Wednesday, October 28, 2009

BOLASEPAK: UNDANG-UNDANG HENDAKLAH DITAFSIR DENGAN BETUL

1. Akhir-akhir ini sering terdengar keluhan orang ramai tentang mutu pengadilan bolasepak, baik di arena tempatan mahupun di arena antarabangsa. Keluh-kesah orang tentang mutu pengadilan ini seolah-olah tiada penghujung. Yang terbaru adalah kritikan pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson selepas pasukannya tewas kepada Liverpool beberapa hari lepas.

2. Pada kebiasaannya, yang mengkritik dan menyatakan rasa tidak puas hati ini adalah dari pasukan yang kalah. Berbagai sumpah seranah dihamburkan apabila pasukan piulihan mereka mengalami kekalahan. Ada-ada saja yang pengadil buat tidak betul. Belum pernah dengar lagi pasukan yang menang mengkritik mutu pengadilan. Bagi saya, pengadil bolasepak adalha contoh ‘manusia berani’, berani membuat keputusan spontan tanpa penasihat dan buku rujukan di padang permainan.

3. Yang sebenarnya bukan semua orang memahami undang-undang permainan ini dalam erti kata yang sebenarnya. Semua orang bijak dan dapat faham apabila membaca naskah undang-undang tersebut. Tetapi berapa orang yang dapat mentarsirkannya sepertimana berlaku di dalam padang? Semasa berkursus dan mengambil ujian pengadil kebangsaan dahulu, ada beberapa orang peguam dan doktor berjaya lulus dengan cemerlang tetapi tidak berjaya menjadi pengadil disebabkan tafsiran undang-undang tidak dapat dihayati dengan baik.

4. Memahami undang-undang amatlah mudah. Tetapi menghayati dan memahami tafsirananya membuat orang keliru yang mana betul dan yang mana salah. Jadi memahami tafsiran undang-undang lebih penting daripada memahami undang-undang itu sendiri. Setakat memahami undang-undang sahaja tidak memadai tetapi orang ramai dan juga para pengadil sendiri mesti memahami tafasirannya untuk menjadi lebih beretika semasa mengkritik.

5. Contoh terbesar masa ini ialah kes ‘bola merah’ yang menyebabkan Liverpool tewas kepada Sunderland baru-baru ini sehingga pembaling bola merah itu diancam bunuh oleh penyokong Liverpool. Jika tafsiran undang-undang permainan dapat dihayati dengan betul oleh pengadil dan orang ramai, ia tidak menjadi suatu isu.

6. Tetapi penghayatan tentang tafsiran Undang-undang 10 (Cara Menentukan Jaringan) dalam buku undang-undang permainan bolasepak dan panduan universal yang dikeluarkan FIFA tidak dibuat dengan betul, maka jaringan itu dikira sebagai gol. Seluruh dunia mengiktiraf sebagai satu jaringan tetapi sebenarnya gol itu tidak boleh dikira jika dihayati betul-betul.

7. Di Malaysia juga tidak kurang kritikan serupa ini Cuma para pengurus dan jurulatih tempatan seolah-olah takut menyuarakan rasa kurang senang terhadap mutu pengadilan itu, bimbang tindakan FAM yang menanti mereka jika ianya diluahkan terus-terusan. Ini juga adalah disebabkan kurangnya ilmu tentang tafsiran undang-undang itu.

8. Di pihak FAM pula seolah-olah tidak berbuat apa-apa untuk menangani kegelisahan orang ramai terutama penyokong-penyokong fanatik sesebuah pasukan seterusnya memperbaiki apa yang dikritik ramai. Dan orang ramai membuta tuli mengkritik tanpa mengambil inisiatif menghayati undang-undang permainan agar kritik yang dilemparkan lebih berasas.

9. Sampailah masanya FAM mengorak langkah mengadakan satu ruang di akhbar-akhbar arus perdana untuk membicarakan undang-undang permainan bolasepak agar difahami orang ramai. Semoga dengan memahami undang-undang itu, kuranglah kritik terhadap para pengadil. Semoga dengan cara ini juga dapatlah orang ramai memahami undang-undang permainan nombor satu dunia ini. Setakat menyediakan buletin FAM, berapa kerat sangat orang yang membacanya.

No comments: