Saturday, November 28, 2009

PEJUANG BAHASA YANG BERMUSIM

1. Bulan Bahasa Kebangsaan sudah hampir sebulan berlalu tanpa ada suatu pun program yang boleh dibanggakan untuk dikenang sebagai usaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Kalau pada hari pelancarannya kita lihat begitu berkobar-kobar dan bersemangat hendak memartabatkan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dan bahasa dunia.
2. Dan para pejuang bahasa yang teramat lantang dahulu entah ke mana menghilang. Tidak ada seorang pun yang bersuara tentang kecelaruan penggunaan bahasa sekarang ini seolah-olah menjadi pejuang bermusim yang hanya bersuara pada waktu-waktu tertentu. Seperti ayam yang hanya berkokok pada waktu dinihari.
3. Sedikit waktu dahulu para pejuang bahasa begitu ghairah mengkritik kerajaan tentang PPSMI hingga membawa kepada penghantaran memorandum kepada DYMM Seri Paduka Yang Dipertuan Agung. Tokoh-tokoh seperti A. Samad Said dan Hassan Ahmad yang berkeras meminta kerajaan menarik balik PPSMI atas alasan mahu memartabatkan bahasa Melayu terus menyepi selepas peristriwa demonstrasi jalanan yang bersejarah itu.
4. Selepas itu tidak kedengaran apa-apa lagi. Barangkali mereka sudah puas setelah berjaya memaksa kerajaan menghabiskan entah berapa juta ringgit untuk menghasilkan buku-buku teks yang baru menggantikan buku teks PPSMI dahulu. Kemudian berapa juta ringgit pula untuk menjalankan kursus-kursus bagi guru-guru yang terlibat dengan PPSMBM pula.
5. Ketika TPM Tan Sri Muhyiddin yasin melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di Serawak pada 1 Oktober lalu sehinggan sekarang tokoh-tokoh tersebut menyepi sahaja. Yang ada hanyalah beberapa orang pecinta bahasa memberi beberapa pandangan yang akhirnya dipandang sepi semua pihak termasuk kerajaan sendiri dan semuanya berlalu begitu sahaja. Mungkin menanti bulan bahasa tahun hadapan pula untuk berkokok semula.
6. Sekarang semuanya kembali kepada asal malah semakin jauh dari matlamat hendak meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia dan bahasa ilmu. Para pemimpin masih juga cenderung berbahasa Inggeris walaupun berucap kepada khalayak dari Malaysia sendiri. Tokoh-tokoh korporat tetap dengan penuh ego menyampaikan maklumat dan mempromosikan produk mereka kepada rakyat Malaysia sendiri dalam bahasa Inggeris seolah-olah bahasa itu menjadi satu kemestian dalam bidang mereka.
7. Tidak ada siapa peduli dengan lambakan drama Melayu yang menggunakan dialog bahasa rojak. Tidak siapa peduli iklan-iklan yang terang-terang mencabar usaha memartabatkan bahasa Melayu. Malah Petronas sendiri yang dianggap sebagai sebuah syarikat nasional dengan angkuh membuat iklan dengan empat bahasa sekaligus seolah-olah bukan hanya Melayu sahaja bahasa rasmi negara ini.
8. Dan para pejuang bahasa seperti bisu dan hilang taring. Kalau dulu begitu lantang dengan berbagai kritikan, sekarang oleh kerana bukan musimnya, semua berdiam diri begitu sahaja. Seolah-olah kemunculan mereka bemusim. Atau menanti tibanya musim pilihanraya atau sewaktu adanya demonstrasi jalanan untuk mereka menjaja isu bahasa ini semula kerana kemunculan mereka pada waktu sensasi itu mejadikan mereka sedikit ‘glamour’.
9. Kita tunggulah apabila tiba musimnya nanti.

No comments:

Post a Comment