Saturday, January 16, 2016

JANGAN DIBIARKAN TIKUS MEMBAIKI LABU

1. Sepakmula Liga-M khasnya Liga Super akan bermula tidak lama lagi. Dengar kabar masing-masing pasukan sedang mempersiapkan untuk masuk gelanggang dan mencipta kejutan. Setiap pasukan mengimpikan pencapaian gemilang sebaik bermula perlawanan pertama lagi kerana yang pertama itulah bakal menggambarkan wajah masa depan sedikit demi sedikit.

2. Pasukan negeri Kedah juga tidak kurang hebatnya apatah lagi sebagai pasukan yang baru melangkah  masuk ke kancah Liga Super buat kali kedua, sudah tentulah persiapannya sangat mantap dengan strategi dan para pemain yang bersemangat baru. Malah tentunya mereka tidak mahu sejarah pahit terjerumus ke Liga Perdana berulang. Dengar kabar pasukan Helang Merah ini sudah mendapat suntikan pengurusan serba baru dengan barisan pemain juga ada yang baru dan lebih hebat. Jadi Helang Merah nkali ini berwajah lain setelah mengalami transformasi bukan saja dalam kalangan pemain, malah juga dalam kalangan pegawai pasukan juga mengalami perubahan.

3. Kita tentu tidak lupa sejarah Helang Merah atau dahulu dikenali sebagai Kenari beberapa tahun dahulu. Sebaik sahaja negeri Jelapang Padi ini bertukar kerajaan pada masa itu, pasukan Hijau Kuning begitu gah di persada Liga Super dengan memenangi tiga piala sekaligus. Jadi pada masa itu pihak pengurusan baru telah mendapat sebuah pasukan yang mantap dan juga sebuah pengurusan pasukan yang memberangsangkan.

4. Tetapi langkah pentadbiran KFA bermula sumbang. Sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran persatuan, pengurusan pasukan diserahkan kepada orang yang tidak ada pengetahuan dalam sukan ini. Sesudah beberapa kali bertukar jurulatih, dan sesudah lawatan ‘bersuka ria’  ke Eropah, akhirnya pasukan Kenari mula hilang taring sejak perlawanan pertama lagi. Inilah akibatnya apabila pentadbiran persatuan dan pengurusan pasukan dikendalikan oleh status politik semata-mata, bukan berdasarkan ‘ilmu’ bolasepak. Akhirnya sesudah semusim bergelut dalam gelanggang, Kenari terjerumus kembali ke kancah Liga Perdana.

5. Sehinggalah sekarang, barulah pasukan Kenari berubah wajah. Itupun setelah pengurusan bertukar kepada kerajaan baru pula. Dan setelah menjuarai Liga Perdana, menjadi Naib Juara Piala Malaysia pula,pasukan Helang Merah dinaikkan ke Liga Super untuk sesi 2016 ini. Tahniah!

6. Tetapi umpama sebiji labu, jika diberikan kepada tikus, maka rosaklah labu itu. Tikus tidak boleh membaiki labu tetapi menambah peritnya labu itu. Jadi pasukan Helang merah ini hendaklah disaerahkan kepada pakar yang sepatutnya, yang tahu selok- belok bola sepak. Jangan sampai pengurusan persatuan dan pasukan jatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya, nanti rosaklah pasukan itu.

7. Pihak pengurusan dan pentadbiran KFA hendakalah mengkaji dahulu individu-individu yang melonjakkan kembali pasukan sehingga ke tahap sekarang sebelum membuat keputusan merehatkan mereka. Usah membuat keputusan terlalu drastik sehngga kita lupa jasa orang-orang ini dan pastikan yang dijadikan pengganti itu adalah orang yang lebih baik kebolehannya. Jangan kerana nyamuk kita harus membakar kelambu. Jangan menang sorak kampong tergadai.

8. Dan haruslah diingat bahawa terlalu percaya kepada orang yang dekat dengan kita belum menjamin kesejahteraan. Menggunakan orang yang tahu bercakap sahaja boleh menjahanamkan reputasi kita. Orang tahu bahawa pasukan Kedah sekarang bakal menjadi ‘lubuk duit’. Jadi semua orang terutama yang hampir dengan Presiden KFA akan mengambil kesempatan. Jika tuan presiden leka sedikit, akibatnya terpaksa ditanggung dalam tempoh yang lama.

9. Bila ada pihak dalam pasukan yang tidak menyukainya, akibatnya amat parah. Kita tentu tidak mahu Helang Merah terjerumus kembali ke kancah Liga Perdana. Tetapi itu akan terjadi jika pihak pentadbiran KFA mengambil mudah. Jadi usahlah ‘labu diserahkan kepada tikus’. Nanti buruk padahnya!



No comments: