Thursday, March 10, 2016

BOLASEPAK MALAYSIA: BETULKAH JURULATIH BERSALAH?

Sejak bermulanya sepakmula Liga Malaysia baru-baru ini hingga ke hari ini ada saja berita tentang kemelut manusia yang dipanggil JURULATIH. Ada-ada saja beberapa nama jurulatih yang disebut-sebut gagal menjalankan tugas dengan baik. Ada juga berita tentang seorang dua jurulatih yang bakal direhatkan dan diganti dengan jurulatih yang lain.

Begitulah bolasepak dan orang yang terlibat dengannya sama juga seperti bola. Sentiasa berputar turun naik, tidak tentu arah. Dan jurulatih yang dilihat bagus hari ini belum tentu bagus esoknya. Malah belum tentu bagus selamanya. Mungkin nasibnya baik musim ini, pada musim hadapan barangkali kecundang. Seperti juga bola itu sendiri, belum tentu di mana pusatnya.

Tetapi benarkah jurulatih tertentu memainkan peranan menaikkan prestasi sesebuah pasukan? Kalau dilihat sejarah bolasepak negara dan juga dunia, jurulatih hanyalah merencana tetapi pemain yang mewarnakan kegemilangan dan jurulatih hanya menumpang gahnya sesebuah pasukan.

Satu ketika dulu, Datuk Ahmad Shafie begitu hebat membimbing pasukan Kenari sehingga beberapa kali ke perlawanan akhir Piala Malaysia sehingga menjadi juara. Kerana kebolehananya itu dia diangkat menjadi jurulatih pasukan kebangsaan untuk bebrapa musim sehingga akhirnya kembali ke pangkuan Kenari. Dan kali kedua bersama kenari, beliau menemui kegagalan.

Begitu juga jurulatih kebangsaan Datuk Rajagobal. Jurulatih berwibawa seperti beliau boleh gagal membimbing Sarawak. Apa pula terjadi kepada Azrai khor? Begitu hebat membimbing Kenari sehingga juara berganda beberapa kali, akhirnya gagal juga di peringkat kebangsaan dan di beberapa negeri. Ahmad Yusof sudah merasainya apabila direhatkan oleh pasukan Penyu (Terengganu). Dan sekarang dalam senarai penyingkiran sudah ada beberapa nama jurulatih seperti Ahmad Shaharuddin Rosdi yang meletakkan jawatan di Pahang, K. Devan di Kelantan, Syamsul Saad di Perak serta Datuk Rajagobal sendiri di Sarawak.

Sebenarnya di Malaysia tercinta ini, faktor pemain sendiri yang menjadi punca merosotnya prestasi beberapa pasukan. Jika pemain tidak suka pada mana-mana jurulatih, macam-macam cara boleh dibuat untuk menjatuhkan jurulatih itu. Ini disokong pula dengan faktor wang yang ditaburkan kepada pemain. Kenari pernah turun dari Liga Super ke Liga Perdana angkara janji wang ringgit yang tidak tertunai. Tanyalah JDT berapa banyak wang yang mereka ada? Tidak hairanlah kejayaan demi kejayaan mereka kecapi.

Baru saja memasuki empat perlawanan kita sudah membuat andaian-andaian negatif tentang jurulatih. Masih jauh lagi perjalanan liga, masih banyak perlawanan yang harus ditempuh. Dan kalau kita asyik  memikirkan Kelantan harus menang, maka Kedah yang patut kalah? Bagaimana pula nanti petemuan antara Kedah dengan JDT? Masakan dua-dua pasukan akan memang. Salah satu pasukan mesti kalah dan yang kalah tentunya bukan kerana kelemahan jurulatih semata-mata.

Bersikap adillah terhadap para jurulatih. Beri peluang sewajarnya kerana mungkin pada perlawanan yang lain prestasi pasukan akan meningkat. Bagaimana jika bertukar jurulatih nasib pasukan masih juga serupa? Tentu kena tukar jurulatih lagi. Apa kesudahannya?


Di Malaysia, jurulatih yang paling selamat tentulah Datuk Ong Kim Swee sebab dia ada ONG.

No comments: