat terutama dari Amerika Latin.

Drama ini amat mengecewakan masyarakat Islam di Malaysia.

Monday, September 1, 2008

TIADA SIAPA MENANG, TIADA SIAPA KALAH

Pilihanraya Kecil Permatang Pauh telahpun selesai. Keputusan telahpun diketahui. Dan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung telah pulang ke rumah masing-masing. Yang tinggal hanyalah kesan-kesan daripada perkampungan manusia di situ selama lebih dua minggu.

Sampah-sarap daripada kertas-kertas dan poster-poster parti-parti politik bersepah di merata tempat.Bendera-bendera parti ada yang terus terpasang di pucuk-pucuk pokok, tidak diturunkan, Bukan apa, nak tunjukkan kemegahan masing-masing. Tak kira yang berlogo dacing atau berlogo sebiji panadol. Sama sahaja.

Saya bukan hendak perkatakan tentang keputusan pilihanraya kecil tersebut. Biarlah siapa yang menang, saya peduli apa. Macam ini juga kita, biar siapa yang menang. Kita bukan berubah pun. Calon yang menang mungkin dapat untung juga sedikit dapat jadi Ahli Parlimen, kemudian katanya nak jadi Perdana Menteri.

Kita tetap macam ini juga. Bangun pagi, yang petani pergi ke sawah ladang, yang ada teksi kelong mencari rezeki. Yang ada perahu, turun ke laut menangkapikan seperti biasa. Yang untung peniaga nasi lemak dan roti canai di tepi jalan. Kita tetap macam ni juga biar tiga kali tukar kerajaan sekalipun.

Saya hendak perkatakan tentang nasib bangsa saya selepas ini. Saya hendak melihat nasib negara saya selepas ini. Kalau dulu peribahasa Melayu berbunyi gajah sama gajah berkelahi, pelanduk mati di tengah-tengah, sekarang peribahasa itu telah berubah. Peribahasa baru pula terhasil di Permatang Pauh iaitu gajah sama gajah berkelahi, pelanduk ketawa berdekah-dekah.

Bangsa saya yang berpuak-puak ini bertelagah sesama sendiri. Mengumpat dan mengeji tidak bertepi lagi. Fitnah memfitnah dah jadi lauk masing-masing, sedap sahaja mendengarnya. Satu puak melempar fitnah puak yang satu lagi. Puak itu pula membalas dengan fitnah yang lain. Penyokong-penyokong mereka pula berbuat berbagai helah menegakkan benang basah semuanya. Akhirnya semua dalam kerugian.

Pelanduk-pelanduk ketawa besar melihat gajah sama gajah berselisih faham. Puak pelanduk ini menunggu masa sahaja mengambil kesempatan. Mereka memang menunggu peluang dan ruang sahaja. Bila bangsa saya sudah lemah, puak ini mula memainkan peranan.

Lihatlah di Pulau Pinang. Hari pertama masuk pejabat di Menara Komtar, sudah mula mengusik tentang Dasar Ekonomi Baru dan hak-hak istimewa bangsa saya.Di Selangor pula, selepas 100 hari pegang kuasa, dah umumkan hendak membuka pusat ternak babi mega bernilai 200 juta. Di penempatan bangsa saya pula tu. Satu hari nanti boleh menjadi negara pengeksport daging babi. Dah tahu bangsa saya sensitif dengan babi, buatlah di tempat orang yang memakan daging babi.

Apakah tidak ada rasa malu di sanubari bangsaku? Apa salahnya duduk sebumbung dan pakat berbincang mencari titik yang satu. Buat rumusan yang boleh menjamin anak dan cucu kita supaya mereka merdeka di bumi mereka sendiri. Jangan hanya menang sorak, tapi kampung habis tergadai. Sedar-sedar bangsa kita tidak ada negeri lagi. Lihatlah apa yang terjadi kepada Temasik.

Satu hari nanti tidak mustahil kita tidak menjadi tuan lagi di bumi kita. Dan anak dan cucu kita macam mana?

Ulama-ulama pun ramai boleh memberi nasihat mengikut hukum. Nak buat apa pun kena tanya ulama-ulama besar empat atau lima orang ini. Nanti susah, kata tak ikut kaedah Islam pula. Bukan setakat nak bersumpah sahaja kena ikut Islam, nak berbincang pun kena ikut macam tu juga. Mintalah pandangan ulama-ulama besar ini.Barulah bangsaku akan selamat di dunia dan di akhirat.

Pakat-pakat jagalah negara ini.

SAMBUTAN KEMERDEKAAN CARA KITA

Semalam seluruh rakyat Malaysia menyambut Hari Ulangtahun Kemerdekaan ke 51 dengan penuh meriah. Setiap negeri mengadakan majlis sambutan secara rasmi di Ibu Negeri masing-masing. Negara semakin dewasa sekarang.

Begitu juga di peringkat kebangsaan, acara sambutan diadakan di Dataran Merdeka penuh gemilang seperti tiap-tiap tahun. Orang seperti lupa bahawa hari ini kita semua umat Islam akan mula berpuasa.

Tidak kurang juga sambutan kemerdekaan diadakan di jalan-jalan raya. Penuh sesak dengan kenderaan entah dari mana datangnya. Di lampu-lampu isyarat kenderaan terpaksa berbaris sekitar 4 atau 5 kilometer untuk melepasinya. Motosikal usah dikira lagi banyaknya, mendatangkan bingit telinga.

Yang menarik perhatian adalah golongan remaja bermotosikal yang turut menyambut Hari Kemerdekaan. Kita tidak tahu bagaimana kefahaman mereka tentang erti kemerdekaan. Bagi mereka mungkin erti kemerdekaan adalah bebas. Dengan kata lain boleh berbuat apa sahaja tanpa halangan.

Mereka bermotosikal membawa Jalur Gemilang dengan berbagai cara. Ada yang diikat pada motosikal masing-masing. Ada pula yang menjadikannya selimut semasa menunggang. Setengahnya pula mengikat di leher masing-masing menyebabkan ia kembang seperti Superman sedang terbang.

Menunggang pula dengan berbagai-bagai aksi. Ada pula mengambil kesempatan membawa teman wanita masing-masing, maklumlah, merdeka! Kebanyakannya pula tidak memakai topi keledar. Semuanya mendatangkan bahaya dan mengganggu lalulintas.

Rasanya kefahaman tentang kemerdekaan telah tersasar jauh. Bagi mereka, merdeka bererti bebas. Bebas ke sana ke mari, bebas membawa teman wanita, teman wanita pula bebas mengikut teman lelaki, bebas bermotosikal dengan berbagai aksi. Dan segala-galanya bebas kerana merdeka.

Mereka bermotosikal dalam kumpulan-kumpulan yang ramai dengan membunyikan hon yang amat membingitkan telinga. Kita tidak pasti tujuan mereka berbuat demikian tetapi apa yang jelas mendatangkan rasa kurang senang orang ramai. Keadaan ini amat menggangu kenderaan yang lain dan juga mengundang bahaya.

Dan yang penting dan sedihnya, semuanya remaja MELAYU.