Monday, May 18, 2015

KALAU TIDAK FAHAM, LEBIH BAIK DIAM SAHAJA


Bunyi pernyataan di atas memang agak kasar tetapi itulah hakikatnya. Jika kita tidak tahu dan tidak mahir dalam sesuatu perkara lebih baik kita usah bercakap tentang perkara itu. Jalan selamat dan tidak menyentuh mana-mana pihak, adalah dengan mendiamkan diri. Tidak rugi dan tidak akan kelihatan bodoh andainya itulah sikap yang kita ambil. Hendak bercakappun benda itu kita sendiri tidak faham.

Itulah yang sepatutnya dilakukan Abdul Rahaman Ibrahim, jurulatih pasukan Terangganu yang tewas baru-baru ini. Dia sendiri mengaku bahawa dia tidak faham pengadil. Memang dia tidak faham sebab dia bukannya pengadil. Dia jurulatih berpengalaman malah pernah melatih skuad negara juga.

Apa yang berlaku sekarang, oleh kerana semua nak tunjuk pandai. Pengadil malam itu, Mohd Amirul Azwan yaakob menjadi kambing hitam. Beliau menjadi mangsa kontroversi sedangkan tindakan dan keputusan yang dibuatnya adalah betul dan tepat. Pembatalan gol itu tepat dan pemberian kad merah kepada dua pemain itu juga betul. Batal gol kerana Undang-undang 11 dan kad merah kerana Undang-undang 12.

Saudara Abdul Rahman berasa hairan mengapa pengadil tidak nerujuk terlebih dahulu dengan pembantu pengadil sebelum mengesahkan sesuatu jaringan. (Kita panggil orang yang memegang bendera itu Pembantu Pengadil bukan Penjaga Garisan). Jadi ingin saya terangkan bahawa pembantu pengadil hanyalah membantu. Pengadil boleh menerima bantuan dari mereka kalau ia mahu. Dan kalau sesuatu insiden yang jelas dia nampak dan tahu, bantuan dari pembantu-pembantunya tidak diperlukan.

Jadi usahlah hairan. Memang kita tidak tahu. Sebab itulah ada orang menyatakan bahawa para pengadil lebih hebat dari hakim di mahkamah. Hakim boleh mengambil masa bebrapa lama untuk membuat sesuatu keputusan. Hakim mendapat maklum dari para peguam dan juga saksi. Pengadil akan membuat keputusan ketika insiden itu berlaku dan pantas memberi hukuman.

Apa yang berlaku dan menimpa peminatr di Terangganu adalah kerana sikap mahu bertindak pada perkara yang mereka sendiri tidak tahu. Menteri Besar juga tidak menanti laporan lengkap, terus buat kenyataan seolah-olah pengadil bersalah. Menteri Belia dan Sukan dengan tiba-tiba menyentuh soal mutu pengadilan yang tentunya diarahkan kepada pengadil malam itu.


Sekarang apa nak dikata lagi? Pengadil itu betul. Yang tidak faham adalah kita, para penyokong dan peminat. Minta maaflah pada Mohad Amirul Azwan Yaakob yang anda kutuk dan baling objek yang entah apa-apa kepadanya malam itu. Dan kerosakan yang berlaku, tanggunglah!