Sunday, October 25, 2009

BAJET

1. Tidak berminat langsung membicarakan ‘BAJET’ yang baru diumumkan Perdana Menteri. Ramai sangat orang lain sudah membincangkannya dalam media, samada media cetak atau elektronik. Pakar-pakar belaka yang memberi pendapat dan pandangan. Cukuplah mereka saja yang berbincang dan memuji dan mengkritik.

2. Apa yang hendak disebutkan di sini adalah tentang perkataan ‘BAJET’ itu. Entah apa bahasa yang digunakan, tiba-tiba muncul perkataan itu? Hendak dikatakan bahasa Inggeris, ejaannya macam Melayu. Hendak dikatakan perkataan bahasa Melayu, bunyinya Inggeris.

3. Ada perkataan BELANJAWAN digunakan BAJET!

3. Inilah sikap para pemimpin kita pada masa ini. Bukan tidak ada bahasa Melayu yang membawa makna yang serupa, tetapi sudah menjadi seperti satu dasar, perkataan Inggeris juga menjadi pilihan. Hendak menampakkan ‘melayu’ ‘BUDGET’ diubah menjadi BAJET. Sifat orang Melayu terasa hina menggunakan perkataan Melayu. Bila gunakan perkataan Melayu seperti hilang ‘glamor’. Terasa lekeh kalau menggunakan ‘BELANJAWAN’.

4. Inilah penyakit para pemimpin Melayu. Entah apa yang hendak diperjuangkan. Entah kepada siapa hendak dimegahkan sedangkan yang mendengar dan melihat semuanya rakyat Malaysia. Belanjawan itu juga untuk rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia tnetu lebih faham apa maksud ‘belanjawan’ daripada ‘ bajet’. Orang-orang kampung lebih faham perkataan Melayu daripada perkataan Inggeris.

5. Malam ini, 25 Oktober 2009, Tan Sri Muhyiddin bercakap Inggeris lagi dalam siaran Berita di TV. Itulah orangnya yang mahu memartabatkan bahasa Melayu seperti yang beliau sendiri sebutkan semasa pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan di Serawak pada 1 Oktober 2009 lalu.

6. Datuk Liew Tiong Lai, Menteri Kesihatan juga berbahasa Inggeris, padahal bahasa Melayu beliau adalah antara yang terbaik bagi kaum bukan Melayu dewasa ini. Kenapa lebih cenderung berbahasa Inggeris?

7. Belum sampai sebulan bulan bahasa dilancarkan, para pemimpin termasuk yang mengepalai pelancaran tersebut terus tidak mahu menggunakan bahasa Melayu yang beliau suruh orang ramai gunakan. Sampai bila pun bahasa Melayu akan terpinggir jika pemimpin sendiri ‘cakap tak serupa bikin’. Tidak usah hendak berpura-pura, sebenarnya para pemimpin tidak sayang bahasa Melayu lagi.

No comments: