Sunday, July 14, 2013

YANG AKU DENGAR DAN YANG AKU LIHAT

Kerap kali aku dengar mereka mempertahankan bahasa bangsaku, Bahasa Melayu. Mereka, para pemimpin negara berdegar-degar meninggikan suara membela bahasa itu dan mempromosikan ia sebagai bahasa ilmu dan bahasa dunia. kononnya ia bahasa keenam paling ternama di dunia dan ia digunakan hampir 250 juta manusia di dunia. Begitulah yang aku dengar.

saban kali juga aku dengar para pemimpinku dan para pengikut mereka begitu sinis mengutuk kaum-kaum tertentu tentang artikel 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan. Betapa lantang mereka menentang segala macam provokasi terhadap perkara-perkara itu sehinggakan aku terfikir akan bewrelaku pertelingkahan besar seperti terjadi tahun 69 dahulu. Begitulah yang aku dengar.

Tetapi yang aku lihat orang-orang ini juga yang melanggar prinsip mereka sendiri. Merekalah juara dalam memutarbelitkan kata-kata. Merekalah yang malu menggunakan bahasa mereka sendiri. Mereka seperti terhina bila menggunakan bahasaku ini, Bahasa Melayu yang mereka begitu keras mempertahankannya.

Yang aku lihat orang-orang ini juga yang sering bercakap Inggeris bila ada apa-apa majlis besar biarpun hadirin adalah rakyat negara ini sendiri. Tokoh-tokoh besar ini nampak lebih selesa menggunakan Inggeris daripada Bahasa Melayu.

Lihat sahaja di TV, setiap kali berita bidang perniagaan dan korporat, bahasa apa yang digunakan? Bahasa Melayu? Jangan haraplah padahal yang mendengare dan yang melihat adalah rakyat Malaysia sendiri.

Dalam dunia politik mereka juga begitu. Aku dengar mereka berseteru bagai nak gila, tetapi apa yang aku lihat mereka duduk semeja sambil ketawa jenaka. Pada masa yang sama pengikut mereka berkelahi bagai nak gila.

Yang aku dengar dan yang aku lihat tidak pernah sama.
adakah ini semua permainan mereka belaka?


No comments:

Post a Comment