Friday, November 20, 2009

MUNGKIN INILAH IKLAN SATU(1) MALAYSIA

Setiap kali mengikuti siaran buletin Utama atau Berita Nasional, iklan Petronas tidak pernah lupa disiarkan. Setidak-tidaknya 2 kali semasa siaran berita di TV. Dalam sehari entah berapa kali iklan tentang penggunaan dan kelebihan bahanapi jenama nasional itu dihidangkan kepada para penonton.

Mahu tidak mahu, lihat jugalah. Dalam hati sebenarnya ‘meluat’ tak terkira. Tapi oleh kerana hendak menonton berita, terpaksa jugalah melihat iklan yang menyakitkan hati itu. Iklan itu bukan tidak bagus tetapi cara dipersembahkan amat menyakitkan hati.

Dimulai dengan bahasa Cina sebagai pembuka tirai, diikuti bahasa Tamil, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Nampaknya bahasa Melayu lepas ke belakang. Walaupun susunan bahasa itu bukanlah bermaksud begitu, orang akan menilai begitu. Tetapi bagi saya bukan perkara tersebut menjadi fokus sebenar saya dalam soal ini.

Yang menghairankan saya kenapa ia perlu dibuat dalam empat bahasa? Tidak memadai dengan bahasa Melayu sahaja? Susah sangatkah rakyat Malaysia hendak memahami bahasa Melayu yang termaktub sekian lama sebagai bahasa rasmi dalam perlembagaan? Itulah yang menghairankan dan mengejutkan saya. Mungkin inilah iklan yang mencerminkan gagasan 1 Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri.

Dalam kita bersungguh-sungguh hendak memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, adalah tidak munasabah iklan begini dihasilkan dan disiarkan. Walau apa pun rasionalnya, iklan ini benar-benar mencabar usaha memartabatkan bahasa kebangsaan itu. Untuk siapa sebenarnya iklan itu dihasilkan?

Saya rasa tidak perlu menggunakan empat bahasa sekali dalam iklan tersebut. Memadai hanya bahasa Melayu kerana setiap rakyat Malaysia sudah pasti memahami setiap ayat yang digunakan. Bukan payah sangsat, “Kereta saya pergi lebih jauh hanya dengan satu pengisian sahaja”.

Iklan ini patut dikaji semula penyiarannya. Lebih-lebih lagi yang terlibnat aalah sebuah syarikat bertaraf nasional, sepatutnya hendaklah lebih patriotik. Sepatutnya Petronas hendaklah lebih peka kepada usaha kerajaan meletakkan bahasa Melayu di tempat sepatutnya.

No comments:

Post a Comment