Friday, April 24, 2015

BAHASA MELAYU: JANJI HANYA TINGGAL JANJI

1. Sudah agak lama tiada siapa yang memperkatakan tentang bahasa Melayu atau bahasa Malaysia ataupun bahasa kebangsan. Mungkin semua sudah jemu ataupun sudah tidak sensitif lagi tentangnya apabila teguran demi teguran seolah-olah mencurah air ke daun keladi dan mungkin juga seperti kata sesetengah orang apa yang dicakapkan seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Siapa lagi yang peduli apa akan jadi dengan bahasa rasmi negara ini biar apa namanya sekalipun?

2. Sudah berapa kali janji-janji ditaburkan. Sudah berapa kali ikrar dimeterikan namun bahasa kebangsaan tetap juga tidak dimartabatkan. Setiap kali melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan, menteri dan pihak berkaitan melafazkan macam-macam sumpah demi memartabatkan bahasa Melayu tetapi semuanya hanyalah janji kosong sahaja, sekadar memaniskan telinga orang yang mencintai bahasa. Akhirnya mereka sendiri yang tidak mahu menggunakan bahasa yang kononnya hendak dimartabatkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa dunia.

3. Para pemimpin itu sendiri yang tidak mahu menggunakan bahasa Melayu seolah-olah tidak yakin dan tidak percaya keupayaan bahasa itu biarpun berdepan dengan rakyatnya sendiri. Mereka seolah-olah malu menggunakan bahasa itu malah lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris dengan anganan dilihat lebih tinggi martabatnya berbanding orang lain.

4. Lihat saja melalui televisyen samada saluran kebangsaan atau saluran-saluran berbayar yang lain. Jika tiba slot ‘detikniaga’, pasti bukan berbahasa Melayu lagi seolah-olah bahasa itu tidak berguna langsung dalam bidang ekonomi dan perniagaan. Malah hendak mengumumkan nasib pencarum KWSP yang menjadi isu hangat sekarang inipun, bahasa Inggeris juga yang digunakan mereka. Begitu juga sewaktu melancarkan program ‘Investment Malaysia’, tiada bahasa Melayu digunakan padahal yang hadir adalah semuanya syarikat Malaysia yang dikuasai juga oleh rakyat Malaysia.


5. Jadi di manakah bahasa Melayu hendak digunakan? Mungkin hanyalah di kedai-kedai kopi. Para pemimpin usahlah hanya pandai berjanji kalau tidak boleh ditepati. Akhirnya janji hanya tinggal janji.

No comments: