Monday, December 26, 2016

CERDIK TIDAK BOLEH DITUMPANG, BODOH TIDAK BOLEH DIAJAR

Sedar atau tidak, negeri Kedah merupakan salah sebuah dari dua negeri yang ketandusan dan bermasalah dalam bidang pengadilan bolasepak. Biarpun telah menjuarai kejohanan berprestij seperti Piala Malaysia, ketandusan pengadil berwibawa adalah sangat ketara. Jumlah pengadil kebangsaan dari Kedah adalah jauh lebih rendah bilangannya berbanding Kelantan, Perak dan Johor. Dari segi penampilan pula, pengadil dari Kedah amat sedikit yang boleh diketengahkan. Pulau Pinang yang lebih kecil dilihat berjaya menampilkan lebih ramai pengadil berwibawa.

Apa sudah berlaku di KFA? Kalau dulu kita boleh berbangga dengan beberapa pengadil kebangsaan dan FIFA, kini semuanya telah berakhir. KFA terlalu asyik berbangga dengan kejayaan dan pencapaian pasukan sehingga mereka lupa tentang bahawa peningkatan kepengadilan juga perlu seiring. Jangan terlalu asyik membina pasukan dan membangunkan pemain sehingga mereka lupa bahawa kedua-duanya adalah sama penting. Pembangunan pengadil tidak bolah diabaikan begitu sahaja.

 Perkara ini terjawab apabila FAM mewujudkan jawatan Pegawai Pembangunan Pengadil di setiap negeri yang tujuan asalnya adalah untuk menjalankan program-program mencungkil bakat dan meningkatkan prestasi pengadil-pengadil. Sepintas lalu bolehlah dibuat andaian bahawa bakat dan kebolehan seseorang dalam bidang ini tidak dibiarkan begitu sahaja. Ada orang yang dipertanggungjawabkan mengasah bakat mereka iaitu PPP yang dibayar elaunnya oleh FAM. Tetapi jika setakat menerima elaun tanpa ada program yang berkesan, adalah sia-sia belaka. KFA haruslah ingat bahawa jika tidak dipantau dan diselia dengan sewajarnya, kewujudan PPP adalah sia-sia kesudahannya.

KFA haruslah lebih matang menangani aspek ini sementelah berada di era profesional ini. Masakan pihak pengurusan persatuan bolasepak yang dihormati ini tercemar dengan sikap tidak munasabah yang ditunjukkan oleh beberapa pegawainya sehingga memberi impak negative kepada persatuan. Masakan boleh dibiarkan PPP membelakangkan Jawatankuasa Pengadil KFA sendiri. PPP di KFA trlah bertindak melampaui batas dengan tidak merujuk langsung kepada Jawatankuasa Pengadil KFA malah tidak menghormati kewujudan ahli-ahli jawatankuasa yang ada.

Pihak Pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah haruslah faham bahawa PPP dan Jawatankuasa Pengadil adalah dua entiti yang berlainan. Jawatankuasa Pengadil dilantik untuk berbincang dan merangka program-program kepengadilan dan juga membuat keputusan atas sesuatu perkara manakala PPP adalah entiti yang lain yang harus melaksanakan program pembangunan termasuk yang diputuskan oleh jawatankuasa dalam mesyuarat mereka.

Apa yang berlaku sekarang tidak begitu.

Pegawai Pembangunan Pengadil secara bersendirian bertindak membuat beberapa program dan keputusan tanpa memaklumkan jawatankuasa pengadil. Beliau juga bertindak melantik pengadil-pengadil bertugas tampa mengambil kira prestasi dan tahap pertandingan yang dijalankan. Hal ini menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pengadil-pengadil yang berdaftar dengan KFA.
Kita langsung tidak terfikir bagaimana pihak pengurusan khasnya Setiausaha Kehormat terus menerima bulat-bulat perbuatan sebegini iaitu membelakangkan sebuah jawatankuasa dan pihak jawatankuasa pula tertanya-tanya bagaimana pihak KFA boleh menyalurkan peruntukan kepada aktiviti beliau tanpa dimaklumkan kepada jawatankuasa.

Ada juga pihak yang melontarkan persoalan apakah KFA sudah tidak lagi mempercayai atau tidak lagi mahu menggunakan khidmat ahli-ahli jawatankuasa pengadil tersebut kerana sudah setahun tidak pernah dipanggil bermesyuarat. Dan alasan yang diberikan sangatlah dangkal dan boleh dipertikaikan iaitu PPP amat sibuk untuk bermesyuarat.


Pihak KFA haruslah melihat hal ini secara positif demi kebaikan dan kecemerlangan persatuan sendiri. Jangan pula ada yang menyifatkan seperti kata orang tua-tua, “Cerdik tidak boleh ditumpang, bodoh tidak boleh diajar”.

No comments:

Post a Comment