Saturday, June 24, 2017

RAMADAN 2015: KENANGAN TERINDAH



Hari ini, Sabtu 24 Jun 2017 adalah hari terakhir Ramadan untuk tahun ini. Esok umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia akan menyambut Idilfitri, hari raya yang tentunya meriah dan bakal memberi kenangan indah dan meriah. Sudah tentu bulan Ramadan, bulan puasa ini bakal meninggalkan banyak kenangan.

Dan saya teringat Ramadan 2015 yang meninggalkan kenangan indah dan mendalam dalam hidup ini. Pada Ramadan itulah kami mengunjungi kota suci Mekah dan Madinah ketika menunaikan ibadat Umrah. Rupanya Umrah dalam bulan puasa memberi impak yang amat mendalam dan meniggalkan kenangan yang amat indah.

Teringat suasana meriah bertarawih di Masjid Nabawi di Madinah dan Masjid Al-Haram di kota Mekah. Betapa kami bersama ribuan umat Islam serata dunia berada dalam saf berhadapan Kaabah yang indah. Setiap kali mengimbau kenangan itu juga teringat saya pada teman-teman yang bersama-sama berulang-alik mengerjakan Sai antara bukit Safa dan bukit Marwah.

Dan dalam mengimbau kenangan itu tentu sekali tidak lupa pada dua orang anak muda yang menjadi teman sekamar ketika di Tanah Suci. Sudah tentu wajah Uzir dan Zaki sentiasa bermain di fikiran. Dua anak muda yang masih solo ini berupaya berada di Tanah Suci di awal usia sedangkan kita hanya sesudah lanjut usia baru dapat menjejeakkan kaki ti tempat suci itu.

Krtika anak muda lain begitu sibuk mencari kepausan diri, mereka berdua terbuka hati untuk berada di Tanah Haram untuk beribadat ketika masih banyak kudrat. Kita sendiri hanya ketika sudah lanjut usia barulah dapat ke sana. Selepas menunaikan Haji pada tahun 2008, barulah dapat berada semula di Madinah dan Mekah pada tahun 2016. Bila teringatkan mereka dan pertolongan-pertolongan mereka berdua, terasa amat besar dan tidak terbalas.

Masih terbayang ketika berpuasa di Tanah Suci sama ada di Madinah atau Di Mekah, orang di sana berebut-rebut berbelanja memberi makanan kepada para jemaah. Sampai sahaja di masjid, duduklah di manapun, makanan pasti ada untuk berbuka puasa. Malah ketika di Masjid Nabawi, mereka sanggup mengiringi kita persis VIP untuk ke tempat hidangan berbuka yang mereka sediakan. Ini tidak termasuk lagi bahan makanan dan wang yang kita terima di sepanjang jalan ke masjid untuk berbuka.

Pendek kata, menjalankan ibadat umrah ketika bulan Ramadan amat menjimatkan. Kita kurang berbelanja kerana makanan disediakan secukupnya. Masa tidak terbuang untuk mencari makanan. Duit tidak terbuang untuk membeli makanan. Pergi saja ke masjid, makanan tersedia untuk kita berbuka.

Dan kini amalan memberi makan untuk berbuka sedang diamalkan di negara kita. Pergilah ke mana-mana masjid di bulan Ramadan ini, juadah berbuka pasti ada.

Alhamdulillah! Esok raya!

No comments:

Post a Comment