Tuesday, August 11, 2015

BAHASA MELAYU: KITA HANYA PURA-PURA

Minggu ini adalah minggu yang teramat sibuk dengan adanya Pertandingan Pidato Antarbangsa Bahasa Melayu. Dengar cerita para peserta datang dari seluruh pelosok dunia dari 6 benua dan lebih 75 negara. Begitu gah bahasa Melayu di mata dunia. Dikatakan lebih 300 juta manusia menggunakannya dan merupakan bahasa keempat dari semua bahasa di dunia. Setiap tahun kononnya semakin bertambah penggunanya dengan diajar di beberapa universiti terkenal di dunia.

Dan pertandingan pidato ini merupakan acara tahunan dan kononnya sangat dinanti-nantikan oleh ramai penduduk dunia. Tambahan pula kali ini diperkenalkan pula kategori baru iaitu kategori pelajar asing di Malaysia. Ini dilihat sebagai menambahkan lagi rencah pertandingan selain dari kategori antarabangsa dan kategori nusantara.

Begitulah hebatnya bahasa Melayu di mata orang luar khasnya para peserta pidato tersebut. Dan dalam minggu ini pastinya hal ini menjadi berita penting di media dan pasti juga berlambak pujian dan penghargaan diberikan kepada perserta dari luar negera ini. Para pemimpin juga tidak ketinggalan memuji dan memberi galakan dan penghargaan atas penganjuran dan penyertaan mereka.

Malangnya kita sendiri tidak endah sedikitpun tentang bahasa kebangsaan kita itu. Kita tidak peduli dan tidak ambil kisah samada ia menjadi bahasa harian kita ataupun tidak. Yang kita tahu, bahasa Inggeris dan bahasa ibunda masing-masing dituturkan seharian. Kalau adapun yang bertutur dengan bahasa Melayu, hanyalah sebahagian orang-orang Melayu. Itupun Melayu yang duduk di desa dan kampung yang kurang pendedahan dengan bahasa Inggeris.

Para pemimpin yang memuja dan memuji tadi juga turut melupakan bahasa Melayu. Bahasa kebangsaan amat jarang digunakan dalam majlis-majlis rasmi apatah lagi ketika menyambut tetamu dari negara asing. Mereka lebih bertenaga menggunakan bahasa Inggeris dari bahasa Melayu.

Media elektronik demikian juga, lebih mengutamakan bahasa lain dari bahasa Melayu biarpun dalam siaran Berita dan Buletin Utama. Setiap kali memasuki slot perniagaan, bahasa Melayu tidak kedengaran lagi. Bahasa Inggeris dan bahasa lain mula mengambil tempat seolah-olah bahasa Melayu bukanlah bahasa perniagaan.


Kita seronok menganjurkan pertandingan begitu rupa, bukan berminat sangat mempromosi dan memperkembangkan bahasa Melayu. Kita berpura-pura cintakannya tetapi tidak pernah berusaha memartabatkannya. PURA-PURALAH ITU NAMANYA.

No comments: