Wednesday, June 10, 2015

MANUSIA GELANDANGAN: SIAPA YANG PERLU AMBIL TAHU?

Kasihan!

Itulah satu-satunya perkataan yang hanya Tuhan yang tahu betapa sedihnya melihat situasi begini. Nasib baik ini waktu siang dan tiada orang terlalu ramai yang lalu-lalang. Di pekan yang tidak terkenal inipun ada juga orang yang tidak bernasib baik begini. Kalau di banda-bandar besar tentulah ia perkara biasa. 

Foto lelaki gelandangan ini sedang tidur sengaja diambil dari belakang agar tidak menimbulkan perasangka dan mengaibkan sesiapa. Lelaki itu berbaring dan lena nyenyak, tanpa menyedari apa-apa dirakamkan di lantai sebuah kedai berhampiran pejabat cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri di pekan Yan Kechil, Kedah. 


Lelaki ini sering dilihat berjalan mundar-mandir membawa bungkusan pakaiannya. Dia juga sering dilihat merayau di gerai-gerai makan mengharapkan sedikit makanan dari orang ramai atau dari peniaga-peniaga di pekan kecil ini.

Yang peliknya, tiada siapa melakukan apa-apa walaupun ia dilihat sudah berbulan-bulan ke sana ke mari. Yang istimewanya dia sentiasa nampak tersenyum, seolah-olah tiada apa-apa masalah. Di manakah Pegawai Kebajikan Masyarakat? Tidak terfikirkah tentang masa depan lelaki ini? Apa akan berlaku seandainya sikapnya tiba-tiba berubah menjadi ganas dan memberi kesan tidak baik kepada orang ramai?

Pihak berwajib dari Kebajikan masyarakat, Jawatankuasa Masjid, JKKK dan lain-lain yang berkaitan diharap dapat melakukan sesuatu. bawalah dia ke tempat-tempat perlindungan atau ke rumah-rumah kebajikan. bila orang luar atau pertubuhan yang kita sangsi meminta derma kebajikan, kita layan bukan main mesra tetapi gelandangan di depan mata buat tidak nampak.

Kasihan melihatnya!

No comments: