Thursday, July 25, 2013

APA YANG KITA HARAPKAN DARIPADA MEREKA?

Apabila pemuda bernama Sharol Aizan mohamad damanhuri didapati meninggal dunia tersepit di besi tingkap ketika cubaannya menceroboh kediaman jirannya, saya tidak terperanjat dengan nasibnya tetapi terkesima dengan langkah bapanya, Mohamad Damanhuri yang mahu menyaman pemilik rumah tersebut atas nasib yang menimpa anak beliau.

Menurut pendapat Mohamad Damanhuri tidak munasabah anaknya mati tersepit melainkan ia dibunuh atau dianiayai dengan apa cara oleh tuan rumah berdasarkan kesan-kesan ditubuh badan anaknya itu. Beliau bercadang melantik peguam dan mahu melakukan bedah siasat kedua tetapi masih tidak mahu menerima keputusan andainya keputusan tetap sama.

Saya tidak tahu apa jenis manusia bernama Mohmad Damanhuri ini. Jika keputusan tidak memihak kita tidak kita terima, buat apalah bedah siasat kedua? Buang masa, buang duit dan buang tenaga. Anak sudah meninggal, terimalah keputusan dan redalah ia sebagai ketentuan Ilahi.

Lagipun apa yang kita harapkan dari tuan rumah yang kita ceroboh itu? Mahu dia melayan kita bagai 'putera' apabila ditahan dalam keadaan begitu? Bayangkan jika rumah anda diceroboh orang, apa anda akan buat? Lebih-lebih lagi jika telah beberapa kali diceroboh tetapi gagal menahan pelakunya. Biarkan saja dan jemput dia masuk untuk 'minum kopi' dengan anda? Kesan di tubuh pemuda itu entah sudah berapa lama ada di badannya. 

Terimalah hakikat bahawa anak kita melakukan satu kesalahan yang tidak sepatutnya. Redalah dengan ketentuan Ilahi. Dan tidak mungkin ia akah hidup kembali biar apapun tindakan anda. 

Muhasabah diri bahawa anda telah gagal menjadikan dia insan yang dibanggakan.

Fikir-fikirkanlah!

No comments:

Post a Comment