Monday, September 22, 2014

BOLASEPAK: BACALAH DAN TAFSIRLAH UNDANG-UNDANG XII

Akhirnya Malaysia atau lebih tepat Harimau Muda pulang awal dari temasya Sukan Asia di Incheon. Tidak dapat disangkal sama sekali bahawa para pemain Harimau Muda memang tidak setanding dengan pemain-pemain Arab Saudi yang ditentang dalam perlawanan terakhir kumpulan itu.

Tetapi bukan aksi perlawanan itu yang penting sekarang. Apa yang perlu difikirkan adalah kebenaran teori yang sering  bermain di kepala penulis bahawa belum ada pasukan yang kalah memuji pengadil perlawanan. Itulah yang berlaku, selepas perlawanan tersebut, jurulatih negara Datuk Ong Kim Swee terus meletakkan kesalahan di bahu pengadil ekoran kekalahan pasukannya. Tanpa segan dan malu beliau tidak mempertikaikan aspek lain tentang kekalahan itu.

Adilkah bagi pengadil perlawanan tersebut? Sivakom Pu Udom tentunya pengadil terbaik dari Thailand.  Betulkah pengadil bertindak salah? Malangnya, ‘Si Baju Hitam’ itu tidak dapat menjawab kerana sebagai pengadil, beliau harus mengunci mulut dari memberi sebarang komen atau membuat kenyataan membela dirinya.

Pemain Malaysia, Zubir Mohd Azmi sendiri memberi kenyataan lepas tangan sahaja. Menurutnya, dia sendiri tidak tahu apa kesalahan yang dilakukannya sehingga mendapat kad merah itu. Kenyataan itu dilihat seolah-olah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab langsung.

Begitulah dalam mana-mana perlawanan sekalipun. Pengurus Manchester United pernah memarahi pengadil. Pengurus Chelsea juga pernah berbuat demikian. Teori pasukan yang kalah tidak akan member pujian kepada pengadil memang benar.

Tetapi pernahkah kita membaca dan mentafsir Undang-undang XII permainan bolasepak yang dikeluarkan FIFA? Kalau dikaji dan ditafsirkan secara waras, perbuatan Zubir selayaknya diberi kad merah itu. Dalam insiden itu nampak jelas dia tidak berminat langsung dengan bola tetapi sebaliknya lebih berminat kepada pemain untuk dikasari. Apa yang dilakukannya sepatutnya diberi kad merah terus, bukan kad kuning kedua.

Dan seperkara yang orang tidak pernah sedar ialah pengadil adalah orang yang paling hampir dengan setiap insiden untuk membuat keputusan. Kita yang menjadi penonton dan pegawai hanya berada di luar padang dan jauh dari insiden perlawanan.


Hayatilah Undang-undang XII. 

No comments: