Sunday, January 10, 2016

SAMPAI BILAPUN BAHASA MELAYU TIDAK DAPAT DIMARTABATKAN

"Sampai bilapun Bahasa Melayu tidak dapat dimartabatkan"

Kesimpulan begini mungkin tidak disenangi banyak pihak. Dalam kalangan pemimpin dan juga para cendekiawan sudah pasti tidak bersetuju. Tetapi itulah hakikat yang perlu ditelan oleh kebanyakan pecinta bahasa dan juga orang-orang melayu sendiri. Biarpun sudah jelas dalam perlembagaan negara bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, apa yang berlaku ketika ini lebih terarah bahasa itu kepada bahasa kelas dua sahaja.

Jika kita imbas kembali, kedudukan bahasa Melayu dikatakan bahasa ketiga dunia dan dituturkan oleh ratusan juta manusia. Malah ada yang mengatakan bahasa itu akan berkembang dan menjadi bahasa dunia dan bahasa ilmu satu ketika nanti. Ketika itu kita begitu yakin dan percaya bahawa semua itu akan menjadi kenyataan tambahan pula PPSMI terus dimansuhkan dan pengajaran subjek tersebut kembali ke bahasa Melayu sepenuhnya.

Sayangnya semuanya berubah. Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Segala harapan untuk melihat bahasa Melayu dimartabatkan seperti sepatutnya berkubur juga akhirnya. Langkah Kementerian Pelajaran melancarkan DLP atau Program Dwi-Bahasa membunuh segala impian kebanyakan orang Melayu dan orang-orang yang mencintai bahasa Melayu.

Jika sebelum ini iaitu sejak PPSMI dimansuhkan, kita menganggap tentunya orang yang mencintai ilmu akan berlumba-lumba menambah kemahiran menggunakan bahasa Melayu. Malah itulah yang sepatutnya sesuai dengan roh bahasa itu sebagai bahasa rasmi negara dan juga sebagai alternatif sesudah dicanangkan akan dijadikan bahasa ilmu. Dan kita membayangkan bahawa nanti dalam masa 10 tahun, seluruh rakyat Malaysia akan menggunakan satru bahasa sebagai bahasa komunikasi sama seperti Thailand lakukan untuk bahasa mereka dan Indonesia lakukan kepada bahasa Indonesia. Rupanya tidak berlaku begitu. Pihak-pihak berkepentingan dalam kepimpinan negara telah menterbalikkan semuanya dan mengundur ke belakang semula.

Dengan pelancaran DLP, pihak yang tergagap-gagap dengan bahasa Melayu tidak perlu lagi berusaha meningkat keupayaan menggunakan bahasa Melayu kerana sudah ada jalan penyelesaian apabila adanya versi bahasa Inggeris dalam pembelajaran di sekolah. Bangsa lain yang sedang berusaha meningkatkan penguasaan bahasa Melayu jadi terhenti begitu sahaja kerana sudah ada alternative yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Tahniah kepada pihak yang terlibat merencanakan DLP yang langsung tidak menguntungkan negara dan bangsa.

Padahal perkara ini (DLP) tidak perlu diperkenalkan. Jika mahu mengayakan para pelajar dengan penggunaan bahasa Inggeris, tingkatkan saja pengajaran bahasa itu, bukannya melacurkan bahasa Melayu dan membantutkan usaha memartabatkannya di persada. Kita mengundur ke belakang dan berbalik lebih teruk dari PPSMI. Jika DLP bertujuan memudahkan pelajar meneroka ilmu, cari satu jalan yang lebih baik dengan ‘memelayukan ilmu’ itu iaitu dengan menbuat penterjemahan dan memelayukan istilah-istilah yang rumit.


Apapun, suara ini hanyalah suara ‘anjing menyalak bukit’. Lama-lama suara akan menjadi parau tetapi bukit tidak berganjak. Hakikat itulah yang harus kita telan dan jangan harap bahasa Melayu yang tercinta ini boleh dimartabatkan sampai bila-bila.

No comments: