Sunday, March 28, 2010

TIDAK DIDUDUKI KERANA ROSAK ATAU ROSAK KERANA TIDAK DIDUDUKI?

Polemik mengenai Perumahan Guru timbul semula semula apabila Menteri Pelajaran mengumumkan peruntukan yang besar bagi membaiki kerosakan bagi membolehkan rumah-rumah ini didiami oleh warga sector pendidikan. Walaupun langkah membaiki kerosakan tersebut adalah satu langkah yang baik, tetapi ramai yang berpendapat akan berlaku lagi sekali pembaziran wang kerajaan andainya ia tidak dikuti dengan perbahan dasar menduduki rumah-rumah tersebut.

Dan rasanya laporan yang diterima Tan Sri Muhyiddin adalah laporan yang salah. Rumah-rumah tersebut sebenarnya mengalami kerosakan sebab tidak diduduki, bukannya tidak diduduki kerana rosak. Ini adalah dua kenyataan yang berbeza dan kerajaan harus memandang secara positif tentang dasar yang digariskan bagi setiap pendidik yang menduduki rumah tersebut.

Rata-rata Kompleks Perumahan Guru tidak berpenghuni kecuali di kawasan-kawasan kritikal iaitu di bandar-bandar besar yang susah mendapat rumah sewa. Daripada 5 blok apartment 5 tingkat setiap blok, hanya didiami 5 atau 6 keluarga. Unit-unit yang lain tidak dimanfaatkan dan tinggal lengang begitu sahaja. Unit-unit inilah yang menjadi sasaran pencuri dan merosakkan barang-barang yang ada di situ, tambahan pula tidak ada pengawal yang bertugas menjaga keselamatan.

Jadi unit-unit rumah ini rosak kerana tidak diduduki orang bukan orang tidak duduki kerana ia rosak. Pihak kementerian khasnya dan kerajaan amnya harus mencari formula yang sesuai agar rumah-rumah ini tidak dibiarkan kosong begitu sahaja. Hal yang sama juga terjadi kepada Perumahan Polis dan Perumahan Tentera.

Salah satu punca perumahan ini tidak dapat menarik minat anggota kerajaan mendudukinya adalah kerana polisi jabatan masing-masing memotong semua elaun perumahan dan juga elaun sara hidup. Elaun-elaun ini akan ditolak terus sebagai ‘bayaran sewa’ mendiami unit-unit rumah itu. Ada pegawai kerajaan yang hilang pendapatan antara RM600 hingga RM1000 kerana menduduki rumah-rumah yang disediakan itu. Hal ini menyebabkan para pegawai kerajaan lebih berminat menyewa rumah-rumah yang lain yang tentunya lebih murah sambil boleh menikmati elaun-elaun yang disebutkan tadi.

Adalah lebih baik jika elaun-elaun tersebut dikekalkan dan para pegawai yang menduduki rumah-rumah tersebut hanya dikenakan sewa yang berpatutan. Rasanya rumah-rumah itu akan nada penghuninya kelak dengan berbuat demikian.

No comments: