Wednesday, March 2, 2016

NIKMAT PEMBANGUNAN: KAMI MAKAN HABUK DAN DEBU

Langkah pihak berkuasa tempatan meluluskan sesuatu projek perumahan memang sangat dialu-alukan terutama jika bermatlamat membantu golongan pertengahan memiliki rumah sendiri. Tambahan pula buat masa ini pembinaan tempat kediaman ataupun rumah mampu milik amat dinanti-nantikan oleh semua lapisan masyarakat terutama pasangan-pasangan muda yang berhasrat memiliki rumah sendiri.


Daerah Yan di negeri Kedah tidak ketinggalan melaksanakan projek membina rumah. Buat masa ini sudah wujud beberapa taman perumahan terdiri dari rumah-rumah mampu milik dan telah diduduki ramai golongan pasangan muda. Dengan itu daerah Yan ini semakin pesat membangun dan member impak positif dalam pengembangan ekonomi di daerah ini.

Salah satu projek perumahan yang baru dimulakan ialah projek Taman  Nusantara di Titi Bakong, Yan berhadapan dengan taman perumahan yang sedia ada iaitu Taman Guru, Taman Pulau bunting dan Taman Perumahan Awam. Taman perumahan ini telah wujud sejak puluhan tahun dan dengan terbina nanti Taman Nusantara ini sudah tentulah Titi Bakong ini akan menjadi sebuah pusat komuniti yang besar.


Apa yang hendak dibangkitkan di sini, biarpun pihak berkuasa telah meluluskan pembinaannya, mereka haruslah memantau perkembangan projek tersebut. Janganlah lepas selesai member kelulusan, pihak kotraktor dan pemaju dibiarkan bertindak sewenang-wenangnya sehingga menimbulkan masalah kepada penduduk tempatan. Pihak berkuasa tempatan langsung tidak ambil peduli sama ada pihak pemaju melaksanakan SOP bagi setiap pembinaan.

Didapati projek yang dijalankan oleh DXN Development Sdn. Bhd. itu langsung tidak memasang dinding pengadang dan menyimbah air di tapak pembinaan. Hal ini menyebabkan jalan dan perumahan penduduk di sekitar itu dilitupi debu dan habuk. Ada waktu-waktu tertentu penduduk di taman perumahan berhampiran tidak boleh membuka pintu dan tingkap, apatah lagi menyidai kain baju. Habuk dan debu berterbangan memenuhi ruang taman perumahan dan juga jalanraya.


Telah beberapa kali penduduk membuat aduan kepada pihak pemaju tetapi tiada tindakan diambil. Laporan polis juga sudah dibuat tetapi keadaan masih juga serupa. Lebih memburukkan keadaan, pada waktu-waktu tertentu, kereta yang lalu lalang terpaksa memasang lampu kerana debu memenuhi ruang jalanraya.  Keadaan ini boleh mengundang kemalangan jalanraya jika tidak diberi perhatian.

Diharap pihak berkuasa terutama Majlis Daerah Yan mengambil inisiatif untuk mengarahkan pihak pemaju berbuat sesuatu bagi mengelakkan perkara tersebut. Jangan nanti apabila nasi sudah menjadi bubur baru mahu bertindak.


No comments: