Friday, October 28, 2016

WARKAH UNTUK PEGAWAI EKSEKUTIF KFA

Sebelum meneruskan catatan ini, saya terlebih dahulu memohon berbanyak-banyak maaf kerana mengambil dan mengganggu masa tuan. Saya mengambil keputusan mendedahkan dan menyatakan rasa terkilan dan tidak puas hati dengan beberapa kemelut yang melanda Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Kedah sejak kebelakangan ini.

Untuk pengetahuan tuan, saya telah dilantik menganggotai Jawatankuasa Pengadil KFA pada sekitar bulan April 2015. Ini adalah penampilan saya buat kali kedua setelah kali pertama berada dalam Jawatankuasa tersebut semenjak 1988 sehingga 2000. Saya mula bergiat sebagai Pengadil Kebangsaan pada tahun 1987 dan dilantikj sebagai Ahli Jawatankuasa Pengadil (Dulu dikenali sebagai Lembaga Pengadil) ketika Allahyarham Khalid Ariffin dan Hamzah Mohamad menjadi pengerusi. Saya juga menganggotai KFA sebagai Ahli Majlis mewakili Persatuan Bolasepak Daerah Yan pada tahun-tahun tersebut iaitu ketika Allahyarham Dato’ Ahmad Basri Akil menjawat jawatan Timbalan Presiden KFA.

Selepas menerima perlantikan semula menganggotai Jawatankuasa Pengadil KFA, saya telah menghadiri beberapa kali mesyuarat yang dipengerusikan En. Khamal Idris Ali dan melakukan beberapa  perbincangan dan aktiviti yang diputuskan oleh jawatankuasa tersebut, antaranya menguruskan Ujian Kecergasan Tahunan bersama ahli jawatankuasa yang lain.

Sepanjang beberapa kali bermesyuarat, beberapa keputusan dan perancangan dibuat untuk peningkatan prestasi dan juga mencari bakat-bakat baru dalam bidang pengadilan tetapi tidaklah diketahui setakat mana kejayaannya kerana tidak dimaklumkan langsung kepada ahli-ahli jawatanakuasa. Semuanya berada dalam pengetahuan Pegawai Pembangunan Pengadil dan tidak dihebahkan dalam kalangan AJK. Untuk makluman, Jawatankuasa Pengadil KFA tidak melantik seorang Setiausaha yang khusus unt5uk catatan minit dan sebagainya.

Hal ini berlaku mungkin kerana seppanjang 2016 ini tidak sekalipun jawatankuasa pengadil ini berjumpa  dan bermesyuarat. Langsung tidak masuk akal semua ahli sibuk sejak Disember 2015 hinggalah sekarang Oktober 2016. Ahli Jawatankuasa langsung tidak mendapat berita dan tidak dapat berjumpa serta berbincang.

Jadi, inginlah saya mendapat maklum tentang beberapa perkara. Antaranya:

1.    -  Adakah Jawatankuasa Pengadil KFA masih wujud dan berfungsi.
2.       Kenapakah tidak sekalipun bermesyuarat semenjak Disember 2015 hingga sekarang.
3.       Tidak ada ujian kecergasan tahunan untuk para pengadil sepanjang 2016.
4.       Ahli Jawatankuasa yang bermesyuarat membuat keputusan menggantung khidmat beberapa Pengadil kebangsaan dan Pra-kebangsaan langsung tidak dimaklumkan tentang pembebasan mereka. Ini termasuklah pembebasan En. Ahmad Khalidi Suphian.
5.       Siapakah yang melantik RA (Penilai Pengadil) yang baru dari Langkawi tanpa perbincangan dan diputuskan dalam mesyuarat.
    6.   Para Pengadil yang terlibat bertugas dalam Liga Bolasepak Rakyat yang sedang berjalan sekarang tidak diberi taklimat mengenai perubahan dan tamabahan undang-undang baru yang dikeluarkan FIFA kerana kesibukan PPP negeri.

Persoalan-persoalan ini sentiasa menjadi bahan bualan antara beberapa Ahli Jawatankuasa Pengadil dan jga dalam kalangan para pengadil sendiri. Dan masing-masing merumuskan bahawa kemungkinan besar ada pihak atau orang tertentu yang bertindak sendiri dan beraksi ‘one man show’ dengan melantik pengadil bertugas dalam apa-apa kejohanan dan menentukan segalanya dalam tangannya. Ini menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli.

Diharap pihak tuan dapat mengambil tindakan proaktif agar komitmen Ahli-ahli tidak terjejas. Semoga tuan dapat menasihatkan PPP supaya mengambil tindakan yang lebih rasional, bukan mengikut emosi. Dengan itu tahap professional dalam bidang ini dapat diserlahkan.


Sekian. Terimakasih.

Thursday, October 6, 2016

ANTAN SAMA ANTAN BERLAGA, PADI TUMPAH......

Akhir-akhir ini perpecahan dalam kalangan orang Melayu amat ketara dan tidak dapat disembunyikan. Semua orang sedar dan tahu kesan dari perpecahan demi perpecahan ini tetapi tiada siapa mahu belajar peduli akibat yang berganda-ganda teruknya dari pergeseran kaum pada 1969 dahulu. Dan buat masa ini semua orang tahu siapa peniup semboyan perpecahan yang amat buruk akibat masing-masing kemaruk kuasa politik di negara tercinta ini.

Dahulu orang tua-tua ada membuat bidalan yang berbunyi, “ antan sama antan berlaga, padi tumpah, ayam yang kenyang” tetapi siapa mengambil kira akibat dari pergeseran dalam kalangan puan dalam komuniti Melayu itu? Ada saja isu dan perkara yang menjadi pertikaian dan isu-isu ini tidak langsung cuba disembunyikan. Alangkah malunya bangsa Melayu sedangkan bangsa-bangsa lain cuba sedaya upaya menyembunyikan masalah bangsa mereka walaupun tidak dinafikan ada perbezaan pendapat dalam kalangan mereka.

Tidak dinafikan hati Melayu mudah terguris dan cepat terasa. Tetapi jika berlarutan dari hari ke hari, sehingga membawa kepada perpecahan yang sangat meruncing dan ketara, trntulah rakyat tidak merasa senang. Perbalahan demi perbalahan silih berganti semenjak tahu 2008 lagi tidak Nampak penghujungnya. Krisis demi krisis melanda bangsa Melayu seolah-olah tiada kesudahannya. Apa akan terjadi kepada bangsa Melayu yang semakin hilang identitinya sendiri.

Jika dahulu bangsa Melayu terkenal dengan sifat sopan santunnya, cakap berlapik dan sebarang protes penuh berhemah, sekarang entah ke mana hilangnya identiti Melayu itu. Saban hari kedengaran tohmahan dan kritikan sesama pemimpin Melayu sehingga timbul kebencian di hati rakyat jelata. Entah siapa betul entah siapa salah. Segala bentuk fitnah tersaji di maya tentang kepimpinan Melayu.

Begitulah kuatnya politik sehinggakan boleh memecah-belahkan sebuah bangsa akibat bangsa itu hanya berpaksikan nafsu dan tamakkan kuasa. Politik orang Melayu terlalu unik. Yang berjuang untuk bangsa pun begitu asyik dengan mengumpul kekayaan sehingga bangsanya menjadi perkara kedua. Yang memperjuangkan agama juga tidak terlepas dari kerakusan kuasa sehingga lupa asas perjuangan yang sepatutnya. Kumpulan Melayu yang kononnya mengambil keadilan sebagai paksi perjuangan didapati tidaklah seadil manapun.

Yang bertepuk tangan sekarang adalah orang lain selain Melayu. Betullah seperti kata orang tua-tua, “Antan sama antan berlaga, padi tumpah, ayam yang kenyang”. Esok bila negara ini jatuh ke tangan orang lain, Melayu hanya menjadi penumpang di negara sendiri. Ketika itu barulah menangis tidak berlagu.