Saturday, January 9, 2016

BAHASA MELAYU YANG SEMAKIN LAYU

Beberapa tahun yang lalu ketika ketika merasmikan Bulan bahasa Kebangsaan, Tan Sri Mahyuddin Yassin (Bekas TPM) pernah berikrar untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan dituturkan oleh ratusan juta manusia terutama di nusantara ini. Rupanya janji hanya tinggal janji kerana bahasa Melayu terus 'layu' selepas itu apabila ia semakin disisihkan oleh rakyat Malaysia dan yang paling merisaukan, orang Melayu sendiri yang berbuat demikian.

Bak kata Datuk Dr Awang Sariyan, wujud pihak berkepentingan yng mencelarukan penggunaan bahasa Melayu. Andaian itu ada benarnya. Mungkin ia merupakan satu strategi politik mahu meraih undi. Dalam mereka sendiri berjuang kononnya untuk meningkatkan penggunaan dan memartabatkan bahasa Melayu di negara ini, mereka juga mula memperkenalkan DLP (Program Dwi-Bahasa). Bila sudah ada dua bahasa di sekolah, tentulah bahasa Melayu akan terpinggir dan yang lain asyik dengan bahasa yang satu lagi.

Jika betul-betul ikhlas hendak menjadikan bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu, melayukan ilmu-ilmu itu untuk rakyat menimba ilmu, bukan mengabaikannya. Bagaimana bahasa Melayu hendak menjadi bahasa ilmu jika segala ilmu masih juga dalam bahasa Inggeris. Dan jika mahu menjadikan bahasa Inggeris itu bahasa ilmu, tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, bukannya dwi-bahasakan ilmu itu.

Peerkara ini seolah-olah kita mengundur ke belakang. Dahulu ada sekolah aliran Inggeris. Seluruh pembelajaran dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu hanya sebagai satu mata pelajaran sahaja. Dan kini ia berbalik seperti itu kembali tetapi berselindung di sebalik DLP. Pandai Kementerian Pelajaran menipu rakyat. Dan yang menjadi mangsa adalah para pelajar Melayu sendiri.

Tetapi itu tidak menghairanakan kerana para pemimpin sendiri lebih gemar berbahasa Inggeris dari bahasa Melayu. MARA sendiri pun menganjurkan program 'Back To School', bukannya 'Kembali ke Sekolah'. Itu sebuah agensi kerajaan sendiri yang menaungi kaum bumiputera yang rata-rata menggunakan bahasa Melayu dalam komunikasi mereka.

Sampai bila pun bahasa Melayu tidak akan dipertingkatkan penggunaannya jika amalan pemimpin berterusan menggunakan bahasa Inggeris dalam sesuatu aktiviti perasmian. Sehinggakan hendak berucap kepada rakyat Malaysia sendiripun masih bahasa Inggeris digunakan.

Sudahnya bahasa Melayu semakin layu di tanah tempat kelahirannya!

No comments: