Sunday, October 12, 2014

BULAN BAHASA KEBANGSAAN


Esok bermulalah sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan dengan rasminya apabila di lancarkan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Setelah sebulan lebih berlalu tanpa apa-apa aktiviti dan tiada langsung publisiti akhirnya akan dirasmikan sambutannya esok untuk tiga bulan iaitu September, Oktober dan November. Entah apalah rasionalnya dibuat sehingga tiga bulan, hanya pihak berkenaan yang dapat menjawabnya.

Sama-samalah kita tunggu dan lihat apakah corak sambutan kali ini. Yang sedang berlansung hari ini sehingga malam ini adalah program Kembara Bahasa yang berakhir di DBP sebentar tadi iaitu aktiviti mengumpulkan penggiat-penggiat dan pencinta bahasa yang datang dari serata tempat dan berkampung di DBP.

Selain itu kita belum tahu apa yang hendak dilakukan bagi memenuhi tempoh sebulan lebih ini. Apapun, penyertaan semua pihak bermula dari para pemimpin hinggalah seluruh rakyat jelata sangat memberi kesan terhadap kecintaan bahasa kebangsaan ini. Tanpa komitmen pemimpin, siapalah kita hendak mengajak orang lain mencintai bahasa Melayu.

Permulaan hari ini kelihatan amat baik. Perdana Menteri DS Najib ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA begitu memuji Presiden MCA yang seluruh ucapannya dalam bahasa Melayu yang amat baik. Dan DS Najib berharap perwakilan dan ahli MCA seluruhnya menurut jejak presiden mereka.

Yang menjadi tandatanya kenapa selepas itu tiba-tiba DS najib terus berucap dalam bahasa Inggeris?
Nampak sangat lain yang disuruh, lain yang  dibuat. Kata orang, cakap tak serupa bikin.

Entahlah. Nasib kamulah Bahasa Melayu!

No comments:

Post a Comment