Tuesday, January 14, 2014

PENJENAMAAN SEMULA PERSATUAN BOLASEPAK KEDAH

1. Langkah persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memperkenalkan logo baru sebagai salah satu langkah penjenamaan semula pasukan bolasepaknya harus disambut baik oleh semua pihak yang mencintai pasukan tersebut. Ini bukanlah kali pertama logo persatuan itu ditukar. Dahulupun pernah berlaku semasa bolasepak Malaysia melangkah ke era Semi-Pro lebih satu dekad yang lalu. Ketika itu tiada pihak yang menentang atau bercadang memboikot pasukan kesayangan mereka.

2. Biarlah KFA menguruskan persatuan dan juga pasukan asalkan ia kembali menjadi pasukan yang sukar ditandingi. Biarlah Kenari diganti dengan Helang. Biarlah Alamanda diganti dengan Tangkai Padi. Ia akan tetap menjadi pasukan yang dipuja dan disegani. Asalkan slogan Biar Jasa Jadi Kenangan masih berkumandang. Asalkan warna keramat Hijau Kuning masih menjadi kebanggaan.

3. Biar apapun, sejarah penciptaan logo sebelum ini harus diingat. Jangan terlalu diperlekeh seolah-olah ia dihasilkan sekadar mahu mencipta logo. Ia ada mesej tersendiri yang orang tidak faham. Kata-kata Datuk Othman Aziz tentang lakaran Bunga Alamanda yang dikaitkan dengan status ‘Mat Bunga’ dalam pasukan bolasepak Kedah sebagai satu usaha menjatuhkan air muka Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil selaku individu yang beetanggungjawab dalam penghasilan logo lama itu.

4. Mungkin Datuk Othman tidak sedar atau tidak tahu langsung siapa kumpulan yang mencipta logo tersebut. Sebagi individu yang terlibat dalam penghasilan logo lama tersebut, saya amat terkilan dengan kenyataan Datuk Othman Aziz dalam Utusan Malaysia baru-baru ini.

5. Semasa berbincang untuk menghasilkan logo itu, sesudah diputuskan pemilihan warna Hijau-Kuning sebagai warna rasmi pasukan, kami memutuskan pula elemen yang patut dimasukkan di dalam logo tersebut. Semua Ahli Majlis ketika itu mahu elemen padi dikekalkan tetapi Datuk Ahmad Basri mencadangkan bunga alamanda kerana alamanda sentiasa berwarna hijau dan kuning berbanding padi yang warnanya tidak menentu, ada ketika hijau dan ada ketika ia kuning. Akhirnya semua yang terlibat termasuk Datuk Radzi Bashir, Datuk Shukri Hashim dan beberapa orang yang lain bersetuju dengan cadangan itu.


6. Malah pemakaian 11 garis sempadan bentuk logo itu melambangkan sebelas daerah di negeri Kedah dengan mengambil kira daerah kecil Pokok Sena sebagai satu daerah. Tidak terlintas langsung status ‘Mat Bunga’ yang Datuk Othman Aziz suarakan. Jadi berhati-hatilah membuat kenyataan agar tidak menyentuh mana-mana pihak. Malah dengan logo yang dikatakan tidak bermaya itu juga pasukan Kedah Berjaya melakar sejarah kebangkitan yang hebat dalam kancah bolasepak Malaysia.

No comments: