Wednesday, October 21, 2009

BULAN BAHASA 'ALA MALAYSIA'

1. Apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin melanarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 di Kuching, Sarawak pada 1 Oktober lalu, dapatlah dianggap betapa seriusnya kerajaan mahu memartabatkan bahasa Melayu. Sesuailah dengan termaktubnya ia dalam perlembagaan sebagai bahasa rasmi negara Malaysia.

2. Setelah 53 tahun negara mencapai kemerdekaan, kita masih tercari-cari formula bagaimana hendak memperkasakan bahasa Melayu di tanah airnya sendiri. Kononnya bahasa Melayu adalah bahasa keempat terpenting di dunia dituturkan jutaan manusia terutama di negara-negara rumpun Melayu. Kononnya juga bahasa itu hendak dimartabatkan sebagai bahasa dunia dan bahasa ilmu.

3. Alangkah ironinya dan rakyat Melayu menanti-nanti bila saatnya ‘impian’ itu termakbul. Ditambah pula dengan kesungguhan kerajaaan terhadapnya yang dilihat dari nada ucapan dan majlis-majlis yang diadakan berkaitan dengan bahasa akhir-akhir ini, sangat memberangsangkan. Tetapi itulah sahaja yang disajikan kepada kita kerana akhirnya semua berbalik kepada asal.

4. Alangkah sedihnya, Bulan Bahasa hanya sekadar ‘dilancarkan’, beritanya menghangatkan akhbar-akhbar esoknya dan lepas itu pada hari yang sama semua pihak berbalik kepada amalan yang biasa. Bulan Bahasa Kebangsaan seolah-olah hanuya sekadar memenuhkan takwim semata-mata. Lebih ironi dikatakan ‘gimik’ semata-mata. Sambutan bulan bahasa benar-benar ‘ala Malaysia’. Riuh sehari, kemudian semua pihak lupa peranan yang patut dimainkan untuk merealisasikan impian menjadikan bahasa Melayu bahasa dunia dan bahasa ilmu.

5. Para pemimpin tetap juga dengan kebiasaan, masih menggunakan bahasa Inggeris walaupun dalam acara-acara rasmi di Malaysia atau semasa sidang akhbar dengan wartawan Malaysia saendiri. Para korporatis dan para ilmuwan tetap juga tidak mahu menggunakan bahasa Melayu walaupun bahasa Inggeris yang dituturkan agak tergagap-gagap.

6. Tidak ada satupun aktiviti memenuhkan Bulan Bahasa Kebangsaan itu yang boleh dibanggakan. Tidak ada juga komitmen yang menuju kea rah memartabatkan bahasa Melayu seperti yang diperkatakan selain menyerahkan kepada DBP dengan janji memberi kuasa yang lebih kepada badan itu.

7. Sepatutnya semua pihak memainkan peranan masing-masing kerana usaha ini melibatkan semua peringkat dan golongan rakyat. Bermula dari para pemimpin sampailah kepada rakyat jelata hendaklah serius menggunakan bahasa Melayu dalam sebarang aktiviti.

8. Ada beberapa saranan yang boleh diaplikasikan sebagai menggambarkan kita menyambut bulan bahasa yang baru dilancarkan. Walaupun agak keterlaluan tetapi hanya untuk bulan ini sahaja dalam setahun.

8.1. Para pemimpin hendaklah berhenti bercakap bahasa yang lain selain bahasa Melayu. Sebarang ucapan, taklimat dan surat menyurat dibuat menggunakan bahasa Melayu juga.

8.2. Siaran TV dan radio hendaklah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya termasuk iklan-iklan dan berita kecuali program-program import. Berita Tamil. Manderin dan Inggeris hendaklah dihentikan buat sementara. Rakyat kaum-kaum ini tentu faham sebarang maklumat dalam bahasa Melayu sekiranya selalu terdedah dengan bahasa tersebut.

8.3. Rakyat dari kaum-kaum yang lain mestilah sanggup berkorban sedikit mengenai bahasa ini kerana bumi ini akhirnya menjadi bumi kita bersama, sepatutnya kita menggunakan bahasa yang sama.

8.4. Rakyat Melayu sendiri mestilah jangan merasa sangsi lagi dan sentiasa berusaha menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Berhenti mengamalkan ‘bahasa rojak’ yang dituturkan selama ini.

9. Jika ini dapat kita lakukan, barulah orang nampak kita serius dengan apa yang kita katakan. Orang nampak kita bukan main-main, kata dikota. Apa yang berlaku sekarang, selepas bulan bahasa dilancarkan, kita terus ghairah menggunakan bahasa Inggeris. Apa yang disarankan hanyalah untuk bulan bahasa ini iaitu bulan Oktober sahaja. Memang bahasa Inggeris itu penting, tetapi apa salahnya bahasa Melayu diletak di persada paling atas selama sebulan sahaja dalam setahun?

10. Lama kelamaan, rakyat dari segenap lapisan menjadi biasa dengan penggunaan bahasa Melayu. Rakyat akan tahu setiap kali tiba bulan Oktober, bahasa Melayu tetap di hati walaupun pada bulan-bulan yang lain bahasa Melayu ini tidak dipedulikan.

11. Indonesia boleh melakukan terhadap bahasa Indonesia. Thailand boleh melakukan terhadap bahasa Thai. Kenapa Malaysia tidak boleh? Semuanya terletak pada kita.

12. Sekarang ini kita tidak lebih seperti ayam jantan, kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi.