Friday, May 29, 2015

BERMULANYA KERJAYA BERBAJU HITAM

Segalanya masih kemas dalam lipatan ingatan bagaimana bermulanya kerjaya berbaju hitam di tengah padang bolaasepak. Kenangan itu tidak mudah dilupakan begitu sahaja kerana kerjaya tersebut membuatkan kita mengenali kawan-kawan yang sama minatnya walaupun latar belakang masing-masing berlainan.

Apapun, perasaan ingin mencuba mula tumbuh bila saudara Khalid Ariffin (Allahyarham) membawa menyaksikan satu perlawanan yang beliau sendiri menjadi pengadil di Sungai Tiang, Pendang kira-kira dalam tahun 1978. Ketika itu baru beberapa tahun bertugas di SMK. Gurun dan sesudah menyaksikan Khalid mengadili perlawanan tersebut, minat untuk mencuba datang dengan sendirinya.

Selepas itu mula menghadiri beberapa kursus danj akhirnya mula meniup wisel ketika berusia 27 tahun di Padang Awam Guar Chempedak, Kedah. Dalam tugasan sulung itu antara pasukan Silat Gayung Cikgu Majid dengan pasukan Kuntau Jawa Pak hussin Padang Lumat, tercetus pergaduhan yang menyebabkan saya dikawal ketat. Puncanya kerana saya terlalu 'ikut buku' tanpa ada budi bicara dalam membuat keputusan. Dan bertitik tolak dari perlawanan itu saya memperkemaskan diri dan bertindak sewajarnya sehingga diletakkan dalam senarai pengadil yang dihormati ketika itu.

Akhirnya saya disenaraikan untuk menghadapi peperiksaan peringkat kebangsaan. Semuanya bermula apabila saudara Khalid memberi galakan dan sokongan dan akhirnya lulus dengan baik bersama 2 orang yang lain iaitu saudara Ismail Bakar dan G. Devudu. Kami bertiga merintis jalan ke peringkat Kebangsaan selepas saudara Khalid sendiri. Kami berempat sering bertugas di kawasan utara bermula dari Perlis hingga ke Ipoh dan sekali sekala ke Pantai Timur.

Untuk itu sehingga sekarang saya tidak melupakan Allahyarham Khalid yang banyak memberi semangat dan dorongan untuk berjaya selepas itu.

Sekian dulu untuk kali ini.

No comments:

Post a Comment