Saturday, August 30, 2008

SIAPA PUN BOLEH BERBUAT KEBAJIKAN

Ketika di bandar semalam, saya dapat melihat sendiri betapa ‘kebajikan’ dieksploit dengan cara yang berbeza. Mungkin tidak ada yang menyedari hal ini. Atau ianya hanyalah satu keadaan yang remeh sahaja. Tetapi jika kita lihat secara yang lebih halus, jelas menggambarkan sesuatu yang unik.

Kebajikan adalah satu aktiviti manusia mencapai tahap insan berhemah. Dengan kebajikan, manusia mendambakan diri di sisi Tuhan. Sekurang-kurangnya dengan kebajikan yang diciptakan, menjadi bekalan di akhirat kelak.

Saya terserempak dengan dua situasi yang berkonsepkan kebajikan yang dihoskan oleh dua pemuda yang berlainan bangsa. Seorang pemuda Melayu dan seorang pemuda Cina.





Pemuda Melayu segak dengan berbaju lengan panjang dan berketayap, berdiri di sisi sebuah tabung derma yang jelas tertulis Derma Pembinaan Masjid berhampiran sebuah bank yang ramai pengunjung. Pemuda tersebut berdiri di tepi tabung tersebut dengan harapan orang-orang yang keluar dari bank tersebut akan menderma. Maklumlah, keluar dari bank, tentu banyak duit. Bila banyak duit tentu tidak lokek menderma.

Tetapi saya lihat orang yang keluar dari bank tersebut langsung tidak memandang tabung derma tersebut malah seolah-olah tidak perasan pemuda itu berdiri di situ. Semua yang keluar dari bank berlalu begitu sahaja. Tidak ada yang menderma.

Pemuda tersebut berdiri di situ mengharapkan ada orang akan berbuat kebajikan. Tak tahulah berapa lama ia harus berdiri di situ. Macam mana dengan makan dan minum beliau? Dan yang penting, adakah dia pun membuat kebajikan berdiri di situ secara percuma tanpa sebarang upah.




Berhampiran dengan kawasan itu lain pula situasinya. Seorang pemuda Cina siap dengan pakaian seperti seorang badut, juga berkonsepkan kebajikan. Berlainan dari pemuda Melayu tadi, yang ini dia sendiri yang berbuat kebajikan dengan menghiburkan orang ramai yang lalu lalang. Dia menghiburkan kanak-kanak dengan menghadiahkan belon kepada mereka.

Dalam waktu yang singkat sahaja, ramai orang tertumpu kepada pemuda Cina itu. Nampaknya betul-betul dia berbuat kebajikan. Tak tahu pula dia lakukan secara percuma atau diupah oleh sesiapa tapi yang nyata dia berjaya menarik perhatian ramai.

Beberapa pengajaran yang kita dapat dari kedua-dua situasi tadi:

1) Berbuat kebajikan adalah dituntut.
2) Menunggu orang lalu lalang menderma seolah-olah meminta sedekah sedangkan Islam tidak menggalakkan kita meminta sedekah.
3) Bukan Islam pun berbuat kebajikan tetapi dengan cara mereka.
4) Orang lebih suka mendapat sesuatu daripada memberi sesuatu.

Mari sama-sama kita renungkan.

PENIAGA BARANG LUSUH MESTI BERTANGGUNG-JAWAB

Langkah kerajaan membuka semula pemberian lesen kepada pengusaha kedai barang lusuh adalah langkah yang kurang bijak dan terburu-buru. Hanya disebabkan desakan dan keluhan peniaga-peniaga barang lusuh yang tertekan kerana hilang punca pendapatan, bukan satu alasan yang konkrit. Keputusan ini memerlukan satu kajian yang teliti terlebih dahulu.

Sebelum ini pun telah ada tulisan-tulisan yang menyentuh perkara ini. Tulisan-tulisan ini perlu juga diambil kira walaupun diutarakan oleh penulis-penulis kerdil dan tidak ternama. Penulis-penulis ini tahu apa yang berlaku di sebalik perniagaan barang lusuh ini. Walaupun tiada bukti, tetapi saya yakin terdapat juga antara premis peniaga-peniaga barang lusuh ini yang menjadi pusat transit barang-barang logam yang dicuri. Mereka tahu dan harus bertanggung-jawab.

Kecurian kabel dan bahan-bahan besi seperti penutup longkang dan besi pagar rumah yang sangat menjadi-jadi sekarang adalah kerana barang-barang ini dibeli oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika tadi. Mereka tahu bahawa bahan-bahan tersebut adalah barang curi, tetapi mereka membeli juga dengan harga yang lebih murah dan dapat untung lebih. Prinsipnya mudah sahaja. Kalau tidak ada orang hendak membeli, tentu pencuri-pencuri ini tidak boleh menjual. Apabila tidak ada tempat yang boleh dijual, tidak ada kecurian.

Tidak munasabah sama sekali mereka tidak tahu tembaga yang mereka terima adalah hasil dari talian kabel yang dipotong oleh pencuri-pencuri seperti yang mereka dakwa. Tidak masuk akal besi pagar rumah pun mereka tidak kenal sedangkan ia dijual kepada mereka masih dalam keadaan asal. Begitu juga dengan periuk, tong gas dan barang besi yang lain. Munasabahkah seorang manusia pergi ke kedai barang lusuh semata-mata hendak menjual sebiji periuk alumuniam miliknya sendiri?




Peniaga-peniaga ini telah berpengalaman dan tahu semua jenis barang. Setiap logam yang mereka terima, ada kod-kod khas yang hanya peniaga barang lusuh sahaja tahu. Mereka seharusnya bertanggung-jawab dan beretika. Mereka harus mengelak dari menerima barang-barang logamyang mereka tahu bahawa barang itu adalah tidak sah.

Jadi apabila pengeluaran lesen ini dikeluarkan secara mudah, saya yakin akan menggalakkan lagi pencuri-pencuri aktif kembali dengan aktiviti mencuri kabel telefon dan besi-besi yang lain.


Kalau tidak percaya lihatlah di sepanjang jalanraya ke kampung-kampung, contohnya di tempat saya sendiri. Ada tempat-tempat hanya tinggal tiang sahaja. Ini amat menyusahkan pengguna-pengguna telefon dan internet. Bayangkan apabila longkang-longkang terbuka akibat besi-besi penutupnya telah dicuri, membahayakan orang ramai terutama kenderaan dan kanak-kanak.




Jadi saya harap pemberian lesen untuk tujuan ini harus dikaji dan saringan patut dibuat untuk memilih individu yang bertanggung-jawab sahaja diluluskan lesennya. Mana-mana individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan tidak bertanggung-jawab ini hendaklah disisihkan.

Fikir-fikirkanlah.

Thursday, August 28, 2008

LAIN ORANG, LAIN HUKUMNYA

Bila kita bercakap sesuatu yang kita tidak tahu, kita perlu berhati-hati. Mungkin kita rasa tak seberapa, tapi kesannya kepada orang lain kita tidak dapat jangkakan. Setiap kali bila hendak bercakap, kita mesti fikirkan kalau orang lain kata macam itu, apa yang kita rasa. kita seboleh-bolehnya tidak mahu kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Inilah antara kaedah-kaedah yang dikira boleh meningkatkan keharmonian hidup. Itu pesan orang tua saya semasa saya kanak-kanak dahulu.

Tapi hari ini kita lihat orang berkata-kata tidak lagi mengambil kira itu semua. Cakap ikut sedap sahaja. Asalkan mendatangkan hasil kepadanya, orang lain peduli apa. Jangan fikir orang lain. Lebih-lebih lagi kalau ada sedikit kepentingan. Bagaimanapun ada waktu-waktu pula, percakapan yang macam ini memberi akibat buruk kalau sebarangan orang yang bercakap. Ada masanya tersilap saja cakap, tanggunglah akibatnya.

Satu ketika dahulu seorang pelakon drama, Rosnah Mat Aris telah terkena tempias akibat mulut celuparnya. Tanpa berfikir terlebih dahulu beliau mengeluarkan kata-kata yang diklaskan sebagai menghina isteri Nabi, Siti Khadijah. Ketika itu semua orang memberi pendapat dan pandangan yang semuanya bersifat menyerang pelakon tersebut mengakibatkan periuk nasi beliau tertutup terus.

Beliau di’gam’ oleh stesen-stesen TV dalam jangka masa yang panjang. Semua drama lakonan beliau tidak mendapat kebenaran untuk disiarkan.

Walau bagaimanapun, ada juga orang yang sangat kebal dan boleh berkata apa sahaja biarpun percakapanannya menyentuh hal-hal agama. Dalam perkara yang hampir sama, tetapi orang ini tidak pula menerima nasib seperti Rosnah Mat Aris tadi.

Satu masa dahulu, Tuan Guru Nik Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa Tuhan juga pernah mencarut. Takut kita mendengarnya. Tuhan pun jadi sasaran jika ada kepentingan. Lebih berani daripada Rosnah. Kalau Rosnah setakat Nabi dan Isteri Nabi sahaja, Tuan Guru pula dengan Tuhan. Tak ada siapa pun ambil tindakan kerana masing-masing ada kepentingan. Tidak ada pula suara-suara yang menyerang beliau kerana beliau ulama ternama. Cuma ada beberapa suara daripada tokoh-tokoh parti lawan beliau yang mengulas tetapi tak berapa berani sebab yang ini Ulama Besar.


Senang sahaja beliau mengeluarkan percakapan yang menghina Tuhan. Ada orang memberi pendapat yang pro dan kontra selepas itu, tapi akhirnya perkara itu diam begitu sahaja.

Baru-baru ini Tuan Guru kita itu mengeluarkan kata-kata yang boleh kita kategorikan sebagai menghina Nabi pula. Selepas beliau dituduh memilih kroni apabila melantik menantu beliau untuk jawatan penting dalam pentadbiran Negeri Kelantan, beliau menyatakan Nabi pun mengamalkan kronisma juga dengan memilih para sahabat menjadi pegawai baginda. Tidak menghinakah namanya itu?

Rupanya orang-orang ternama, ulama-ulama besar bebas berkata apa sahaja. Mereka ada lesen besar dengan penampilan yang dilihat mengikut sunnah. Orang macam Rosnah Mat Aris tidak boleh berkata begitu kerana penampilan beliau amat jauh daripada penampilan seorang muslimah sejati.

Saya bukan hendak membela Rosnah Mat Aris. Saya tak kenal dia pun malah lakonannya pun saya tidak pernah tonton. Jauh sekali pula saya hendak menghina Tuan Guru Dato' Hj. Nik Aziz. Beliau ulama besar yang amat disegani. Tapi yang benar tetap benar dan yang tidak betul tetap tidak betul.

Tak tahulah apa nak jadi. Sama-samalah kita tengok nanti.

Tuesday, August 26, 2008

APA GUNA BERSUMPAH, KALAU SUMPAH BAWA REBAH

Dalalm sibuk-sibuk nak sambut ulangtahun kemerdekaan negara tak berapa hari lagi semua orang bercakap tentang dua makhluk paling sensasi di dekad ini. Bukan nak bersiap-siap sambut Hari Kemerdekaan. bukan nak berkira nak pasang bendera di premis masing-masing. Tidak juga sibuk nak jahit kain bendera buat baju macam tiap-tiap tahun bagi menunjukkkan rasa cintakan bumi Malaysia ini.

Sekarang semua orang sibuk bercakap tentang kedua-dua makhluk Allah ini. Seorang tokoh ternama. Namanya gah di seluruh dunia. Namanya tersohor ke seluruh planet ini dan dikenali oleh kebanyakan pemimpin dunia. Bush kenal dan baik dengan dia. Tony Blair kenal dia dan baik dengan dia. Gus Dur atau Abdul Rahman Wahid lebih lagilah kenal dia malah dah datang pun berjumpa dengannya menyatakan sokongan tidak terhingga. Bertuahnya makhluk yang bernama DS Anwar Ibrahim ini. Sekarang ini diheboh-heboh pula akan jadi Perdana Menteri Malaysia pada 16 September 2008.

Di dalam negara pula, sokongan terhadap tokoh ini tidak terhingga. Maklumlah, pakat nak jadi orang kanan Perdana Menteri nanti. Apa kata DS Anwar semua betul. Kalau DS Anwar beritahu najis itu wangi, mereka tetap kata betul. Orang-orang yang menjaja keburukan DS Anwar semasa beliau dalam kerajaan dulu terus menyepi entah ke mana. Di mana Mohamad Sabu yang sering membawa cerita salahlaku DS anwar dalam ceramah-ceramah beliau dahulu? Tokoh-tokoh yang pernah mendengar pengakuan mangsa liwat semasa belum masuk politik dulu ada di mana sekarang?

Seorang makhluk lagi pula adalah insan kerdil yang tidak ada siapa mengenalinya selain daripada sahabat dua tiga orang dan kaum keluarga beliau. Dahlah begitu, tidak ada siapa pun ambil peduli tentangnya walaupun beliau telah membuat satu pengorbanan yang amat besar iaitu menggadaikan maruah beliau dan juga maruah kaum keluarga beliau sendiri. Senang sahaja yang boleh kita faham. Beliau bukan nak jadi Perdana Menteri, sebab itu Bush tak ambil tahu. Sebab itu Tony Blair tak peduli. Dan orang ramai pun tak ambil kisah.

Tapi makhluk kerdil ini, Mohd Saiful Bukhari Azlan telah menggadaikan maruahnya dengan melakukan sumpah laknat yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapa di negara ini sebelum ini. Dengan rasa rendah diri dan malu, beliau tebalkan muka melafazkan sumpah tersebut. Siapa lagi yang berani sepertinya? Jangan bagi alasan yang berbagai-bagai, kalau sipa berani, buat seperti Mohd Saiful.

Nak menyebut Wallahi, Wabillahi, watallahi bukan perkara muda. Bukan boleh buat main-main. Kalau DS Anwar berani, cubalah. Kata beliau, ulama-ulama besar dunia nasihatkan untuk tidak bersumpah. Itu kata beliau, kita bukan dengar pun. Barangkali yang mengiakan kenyataan ini duduk di belakang pintu semasa DS Anwar berbual dengan ulama-ulama tersebut.

Tapi sumpah itu dimanipulasi pula oleh mereka yang berkepentingan.

Kalau teknik bersumpah itu salah, sahutlah rayuan ayah Mohd Saiful, En Azlan yang meminta Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat, Tuan Guru Haji Hadi Awang, Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Haji Hashim Yahya dan Dato' Haji Haron Din tampil membimbing anak beliau bersumpah laknat dengan kaedah yang betul seperti yang mereka mahu. Buat apa hanya pandai mempertikaikan sahaja, tapi tidak mahu tampil membetulkan keadaan. Barangkali ulama besar memang untuk orang-orang besar dan ternama sahaja.

Orang kecil macam Mohd Saiful, Imam Masjid Wilayah Persekutuan pun boleh berpaling tadah dengan menyebut beliau dipaksa menjadi saksi dan cara bersumpah itu tidak betul. Yang peliknya selepas 3 minggu baru beliau bersuara. Kenapa tidak dibetulkan semasa Mohd Saiful bersumpah pada hari Jumaat 15 Ogos 2008 yang lalu? Kenapa tunggu sampai 3 minggu? Kata di Permatang Pauh pula tu.

Kasihan Mohd Saiful Bukhari. Dia bukan hendak jadi Perdana Menteri, hanya mencari keadilan.

Bersumpah atau tidak bersumpah sama sahaja. Akhirnya akan membawa rebah juga. Yang betul hanya tokoh besar dan ulama-ulama besar ini.

Apa nak jadi selepas ini?


Sunday, August 24, 2008

MALANGNYA BAHASA MELAYU DI BUMI MELAYU

Sudah di ambang kemerdekaan pula kita. Dan usia negara kita ini sudah masuk ke tahun ke 51. Sudah dewasa benar kalau seorang manusia. Kita menjadi cukup matang dengan usia begitu. Tapi negara kita tidak pernah selesai dengan masalah. Macam-macam masalah. Sudah 51 tahun merdeka, tapi Bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Rasmi negara semakin tidak dihormati. Termaktub dalam perlembagaan tetapi sekadar lambang bahawa itu bahasa kita. Yang sebenarnya Bahasa Melayu telah sekian lama terpinggir. Hanya orang-orang kampung dan desa sahaja yang tidak lupa bahasanya.



Kita jangan salahkan orang lain bila kerajaan Pulau Pinang mahu menamakan jalan-jalan di Pulau Pinang dengan Bahasa Cina. Alasannya orang-orang Cina tidak faham nama jalan dalam Bahasa Malaysia. Mereka rakyat negara mana? Kita usah kecil hati bila nama-nama bangunan tidak memakai Bahasa Melayu langsung. Kalau ada pun hanya tersangat kercil di bawah nama dalam Bahasa Inggeris dan Cina yang amat besar. Salahkan diri kita sendiri. Kita bercakap tentang hendak memrtabatkan Bahasa Melayu, tetapi kita tidak mahu berbahasa Melayu.


Semasa isu ini berbangkit, semua pemimpin marah dan memberi pendapat yang berbagai-bagai. Ada yang tumpang semangkuk memberi pendapat untuk meraih populariti. Tetapi di masa yang sama, mereka menggunakan bahasa lain apabila mengadakan sidang akhbar. Tidak menggunakan Bahasa Melayu yang diperjuangkan itu.



Selama ini tidak siapa sedar bahawa malapetaka yang menimpa Bahasa Melayu disebabkan oleh orang-orang Melayu sendiri. Sekarang ini orang Melayu sendiri malu hendak menggunakannya seperti kata seorang bintang filem satu ketika dulu; "I feel like stupid speak in Malay". Sampai begitu sekali hinanya Bahasa Melayu. Berapa ramai pemimpin Melayu suka berbahasa Inggeris? Dalam satu persidangan Perkhidmatan Awam di ibu negara beberapa bulan dulu, YAB Dato' Seri Najib sendiri berucap dalam Ucapan Rasmi menggunakan Bahasa Inggeris, sedangkan yang mendengar adalah rakyat Malaysia keturunan Melayu.



Kadang-kadang dalam sidang akhbar di mana-mana, contohnya sekarang ini di Permatang Pauh, para pemimpin negara yang banyak membuat kenyataan menggunakan Bahasa Inggeris berbanding dengan orang lain, Dalam sidang akhbarnya semalam, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid bertutur dalam Bahasa Inggeris sedangkan khalayak adalah rakyat Malaysia. YAB Dato' seri Abdullah sendiri pun menggunakan Bahasa Inggeris ketika mengumumkan penurunan harga minyak semalam. Jadi buat apa kita berkata dan menyeru untuk memartabatkan Bahasa Melayu kalau kita sendiri tidak mahu menggunakan Bahasa Melayu?



Cuba kita lihat nama-nama badan berkanun yang menjadi nadi kemajuan negara. Ada banyak nama seperti FAMA, RISDA, FELDA, MADA, KADA dan macam-macam lagi. Semuanya dari Bahasa Inggeris. Untuk apa itu semua? Nak bagi siapa faham? Orang luar? Inilah penyakitnya. Sikit-sikit nak ambil hati orang luar. Buatlah penjenamaan semula ke arah memartabatkan Bahasa Melayu. Jangan buat penjenanaam semula dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris macam Bank Pertanian Malaysia menjadi Agro Bank. Sedangkan bank tersebut adalah bank untuk petani-petani dan orang-orang kampung.

Kalau rangkaian TV mahu membantu, setiap temubual dengan orang ramai, jangan siarkan temubual dengan mana-mana individu yang tidak mahu menggunakan Bahasa Melayu. Jangan siarkan. Hanya layan mereka yang bertutur menggunakan Bahasa Melayu.



Sekarang ini, menonton filem-filem Melayu dan drama Melayu dah nak termuntah jadinya. Setiap ayat dialog menggunakan I dan You dan You all. Apa ini? bukan nak membantu Bahasa Melayu tapi menolong menjahanamkan Bahasa Melayu.



Yang bukan Melayu pula tidak mahu belajar menggunakan Bahasa Melayu dalam aktiviti harian. Walaupun ada tokoh-tokoh yang boleh dipuji seperti Prof. Khoo Kay Kim, Tan Seri Lee Lam Thye, En Tan Seng Giaw, Datuk Ong Tee Keat, Uthaya Shanker SB (dan beberapa nama lain), tetapi tidak menggambarkan keadaan sebenar. Sebenarnya ramai lagi yang tidak pernah ambil peduli apa akan jadi kepada Bahasa Melayu, Bahasa Rasmi Negara ini.



Jadi kita jangan salahkan orang lain. Salah kita sendiri.



Dan Bahasa Melayu menjadi terpinggir di negaranya sendiri.