Tuesday, June 7, 2016

JAWATANKUASA PENGADIL KFA: SIAPA YANG IKUT SIAPA?

Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah masih lagi di Hospital Pulau Pinang menjalani rawatan komplikasi usus. Hendak cakap banyak-banyak pun, nanti tempias pula kepada beliau, maklumlah KFA keseluruhannya di bawah pentadbiran beliau juga. Namun untuk kebaikan bersama, biarlah kita sama-sama fikirkan dan mencari jalan mengatasinya. Sekurang-kurangnya kita dapat membantu Datuk Seri Presiden dalam hal ini.

Jawatankuasa Pengadil buat masa ini dianggotai beberapa anggota terdiri dari bekas-bekas pengadil yang banyak berjasa kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) ketika kebangkitan pasukan yang dikenali dengan Hijau Kuning pada tahun-tahun 80an hingga 90an. Malah ada anggotanya yang aktif sejak pasukan Kenari masih di stadium Darulaman yang lama dahulu. Dari dahulu hingga sekarang ahli-ahli ini banyak memberi sumbangan ke arah mutu pengadilan yang lebih baik.

Malangnya ahli-ahli jawatankuasa ini jarang dapat berjumpa dan duduk semeja berbincang sebaiknya secara rasmi. Ini disebabkan mesyuarat jarang diadakan kerana beberapa faktor. Yang jelas dalam perbualan-perbualan tidak rasmi itu dapatlah dikenali punca berlakunya situasi tidak menyenangkan itu. Inilah penyakit yang membawa kepada pincangnya sistem pengadilan di negeri Kedah.

Jawatankuasa Pengadil KFA ini dipengerusikan Datuk Othman Aziz, seorang ahli politik tersohor yang jarang ada masa ‘melihat’ bolasepak, apatah lagi pengadil. Selalunya mesyuarat dipengerusikan timbalannya saudara Khamal Idris Ali, bekas pemain Kedah semasa era Semi-pro dulu. Dan seringnya keputusan mesyuarat tidak dicapai secara bersama kerana pengerusi tidak pernah hadir.

Yang lebih menghairankan, jawatankuasa ini tidak melantik siapapun menjadi setiausaha menyebabkan tidak ada catatan minit mesyuarat untuk dijadikan medan semakan setiap kali ada isu berbangkit. Jawatankuasa bernasib baik tidak ada pihak yang mempertikaikan setiap tindakan dan langkah yang dibuat oleh jawatankuasa ini.

KFA juga tidak menghantar seorang pegawainya unuk hadir bersama ketika mesyuarat berlangsung. Jika ada apa-apa masalah yang hendak dirujuk kepada KFA, siapa yang akan mendengar perkara itu? Sepatutnya pihak pengurusan KFA menghantar setiausaha kerjanya kalaupun tidak mahu menghantar setiausaha kehormat hadir bersama dalam setiap mesyuarat jawatankuasa pengadil. Setidak-tidaknya pihak setiausaha sudah mengetahui apa-apa keputusan dan keperluan yang diputuskan dalam mesyuarat itu.

Yang jelas, jawatankuasa pengadil ini seperti tiada kuasa apa-apa kerana setiap keputusan bergantung sepenuhnya kepada ‘ihsan’ Pegawai Pembangunan Pengadil. Setiap aktiviti yang hendak dijalankan, PPP ini melebihi semua kuasa jawatankuasa sedangkan PPP hanyalah seorang individu yang peranannya hanyalah tempat Jawatankuasa merujuk beberapa perkara berbangkit tentang mutu pengadilan.

Apa yang berlaku sekarang, bukan jawatankuasa yang tidak boleh menjalankan tugas tetapi mesti menunggu lampu hijau dari PPP. Ujian Kecergasan yang sepatutnya dijalankan pada bulan April 2016 terpaksa ditangguhkan kerana kesibukan PPP dan komitmen beliau dalam masalah yang lain. Apa salahnya jika ujian kecergasan itu diteruskan di bawah pengawasan jawatankuasa pengadil yang ramai dari menunggu ‘seorang’ PPP yang tidak ada masa?
Siapa yang ikut siapa sebenarnya?

Kami (saya) sebagai Ahli Jawatankuasa Pengadil KFA rasa amat terkilan dengan situasi begini. Yang menjadi peroalan sekarang adakah jawatankuasa ini berada sebagai satu unit dalam program pemangunan pengadil? Atau PPP berada sebagai satu unit Jawatankuasa pengadil? Perkara ini perlu dipastikan terlebih dahulu kerana dalam pertandingan-pertandingan bolasepak di bawah kelulusan KFA, sepatutnya Unit Lantikan yang memilih dan melantik pengadil bertugas dan menjelaskan apa-apa bayaran elaun kepada pegawai bertugas.

Apa yang berlaku sekarang sangat berlainan dan bertentangan dengan prinsip sesebuah pertubuhan. Sudahlah jawatankuasa ini tidak mempunyai setiausaha, semua aspek tugas hanya mendapat arahan daripada PPP. Setiausaha Kehormat pula sering berurusan terus dengan PPP tanpa melalui atau merujuk kepada ahli jawatankuasa terlebih dahulu.

Apa yang dibimbangkan adalah apabila kerja dilakukan oleh ‘seorang’, dan SU Kehormat pula hanya berurusan dengan ‘seorang’, kemungkinan berlaku perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Kita bimbang jika ada apa-apa tindakan yang bermotifkan dendam dan irihati.

Pihak pentadbiran dan juga Majlis KFA khasnya Setiausaha Kehormat perlulah memperhalusi perkara ini untuk kebaikan bersama.


Sekian. Terima kasih.

No comments: