Sunday, October 25, 2009

DENDAM TUAN GURU

1. Apabila Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat serius mahukan satu Muktamar Agung Khas PAS segera diadakan, saya tidak melihatnya dari sudut parti itu dilanda krisis kepimpinan yang serius seperti anggapan kebanyakan orang. Walaupun kemungkinan krisis itu benar, saya melihatnya dari sudut yang lain.

2. Gesaan Tuan Guru itu saya pandang sebagai mesej betapa berdendam dan bencinya Tuan Guru kepada UMNO. Beliau benar-benar ‘berkerat rotan berpatah arang’ dengan UMNO yang sama sebangsa dengannya. Kemarahan dan kebencian ini semakin menjadi-jadi sehingga sanggup melabel UMNO sebagai ‘parti sesat’ yang tidak membawa ke syurga.

3. Pintu rundingan dengan parti Melayu terbesar itu (UMNO) ditutup terus dan tidak ada sebarang muzakarah lagi kerana bagi beliau parti UMNO tidak berlandaskan Islam dan tidak berjuang untuk menegakkan agama Allah. Gagasan untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan seperti cadangan presiden PAS, Haji Hadi Awang ditendang terus dari perbincangan.

4. Berpegang dari perkara itulah juga gesaan Muktamar Agung Khas ini dilontarkan beliau dan tidak ada ruang untuk bertolak ansur lagi walaupun menurut Haji Hadi beliau akan mendengar sendiri pendirian Nik Aziz itu. Tuan Guru berharap muktamar itu dapat membersihkan PAS dari semua nafas-nafas yang mahu menjalin kerjasama dengan UMNO. Beliau mahu muktamar itu menentukan nasib tiga pemimpin yang beliau dapati bermasalah.

5. Begitulah dendam Tuan Guru sehinggakan apa saja yang berkaitan dengan UMNO harus disingkirkan. Pemimpin yang mencadangkan gagasan Kerajaan Perpaduan harus dibuang. Pmimpin yang cenderung berbaik-baik dengan UMNO harus dibuang juga kerana UMNO tidak memperjuangkan Islam kononnya. Muktamar itupun mahu diadakan semata-mata hendak membersihkan PAS dari pemimpin-pemimpin yang pernah cuba berbaik-baik dengan UMNO.

6. Tetapi Tuan Guru Nik Aziz lupa bahawa Melayu yang berada dalam UMNO itu semuanya Islam. Islam seperti Islam PAS juga., menyembah Tuhan yang sama, Allah Subhanahuwata’ala. Sama-sama bersembahyang sehari lima waktu.

7. Namun begitu pada masa yang sama, Tuan Guru sanggup pula berkerjasama dengan DAP yang terang-terang tidak Islam dan meolak sebarang usaha ke arah negara Islam. Sanggup pula beliau mengikat persahabatan dengan PKR yang terang-terang didominasi kumpulan Hindraf yang telah diharamkan yang nyata hanya berjuang untuk kepentingann individu tertentu dan untuk kaum India semata-mata.

8. Tuan Guru juga sanggup lebih ‘mempercayai’ ayat-ayat Quran yang disampaikan politikus berbangsa Cina dan India ini daripada ayat-ayat Quran yang dibaca orang-orang UMNO. Malah Tuan Guru merestui semua kerjasama dengan DAP dan PKR tanpa menoleh ke belakang lagi, tanpa memandang lagi pelaksanaan hukum hudud yang menjadi teras perjuangan asal PAS satu ketika dulu.

9. Begitulah tebalnya kemarahan Tuan Guru kepada UMNO sehingga tiada maaf lagi sehingga beliau pernah mengungkapkan bahawa UMNO bukan parti yang membawa para penyokongnya ke syurga. Yang akan ke syurga hanya yang menyokong PAS.

10. Jika begitu, nampaknya para pendokong dan penyokong PAS sama ada dari PAS, PKR dan DAP berpeluang baiklah dapat memasuki syurga berbanding dengan pendokong dan penyokong UMNO.

No comments:

Post a Comment