Monday, February 8, 2016

SEDIKIT NASIHAT KEPADA KFA

Semalam terima satu mesej tentang satu pertandingan bolasepak di Kuala Nerang, satu kawasan yang jauh juga dari Alor Setar. Kalau dari Sungai Petani tentulah perjalanannya lebih mengambil masa dan lebih jauh jika dibandingkan dari Alor Setar tadi.

Tujuan saya membangkitkan soal jauh-dekat ini bukanlah untuk menggambarkan masa yang diambil untuk perjalanan tersebut tetapi hanya hendak memfokuskan betapa kerana sedikit wang, orang mengambil jalan mudah tanpa mengira jauh-dekat dan masalah yang dihadapi. Wang adalah segala-galanya.

Bayangkan pertandingan atau liga bolasepak itu menggunakan pegawai perlawanan atau pengadil-pengadil dari Sungai Petani. Sudahlah liga tersebut sangat tidak mengikut panduan dan juga tidak mendapat kebenaran dari KFA, pengadil yang digunakan pula adalah dari pihak yang tidak berkaitan dengan persatuan bolasepak negeri.

Liga bolasepak itu bermain secara 8 sebelah, tidak ada langsung dalam undang-undang permainan dan peraturannya tentulah pakai hentam dan ikut sedap sahaja. Bayangkan kalau terjadi apa-apa masalah dan perlawanan dicemari insiden yang memalukan, siapa yang akan bertanggungjawab? Entah siapa yang menyelaraskannya sehingga dari Sungai Petani datangnya para pengadil perlawanan seolah-olah tiada pengadil yang berhampiran.

Ini bukanlah kali pertama. Dan inilah yang sering berlaku di negeri Kedah.

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sendiri patut juga dipersalahkan dalam hal sebegini. Peraturan yang dibuat terlalu ketat hingga menyulitkan. para pengadil begitu berminat untuk menambah ilmu dan dahagakan pengalaman tetapi pertandingan terhad atau tidak kerap menyebabkan para pengadil ini mencari jalan lain dengan menerima pelawaan  pihak yang tidak berdaftar dengan KFA. para pengadil itu tentulah yang tidak didaftarkan dan juga mungkin yang telah digantung kerana masalah disiplin.

Bagi mengelakkan perkara ini, adalah dicadangkan KFA melonggarkan sedikit syarat penganjuran pertandingan atau memperbanyakkan liga tempatan. dengan itu barulah para pengadil ini dapat menimba ilmu dan pengalaman.

Saturday, February 6, 2016

GUNDAH SEORANG IBU

Di sini, di rumah ini
anak-anaknya dilahirkan dan membesar
di sini juga dia menyediakan makanan
lalu kami makan dan makan
tanpa fikir dari mana rezeki datang.

Dan di usia senja ini
dia berbicara tentang anak dan harta
berbicara tentang hati dan mengenang budi
tentang ke mana musnahnya nurani.

Ingatlah apa di katanya
bahawa semua orang akan menjangkau tua
semua akan melewati waktu senja
kita bukan boleh menungkat dunia
ketika itu baru kita tahu apa erti rindu
dan apa makna perasaan sayu.

Setiap saat menanti di pintu ini
bila pula saatnya anak-anak akan pulang lagi
menceriakan hari-hari terakhir yang berbaki
itulah harapan perempuan itu

kerana dia seorang ibu.

- Ilham Syakima,
  060216