Thursday, April 14, 2016

KFA: TAKUT PISANG BERBUAH DUA KALI

Tiba-tiba hari ini aku terima mesej dari orang di KFA, meminta bantuan aku menyediakan satu kertaskerja yang berkaitan dengan kursus pengadil berpotensi di setiap daerah di negeri Kedah ini. Peruntukan sudah ada, cuma menanti kertas kerja yang lengkap bagi membolehkan program dilaksanakan duakali sebulan. kedengarannya begitu hebat dan peruntukan pun begitu memberangsangkan. 

Dan ketika itu kebetulan aku sedang membelek album lama yang ada koleksi foto ketika bertugas mengadili suatu perlawanan pada tahun 2000 dahulu. Ketika itu pasukan Pilihan Yan melawan pasukan artis Malaysia di padang SMK Dulang.


 Bidang pengadilan bolasepak memang tidak dapat dilupakan. Hoki ditinggalkan, bola baling ditinggalkan, bola lisut ditinggalkan. Tumpuan hanyalah kepada bolasepak. untuk itu aku harus banyak berterima kasih kepada Allahyarham Khalid Ariffin yang menanamkan ilmu ini di dalam jiwa sehingga berjaya ke peringkat kebangsaan di FAM pada tahun 1986. Akhirnya kerana beberapa masalah peribadi, aku tinggalkan 'padang bola' pada tahun 1997.


sepanjang berkhidmat, berbagai sumbangan diberikan kepada KFA khasnya di dalam bidang pengadilan. Apabila bolasepak Malaysia memasuki era Semi-pro, aku dan dua sahabat yang lain iaitu Ismail Bakar dan G. Devudu secara rasmi dikategorikan sebagai pengadil kebangsaan dan kebetulan pula aku sendiri dilantik menduduki barisan Ahli Majlis KFA dan juga Ahli Jawatankuasa Pengadil KFA.

Sepanjang berada di KFA, aku sering diminta menjalankan kursus-kursus untuk bakat-bakat baru di seluruh negeri Kedah. Malah terlibat juga dengan tanggungjawab perlantikan pengadil bagi liga-liga tertentu. Ada pula waktunya sering diminta menyediakan bahan untuk beberapa keluaran Buletik Hijau Kuning yang diterbitkan pada era tersebut. kadangkala sehingga lewat malam baru dapat pulang ke rumah. Waktu itu tidak pernah terlintas rasa penat dan bebanan tugas sedikitpun.


Akhirnya sesudah masa berlalu dan KFA sudah ada orang baru, aku dilupakan begitu sahaja. Mungkin orang lain lebih bijak bermuka-muka dan amabil kesempatan maka aku disingkirkan dari semua jawatan. KFA melantik pula beberapa orang yang sebelum ini tidak pernah berbuat apa-apa bagi meningkatkan organisasi pengadilan di KFA.

Sekarang mereka minta aku sediakan satu kertas kerja yang hampir serupa dulu. Dahulu aku telah sediakan kertas kerja yang lebih kurang serupa, Pengadil Remaja bunyinya. malangnya semasa pembentangan orang lain yang ambil kesempatan dan meletakkan namanya sebagai penulisnya. Aku tersingkir begitu sahaja.

Apakah kali ini akan berlaku seperti itu juga? Atau pisang mungkin berbuah dua kali. Sama-sama kita lihat nanti!

No comments: