Thursday, October 10, 2013

KASIHANNYA BAHASA MELAYU

Bulan Bahasa Kebangsaan untuk 2013 baru saja dilancarkan di Dewan 2020 Kangar, Perlis oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Seperti setiap tahun, pelancarannya disambut meriah, tetapi untuk hari itu sahaja. Dan Tan Sri Muhyiddin membaca skrip lama juga dalam ucapannya tetapi kali ini menyeru dan berharap IPT memainkan peranan ke arah mendaulatkan Bahasa Kebangsaan atau khususnya Bahasa Melayu. Sebagaimana setiap tahun juga, ianya habis begitu sahaja seiring dengan berlalunya hari pelancaran tersebut.

Tidak ada satupun langkah konkrit seterusnya untuk memenuhi ruang selama sebulan itu sebagai usaha berterusan untuk memartabatkan bahasa seperti yang diharapkan. Apa programnya? Langsung tidak ada dan semuanya kembali seperti biasa, meninggalkan Bahasa Melayu dengan fantasi sebagai bahasa ilmu dan juga sebagai bahasa keenam tersohor di dunia kononnya dituturkan oleh 250 juta orang. Kasihannya Bahasa Melayu.

Apa boleh buat, Bahasa Melayu akhirnya terus terpinggir sekadar tempelan di kebanyakan acara di dalam negara ini dan di khalayak orang Malaysia sendiri. Orang lebih senang dan selesa menggunakan Bahasa Inggeris. Orang seperti sangat rendah martabatnya jika menggunakan Bahasa Melayu dalam majlis-majlis rasmi samada majlis anjuran swasta dan juga anjuran pihak kerajaan sendiri. Para pemimpin sendiri kelihatan lebih lancar berbahasa Inggeris dari Melayu.

Papantanda premis perniagaan tetap juga diluluskan walau tiada langsung perkataan Melayu di dalamnya. Yang ada cuma perkataan ‘….Sendirian Berhad’.

Media elektronik terutama TV langsung tidak memainkan peranan untuk tujuan memartabatkan bahasa itu.
Tidak adapun satu program yang berterusan, sekurang-kurangnya dalam masa sebulan ini, sesuai dengan namanya Bulan Bahasa Kebangsaan. Apa salahnya dalam masa sebulan dalam setahun kita sama-sama memberi sokongan memenuhkan aspirasi memartabatkan bahasa itu.

Bukan tidak boleh berbahasa Inggeris tetapi jika yang berucap orang Melaysia dan yang mendengar juga orang Malaysia, kenapa harus berbahasa Inggeris? Rakyat Malaysia tidak faham jika bertutur dalam Bahasa Melayu?


Fikir-fikirkanlah untuk sebulan ini. Bulan yang dinamakan Bulan Bahasa Kebangsaan. 

1 comment:

❤Kamsiah❤ said...

pak2 menteri,VVIP..semua mengunakan bahasa rojak...mcm mana rakyat nak ikut..