Wednesday, November 4, 2009

DASAR AUTOMOBIL NASIONAL YANG MEMBEBANKAN.

1. Secara jujurnya, ini kali kedua saya terjebak dengan dasar yang diperkenalkan kerajaan untuk menyelesaikan masalah melayan permintan pihak-pihak tertentu dalam ‘perniagaan yang berkaitan kenderaan’. Perniagaan yang dimaksudkan termasuklah insurans, syarikat menjual kereta, bengkel-bengkel alatganti dan servis dan macam-macam lagi.

2. Sebelum ini saya terjebak dalam skim pemberian rebat tunai kepada kenderaan 2000 cc ke bawah. Saya tidaka dapat menikmati rebat tunai tersebut kerana kereta lama saya berkapasiti 2200 cc padahal harganya tidak pun mencecah RM12,000.00. Honda Accord keluaran terbaru berkapasiti 2000cc yang bernilai serastus ribu layak pula mendapat rebate tersebut.

3. Berbalik kepada dasar terbaru ini yang mewajibkan kenderaan melebihi 15 tahun usianya mesti mendapat pengesahan PUSPAKOM sebelum membaharui cukai jalan, ada kebaikan dan keburukannya. Hal ini perlukan kajian dan rumusan yang mengambil kira juga pendapat orang ramai selain daripada desakan sector-sektor perniagaan yang disebutkan tadi.

4. Desakan daripada sector perniagaan ini yang semakin lembab akhir-akhir ini, kerajaan tiada pilihan mengenakan berbagai syarat terhadap pemilik kenderaan untuk memaksa mereka berurusan dengan sector tersebut yang tentunya memakan belanja yang tidak sedikit.

5. Demi menjaga fizikal dan prestasi kenderaan untuk ‘meluluskan diri’ semasa pemeriksaan PUSPAKOM nanti, tak dapat tidak pemilik kenderaan kenalah berurusan juga dengan bengkel-bengkel servis dan alat ganti ini. Dan tentunya syarikat insurans dengan sewenang-wenangnya akan menaikkan kadar premium mereka bagi kenderaan-kenderaan lama ini.

6. Tak dapat tidak, kita terpaksa melupakan kenderaan berusia ini dan untuk memiliki juga kereta, terpaksalah menanggung perbelanjaan lebih membeli kereta baru dan terus lagi menanggung hutang hingga ke akhir hayat. Yang gelak besar adalah pemilik syarikat menjual kereta baru.

7. Sektor-sektor ini boleh berdaya maju dan yang menjadi mangsa adalah pemilik kenderaan lama yang usianya melebihi 15 tahun yang kebanyakannya adalah rakyat berpendapatan rendah. Akhirnya ia berkubur begitu sahaja di tempat yang dipanggil ‘kubur kereta’ seperti yang diamalkan di Arab Saudi yang menyediakan satu kawasan melupuskan kenderaan lama.

8. Betulkah kenderaan berusia ini menjadi penyebab kemalangan? Ini memerlukan kajian dan rasional kerana kebelakangan ini kemalangan tidak mengira usia kenderaan tetapi berpunca daripada sikap para pemandu sendiri. Dan jika kita perhatikan, kenderaan-kenderaan yang terlibat dengan kemalangan adalah kenderaan-kenderaan baru yang berprestasi tinggi.

9. Dasar yang diperkenalkan ini akan menyebabkan beberapa scenario berikut:

-Kerajaan akan menyediakan satu kawasan yang dipanggil ‘kubur kereta’ yang akan
menempatkan kereta-kereta lama yang tidak berupaya dipulihkan.

-Melumpuhkan terus industri ‘kereta antik’ yang semakin populer sekarang.

-Semua orang memiliki gaya hidup baru dengan rata-rata memiliki kereta baru.

-Industri Insurans akan berkembang dengan lebih pesat berikutan kenaikan kadar
premium insurans yang dikenakan nanti.

10. Jadi adalah diharap peraturan ini dikaji terlebih dahulu tentang kesannya kepada rakyat yang berpendapatan rendah sebelum ia dilaksanakan. Keluhan rakyat perlu juga diberi perhatian.

No comments: