Saturday, December 19, 2015

LIGA BOLASEPAK RAKYAT: UNTUK SIAPA?


Langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan Liga Bolasepak Rakyat (LBR) adalah sesuatu yang amat terpuji dengan hasrat membantu membangunkan sukan bolasepak negara. Melalui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan selanjutnya disalurkan kepada persatuan-persatuan bolasepak negeri merupakan prosedur biasa dalam pengendalian sukan tersebut. Liga diwujudkan untuk rakyat dengan hasrat mencungkil bakat dan member sebanyak mungkin peluang bermain di samping mencungkil dan memupuk bakat yang ada di kalangan belia.

Namun begitu, seperti penganjuran sukan-sukan yang lain, di samping perkara-perkara yang baik, ada juga kelemahan-kelemahan di sana-sini yang boleh dijadikan panduan untuk penambah-baikan di penganjuran yang lain dan akan datang. Semoga LBR dapat dimurnikan lagi pada masa yang lain. Saya berpendapat demikian setelah melihat apa yang terjadi dalam penganjuran LBR di negeri Kedah dan diharapkan ia tidak terjadi di negeri-negeri yang lain.

Pihak penganjur LBR diharap dapat mengubah sedikit format pertandingan supaya perlawanan-perlawanan terutama di penghujung liga tidak menjadi hambar dan lesu. Format pertandingnan yang baik akan lebih merancakkan setiap perlawanan dan keadaan akan lebih mencabar kepada setiap pasukan yang mengambil bahagian.

Dengan hanya mengambil satu pasukan dari setiap kumpulan yang bertanding untuk ke peringkat selanjutnya, menyebabkan ada pasukan yang tidak lagi mahu meneruskan perlawanan terutama pasukan yang harus bertandang ke tempat lawan kerana ia merugikan perbelanjaan yang bukan sedikit sedangkan perlawanan sekadar memenuhkan jadual sahaja. Menang atau kalah sudah tidak member kesan apa-apa kerana pasukan teratas di setiap kumpulan sudah diketahui. Kalaupun ada yang meneruskan perlawanan, hanyalah sekadar ‘berpesta’  di tempat lawan atau sekadar makan angin sahaja.

Sekiranya pihak penganjur (KFA) lebih peka, senaraikan empat pasukan dari setiap kumpulan untuk meneruskan pertandingan ‘kalah-keluar’ secara timbal balik. Ini akan merancakkan lagi pertandingan dan pasukan lain selain johan kumpulan masih boleh mengharapkan keajaiban untuk mara ke peringkat seterusnya.

Bagi LBR di negeri Kedah, dalam setiap kumpulan dimasukkan pasukan-pasukan dari negeri Perlis yang wakilnya  berdasarkan kawasan parlimen masing-masing iaitu 3 pasukan.Dan secara total pasukan-pasukan dari negeri Indera Kayangan ini mendominasi setiap kumpulan dan akan mewakili kawasan utara ini ke peringkat kebangsaan nanti.


Kabarnya ada antara pasukan yang menjadi johan kumpulan tersebut terdiri daripada para pemain Piala Emas Raja-raja yang mewakili Perlis. Dan pasukan dari negeri Kedah terkubur begitu sahaja tanpa ada lagi wakil ke peringkat kebangsaan. Negeri Kedah tidak lagi terlibat dengan LBR kerana sudah tidak ada wakilnya.

No comments: