Friday, September 26, 2014

GUAR CHEMPEDAK: SIAPA RAJA SIAPA KELAS DUA


Pernah anda datang ke pekan kecil Guar Chempedak? Namanya sangat menarik dan kawasannya cantik, hampir dengan Gunung Jerai dalam daerah Yan, Kedah. Chempedak adalah buah-buahan tempatan yang lazat dan sedap dimakan mentah atau digoreng.

Nama yang indah dan cantik tidak menjamin keadaan yang cantik juga. Kalau dilihat seimbas pandang, dengan infra-sturkturnya, ia memang suatu tempat menarik dan menjanjikan keselesaan rakyat jelata. Jalanraya menuju pekan Yan dari jalan utama Alor Setar-Sungai Petani dibina begitu hebat dengan tiga lorong setiap laluan pergi dan balik. Macam lebuhraya utara-selatan.


Malangnya, itu hanyalah indah kabar dari rupa. Memang ia tiga lorong tetapi yang boleh digunakan hanya satu sahaja. Dua lorong lagi tidak mungkin dapat digunakan orang ramai. Orang ramai hanyalah rakyat kelas dua dan para peniaga di situ menjadi ‘RAJA’.

Ada ruang pejalan kaki, dibina bukan main cantik dengan bata berwarna, hanya digunakan oleh peniaga-peniaga. Barang-barang niaga dipamerkan di situ hingga menutup terus lorong pertama. Pengguna tidak boleh gunakan lagi lorong pejalan kaki itu. Lorong kedua pula menjadi tempat para peniaga meletakkan kereta dan van memunggah barang.


Terdapat  juga beberapa kereta pengguna yang turut berlagak bak raja, meletak kenderaan ketika memilih dan membeli barang-barang.

Tinggallah lorong ketiga untuk digunakan orang ramai samada berjalan kaki atau kereta melaluinya. Setiap hari jalanraya di situ menjadi sesak dengan orang ramai dan kenderaan yang melaluinya. Mahu tak mahu, itulah saja jalan yang ada.



Ini bukan perkara baru, malah sudah berlarutan sejak hampir 10 tahun, tiada juga perubahan. Kadang-kadang terasa pelik, dalam masa 10 tahun takkan tiada sesiapa pihak berwajib sedar dan bertindak. Buatlah sesuatu. Atau memang mereka tidak mahu berbuat apa-apa kerana sudah mendapat apa-apa dari peniaga-peniaga di situ.




Di sini, peniaga adalah Raja dan pengguna adalah rakyat kelas dua.

No comments: