Thursday, October 6, 2016

ANTAN SAMA ANTAN BERLAGA, PADI TUMPAH......

Akhir-akhir ini perpecahan dalam kalangan orang Melayu amat ketara dan tidak dapat disembunyikan. Semua orang sedar dan tahu kesan dari perpecahan demi perpecahan ini tetapi tiada siapa mahu belajar peduli akibat yang berganda-ganda teruknya dari pergeseran kaum pada 1969 dahulu. Dan buat masa ini semua orang tahu siapa peniup semboyan perpecahan yang amat buruk akibat masing-masing kemaruk kuasa politik di negara tercinta ini.

Dahulu orang tua-tua ada membuat bidalan yang berbunyi, “ antan sama antan berlaga, padi tumpah, ayam yang kenyang” tetapi siapa mengambil kira akibat dari pergeseran dalam kalangan puan dalam komuniti Melayu itu? Ada saja isu dan perkara yang menjadi pertikaian dan isu-isu ini tidak langsung cuba disembunyikan. Alangkah malunya bangsa Melayu sedangkan bangsa-bangsa lain cuba sedaya upaya menyembunyikan masalah bangsa mereka walaupun tidak dinafikan ada perbezaan pendapat dalam kalangan mereka.

Tidak dinafikan hati Melayu mudah terguris dan cepat terasa. Tetapi jika berlarutan dari hari ke hari, sehingga membawa kepada perpecahan yang sangat meruncing dan ketara, trntulah rakyat tidak merasa senang. Perbalahan demi perbalahan silih berganti semenjak tahu 2008 lagi tidak Nampak penghujungnya. Krisis demi krisis melanda bangsa Melayu seolah-olah tiada kesudahannya. Apa akan terjadi kepada bangsa Melayu yang semakin hilang identitinya sendiri.

Jika dahulu bangsa Melayu terkenal dengan sifat sopan santunnya, cakap berlapik dan sebarang protes penuh berhemah, sekarang entah ke mana hilangnya identiti Melayu itu. Saban hari kedengaran tohmahan dan kritikan sesama pemimpin Melayu sehingga timbul kebencian di hati rakyat jelata. Entah siapa betul entah siapa salah. Segala bentuk fitnah tersaji di maya tentang kepimpinan Melayu.

Begitulah kuatnya politik sehinggakan boleh memecah-belahkan sebuah bangsa akibat bangsa itu hanya berpaksikan nafsu dan tamakkan kuasa. Politik orang Melayu terlalu unik. Yang berjuang untuk bangsa pun begitu asyik dengan mengumpul kekayaan sehingga bangsanya menjadi perkara kedua. Yang memperjuangkan agama juga tidak terlepas dari kerakusan kuasa sehingga lupa asas perjuangan yang sepatutnya. Kumpulan Melayu yang kononnya mengambil keadilan sebagai paksi perjuangan didapati tidaklah seadil manapun.

Yang bertepuk tangan sekarang adalah orang lain selain Melayu. Betullah seperti kata orang tua-tua, “Antan sama antan berlaga, padi tumpah, ayam yang kenyang”. Esok bila negara ini jatuh ke tangan orang lain, Melayu hanya menjadi penumpang di negara sendiri. Ketika itu barulah menangis tidak berlagu.                                                                                                                                                                      



No comments: