Monday, January 30, 2017

APA SUDAH JADI DENGAN KFA?

Baru beberapa minggu yang lalu pasukan Helang Merah berjaya merampas Piala Sumbangsih dari tangan JDT. Tahniah diucapkan kepada barisan pemain dan pihak pengurusan pasukan yang memberi khidmat cemerlang dan meyakinkan mengekalkan momentum kemenangan dan kejayaan. Bukan mudah untuk sebuah pasukan yang baru setahun diangkat ke Liga Super boleh mengecap kejayaan gemilang begitu.

Namun kejayaan para pemain dan pasukan tidak berseri apabila berlaku kemelut dan kepincangan dalam bidang lain di dalam pentadbiran Persatuan Bolasepak Negeri Kedah (KFA) sehingga timbul tanda Tanya, “Apa Sudah Jadi Dengan KFA?”. Orang tidak tahu rupanya KFA adalah sebuah persatuan sukan yang tidak boleh ditegur dan ditolong-perbetulkan. Jika ada mana-mana pegawai dan ahli jawatankuasa membuat sedikit teguran, orang tersebut menerima akibat buruk dan dimalukan. Orang itu akan terus disingkirkan daripada senarai mana-mana jawatankuasa.

Baru-baru ini ada seorang dua Ahli Jawatankuasa Pengadil KFA membuat sedikit teguran terhadap salah tadbir Jawatankuasa Pengadil iaitu tentang Pegawai Pembangunan Pengadil yang membelakangkan terus peranan Jawatankuasa Pengadil malah sering membuat keputusan sendiri dalam pengurusan pengadil di negeri Kedah. Pihak pengurusan KFA bukannya menyiasat pendedahan tersebut tetapi terus mengambil tindakan menggugurkan Ahli jawatankuasa yang membuat teguran. Mereka ditamatkan perkhidmatan dari Jawatankuasa Pengadil Negeri Kedah.

Sepatutnya sebagai sebuah badan sukan yang berintegriti, aduan dan laporan ini disiasat dan dikaji. Jika ianya salah dan tidak benar, penjelasan harus diberikan dan baru dikenakan tindakan. Apa akan berlaku jika aduan tersebut adalah benar dan betul?

Apa yang diadukan dan dilaporkan oleh AJK Pengadil ini ada juga benarnya. Bagaimana Pegawai Pembangunan Pengadil beroleh peruntukan dan boleh pula melakukan perkara-perkara di luar bidang tugasnya sedangkan sepanjang tahun 2016 sekalipun tidak diadakan mesyuarat jawatankuasa. Ada rungutan dari beberapa pengadil bahawa pihak Pegawai Pembangunan Pengadil telah melantik pengadil-pengadil yang tidak lulus ujian kecergasan 2015 dahulu. Ujian Kecergasan untuk 2016 langsung tidak diadakan. Jadi apa keriteria lantikan pengadil bertugas apabila ujian kecergasan tidak diadakan.


Hal-hal inilah yang ditegur dan dilaporkan. Jadi apa sudah jadi dengan KFA? Individu yang membuat laporan dan aduan disingkirkan begitu sahaja. Ini menggambarkan bahawa KFA adalah sebuah persatuan sukan yang tidak boleh diperbetulkan.

No comments: