Tuesday, March 23, 2010

PENDIDIKAN SEKS MACAM MANA YANG DIKEHENDAKI?

Akhir-akhir ini bertubi-tubi Kementerian Pelajaran diasak dan disarankan agar pendidikan seks dimasukkan dalam kurikulum sekolah, kononnya untuk memberi pengetahuan kepada pelajar tentang bahayanya mengandung anak di luar nikah dan mengamalkan seks sebelum kahwin. Yang lebih penting untuk mengawal gejala buang bayi yang menjadi-jadi sekarang ini.

Semalam Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil mengulangi gesaan supaya Kementerian Pelajaran bertindak segera memulakan pendidikan seks di sekolah-sekolah manakala Kementerian Pelajaran pula masih menimbangkan dan menunggu maklum balas dari pihak-pihak yang lain.

Tetapi apakah benar pendidikan seks tidak diajar di sekolah selama ini? Atau pendidikan seks yang macam mana yang dikehendaki oleh para pendesak ini? Selama ini apakah jenis pendidikan yang diterapkan dalam matapelajaran Sains dan Pendidikan Islam mengenai seks? Bukankah itu adalah satu cabang pendidikan seks?

Dalam matapelajaran Sains dan Sains kesihatan di sekolah telah ada topik-topik tentang alat-alat kelamin lelaki dan perempuan. Para pelajar telah melihat dan melukis dan membuat lakaran serta nota tentang perkara itu. Mereka telah diajar bagaimana alat-alat kelamin itu berfungsi dan apa hasilnya jika persenyawaan berlaku antara sperma lelaki dan telur dari benih perempuan. Para pelajar telah mempelajari mengenai kitaran haid dan keberkesanan ‘mani’ lelaki.

Mereka juga telah didedahkan mengenai proses mengandung dan proses kelahiran melalui matapelajaran Sains dan juga Pendidikan Islam. Malah dalam Pendidikan Islam telah diajar tentang halal dan haramnya perhubungan intim di luar nikah dan telah diajar juga tentang status anak yang lahir di luar nikah.

Jadi apa namanya pendidikan yang disebutkan itu? Atau Pendidikan Seks yang macam mana yang dikehendaki oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat,Datuk Seri Shahrizat itu? Adakah beliau dan pihak-pihak lain yang mendesak ini mahu para pelajar didedahkan dengan kaedah melakukan seks selamat ataupun bagaimana mengelak diri dari mengandung? Atau mereka mahu diajar tentang kaedah memakai kondom dan ubat mengcegah kehamilan?

Apakah tidak cukup dengan pendidikan seks yang terdapat dalam matapelajaran Sains, Sains kesihatan, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral yang secara terang-terang menceritakan proses evolusi seks secara terperinci itu?

No comments:

Post a Comment